Tuesday, May 22, 2012

Pelbagai perancangan dibuat untuk kuatkan Islam

KOTA SARANG SEMUT – Bagi menguatkan dan mengembalikan kegemilangan ilmu agama di negeri Kedah, maka kerajaan negeri merancang pelbagai perancangan dan memberikan banyak peruntukan untuk tujuan tersebut.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, kerajaan negeri mempunyai hasrat dan perancangan bagi menguatkan institusi pendidikan di negeri Kedah. Kerajaan negeri juga ingin mengembalikan semula ilmu yang dapat memberikan kebaikan dunia akhirat.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Sambutan Hari Guru HESA di Kompleks PAS Batu 9.

“Siapa mahukan dunia perlukan ilmu, siapa yang mahukan akhirat perlukan ilmu dan jika mahukan kedua-duanya juga perlukan ilmu.

“Tidak sama orang yang berilmu dengan yang tidak berilmu, ilmu juga membolehkan kita dapat membezakan di antara Melayu dan Islam,” ujarnya.


Beliau berkata, pihaknya tidak mahu negeri Kedah menjadi seperti Singapura apabila tidak dibenarkan untuk mengajar agama dan hanya dibenarkan untuk mengajar bahasa sahaja seperti Bahasa Arab.

Oleh itu, kerajaan negeri sedang membina kampus tetap KUIN di Kuala Ketil yang pengajian utamanya adalah pengajian agama seperti Syariah dan Usuluddin. Ianya dibina dia atas tanah seluas 800 ekar.

“Kerajaan negeri juga sedang membina Maahad Tahfiz Sains Pulau Tuba yang pada permulaannya hanya untuk 300 pelajar, dan kini dibuka pengambilan 50 pelajar setiap tahun.

“Tetapi yang layak untuk belajar di sana hanyalah pelajar yang mendapat 5A dan boleh membaca Al-Quran,” terangnya.

Beliau turut menyatakan bahawa sebelum ini, disebabkan ilmu agama hanya difokuskan di luar bandar maka hanya orang luar bandar yang cintakan Islam.

No comments:

Post a Comment