Oleh: Shirzad Lifeboat
Andaikata lebih daripada 250,000 peserta Bersih 3.0 datang dengan membawa tukul, pemecah, kapak, cangkul, penggali, jentolak dan sebagainya lalu memecahkan Bangunan Sultan Abdul Samad, mengorek seluruh Dataran Merdeka dan menjadikannya kolam ikan koi atau merobohkan Bangunan DBKL di Jalan Raja Laut lalu menaikkan bendera parti-parti dalam Pakatan Rakyat, Kerajaan Malaysia sama sekali tetap tidak akan tumbang.
Dan andaikata terdapatnya situasi menyerahkan kerajaan kepada sebuah majlis (disebabkan kerajaan yang dipilih rakyat menerusi pilihanraya umum tidak lagi dapat berfungsi sebagaimana sepatutnya), seperti Majlis Gerakan Negara, dengan sebutan popular ‘Mageran’ (sebagaimana yang berlaku pasca 13 Mei 1969), atau terdapatnya sesuatu situasi menyebabkan pemerintahan negara diambil alih oleh pihak tentera di mana Yang DiPertuan Agong sebagai Panglima Tertinggi seluruh ATM, kerajaan Malaysia tetap kerajaan Malaysia.
Semua ini disebut dengan jelas dalam Perlembagaan Negara. Justeru tidak ada caranya sesiapa atau sekumpulan manusia sebesar mana sekalipun yang dapat menumbangkan kerajaan.
Sekiranya, secara teori, peserta Bersih 3.0 berjaya kononnya menumbangkan kerajaan dan pemimpin Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya dengan cara sedemikian, jangan kata dunia mahu mengiktiraf mereka, malah rakyat Malaysia sendiri, termasuk penyokong Pakatan Rakyat sekalipun tidak akan berbuat demikian.
Tidaklah dapat diketahui dengan jelas apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan bahawa Bersih 3.0 bertujuan mahu menumbangkan kerajaan, maka apa yang dimaksudkan oleh beliau bermaksud menumbangkan kerajaan dalam erti kata literalnya atau beliau tidak begitu faham maksud sebenarnya menumbangkan kerajaan dalam konteks negara demokrasi atau sengaja menimbulkan hal seperti itu untuk mengalihkan tumpuan rakyat kepada isu sebenar yang diperjuangkan oleh Bersih 3.0 dan yang mana tidak langsung disebut secara khusus dan terperinci oleh media kerajaan.
Beliau menyebut, ‘menggulingkan kerajaan yang sah’. Teori liar ini kemudiannya disokong pula oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir dan beberapa orang lain. Dan di atas sebab yang tidak diketahui serta tanpa angin dan ribut, Majlis Fatwa Kebangsaan pula tumpang semangkok dengan mengeluarkan fatwa kononnya sebuah perhimpunan walaupun bermatlamat baik adalah haram.
Sebenarnya, peserta Bersih 3.0 dan pemimpin parti politik yang menyokongnya serta malah para intelek, pemikir dan aktivis pelbagai bidang yang menyertai atau menyokong Bersih 3.0 tidak pernah pada bila-bila masa sekalipun membuat tuntutan yang mencadang atau mempertikaikan akan legitimasi kerajaan UMNO-BN.
Apabila mengambil peranan selaku seorang pemikir politik, Dr. Mahathir yang sudah tentu memahami politik jauh melebihi Najib, sering mengatakan dalam kenyataan atau tulisan beliau betapa apabila sesebuah kerajaan digulingkan (sama ada menerusi proses sah atau tidak sah) kerajaan baru akhirnya ternyata lebih buruk dari kerajaan yang digulingkan.
Apa yang ingin beliau sebutkan sebenarnya ialah secara tidak langsung memberi amaran kepada rakyat Malaysia sekiranya mereka mengundi parti lain selain dari UMNO-BN untuk menjadi kerajaan, maka keadaan rakyat dan negara akan menjadi bertambah buruk.
Kita tidak boleh menyalahkan Dr. Mahathir kerana berset minda seperti itu kerana sebijak mana sekalipun beliau, mindanya tentulah sedikit sebanyak telah diacu dan dibentuk oleh budaya UMNO yang berpaksi kepada hasrat dan cita-cita untuk berkuasa sehinggalah Israfil meniup sangkakala.
Selain daripada itu, antara ciri budaya dan minda ini ialah menganggap minda rakyat, kematangan dan kesedaran politik mereka, serta pencarian mereka ke arah kebenaran, tidak pernah berubah sejak zaman dahulu kala. Kepada Dr. Mahathir, Najib dan kebanyakan pemimpin UMNO-BN, pemikiran dan kesedaran politik rakyat Malaysia masih lagi pada tahap ‘katak di bawah tempurung’.
Namun beliau dan pemimpin UMNO-BN hari ini serta para pengampu mereka terlupa hampir kesemua kerajaan yang gulingkan dalam sejarah moden, pada mulanya disangka sah oleh rakyatnya sebagaimana yang digambarkan oleh rejim masing-masing. Tetapi akhirnya ia didapati tidak sah kerana pelbagai penipuan yang dilakukan oleh rejim tersebut demi mengekalkan kuasa serta kemewahan yang diperolehi menerusi penyalahgunaan kuasa tersebut.
Penggulingan rejim seperti itu tidak akan berlaku di Malaysia. Bukan sahaja kerana kita mempunyai Perlembagaan Negara yang utuh dari segi kuasa mutlak ke atas negara ini yang mana terletak di bawah Yang DiPertuan Agong dan juga Raja-Raja Melayu tetapi rakyat kita juga berfikiran jauh lebih waras daripada apa yang disangkakan oleh pemimpin dan bekas pemimpin UMNO-BN.
Tidak ada sesiapa di kalangan rakyat Malaysia yang bercita-cita bodoh mahu menggulingkan kerajaan. Namun demikian, apa yang boleh ditumbangkan ialah parti yang memerintah atau menguasai kerajaan menerusi apa juga sistem yang diguna pakai oleh negara tersebut.
Dan sesuatu yang pasti, apabila kerajaan yang memerintah melampaui batas dalam usaha menutup mulut rakyat, menggunakan segala media dan jentera kerajaan yang ada untuk menghalang dan menafikan pendedahan-pendedahan tentang kebobrokan parti yang memerintah kerajaan dan menyebarkan fitnah demi fitnah mengenai seteru politik mereka, memperalatkan ulama tertentu termasuk badan fatwa, dan memanipulasikan pilihanraya umum secara halus menerusi daftar pemilih yang dipertikaikan, maka lambat laun kerajaan seperti ini akan terguling dengan sendirinya.
Di Malaysia, bagaimana hebat sekalipun senyuman Najib Tun Razak (sinis atau sebaliknya), bagaimana kuat sekalipun laungannya di atas pentas, bagaimana gah sekalipun segala program ekonomi dan dasar yang telah dan akan digubalnya, betapa banyak sekalipun wang ringgit yang bakal dicurahkan kepada pengundi, UMNO-BN tidak dapat menghalang hakikat dari terus-menerus mengalami keadaan nazak.
Masanya akan sampai juga, kalau tidak dalam pilihanraya umum kali ini, mungkin dalam pilihanraya akan datang UMNO-BN akan tumbang atau terguling dengan sendirinya menerusi proses yang sah. Dan ini berlaku tanpa memerlukan Bersih 3.0, Bersih 4.0 atau Bersih selanjutnya.
Firman Allah bermaksud: “Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang dizalimi apabila mereka berdoa kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti menguasai bumi? Adakah sebarang Tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati.” (an-Naml:62)
No comments:
Post a Comment