Tuesday, May 29, 2012

Nurul cabar Raja Nong Chik berdebat

Jawapan Datuk Raja Nong Chik (gambar bawah) terhadap isu "Malam Berdarah di Lembah Pantai" membuktikan wujud percubaan untuk mengalih perhatian dan memutarbelit fakta kejadian.

Tidak boleh dinafikan telah berlaku keganasan yang mengakibatkan kecederaan kepada seorang warga emas yang wajib dihormati dan kepada seorang anak kecil yang wajib dilindungi.  Malangnya, serangan keganasan ini bukan hanya satu serangan terhadap rakyat yang tidak bersalah tetapi juga merupakan satu serangan terhadap demokrasi.

Pertama, keganasan yang berlaku dipupuk melalui suasana intimidasi dan politik samseng yang diwujudkan UMNO Lembah Pantai, seperti yang telah disaksikan pada malam itu dan juga kejadian-kejadian sebelumnya.  (Seperti dalam kes 1) protes Pekida di Masjid al-Ikhlasiah, Pantai Dalam; 2) kes Adam Adli ditumbuk di Flat PKNS 4 Tingkat Kg Kerinchi oleh ahli UMNO Lembah Pantai yang dikenalpasti; 3) ceramah TIBAI-UMNO yang dibuat di Kg Kerinchi baru-baru ini.)
Kedua, usaha lemah untuk mengalih pandangan umum dengan membuat spekulasi dan menyalahkan KEADILAN kerana menjemput "orang luar" menghadiri program politik setempat adalah tidak lain tidak bukan satu usaha merendahkan martabat demokrasi yang langsung merugikan penduduk Lembah Pantai.

Sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai saya mengalu-alukan kehadiran pemimpin nasional seperti Najib Razak, Muhyiddin Yassin, Daim Zainuddin dan mana-mana lagi menteri kabinet yang telah turun ke Lembah Pantai dalam beberapa bulan kebelakangan ini.  Saya tidak melihat tindakan UMNO ini sebagai usaha membawa masuk "orang luar" ke dalam "politik tempatan tetapi ianya adalah satu pengiktirafan bahawa KEADILAN telah melakukan banyak perkara dengan betul untuk layak menerima layanan sebegini.

Tambahan pula, layanan luar biasa dalam bentuk dana dan perhatian yang dicurahkan ke Lembah Pantai berbanding kawasan-kawasan parlimen lain di Kuala Lumpur oleh Raja Nong Chik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, serta seorang datuk bandar yang tidak dipilih, adalah bukti kerajaan persekutuan harus bekerja dua kali ganda lebih keras apabila sokongan majoriti di Kuala Lumpur bersama Pakatan Rakyat.

Ketiga, berkaitan dakwaan tidak cukup bukti mereka yang bertanggungjawab terhadap keganasan di Pantai Permai, saya jemput Raja Nong Chik untuk bersama saya mengecam semua bentuk politik keganasan dan bersama-sama saya menjemput Polis Di-Raja Malaysia dan SUHAKAM untuk menyiasat kejadian ini secara adil pada Khamis ini.

Akhir sekali, untuk memupuk semangat demokrasi dan membuktikan politik keganasan tidak boleh diterima segenap lapisan masyarakat, saya sekali lagi menyatakan kesediaan saya untuk berdebat dengan Raja Nong Chik, dua minggu dari sekarang di Pantai Permai, tempat sama seperti ceramah saya minggu lalu.  Saya nantikan sama ada beliau mampu menterjemah percakapan menjadi realiti oleh sebab beliau percaya bahawa semua politik itu bersifat setempat.

*Kenyataan media oleh Nurul Izzah Anwar (gambar kiri) selaku ahli parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden KEADILAN.

No comments:

Post a Comment