Thursday, May 24, 2012

Jangan berurusan dengan orang tengah sewa tapak bazar Ramadan

24 Mei 2012
ALOR SETAR - Peniaga yang mahu menyewa tapak bazar Ramadan di sini, dinasihatkan berurusan terus dengan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), dan tidak menggunakan orang tengah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan MBAS, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menjual tapak berkenaan kepada peniaga dengan nilai mencecah RM10,000 bagi satu tapak.

Di daerah Kota Setar sebanyak 14 lokasi disediakan bagi jualan juadah berbuka puasa iaitu Stadium Darul Aman, Tandop, Kuala Kedah, Jalan Datuk Kumbar, Simpang Empat, Kota Sarang  Semut, Simpang Kuala, Pokok Sena, Langgar, Pasar Besar Peremba, Kuala Sungai, Pantai  Johor, Taman Wira Mergong dan Taman Mergong Jaya.

"Tahun ini MBAS menyediakan 1,600 tapak bazar Ramadan iaitu 1,400 untuk juadah berbuka, 110 jualan pakaian dan hiasan berkhemah dan 90 tapak tidak berkhemah.

Permohonan dan  jualan borang dibuka mulai Ahad lepas dengan harga RM6 setiap borang," katanya.

Menurut kenyataan itu, kadar sewa bagi tapak jualan juadah berbuka tidak berkhemah ialah RM150, juadah berbuka berkhemah RM250, jualan pakaian dan hiasan berkhemah RM1,500 dan jualan pakaian dan hiasan tidak berkemah RM600.
"Untuk sewaan tapak pakaian dan hiasan berkhemah, pemohon perlu membayar deposit sebanyak RM1,000, tapak jualan pakaian dan hiasan tidak berkhemah dikenakan deposit sebanyak RM500 manakala bagi tapak juadah berbuka puasa tidak dikenakan deposit,' katanya.

Cabutan untuk tapak juadah berbuka puasa bagi Stadium Darul Aman dan Tandop adalah pada 4 Jun, Kuala Kedah dan Jalan Datuk Kumbar pada 5 Jun, Simpang Empat
dan Kota Sarang Semut 6 Jun, Simpang Kuala dan Pokok Sena 7 Jun, Langgar  dan Pasar Besar Peremba 10 Jun, Kuala Sungai dan Pantai Johor 11 Jun dan Taman Wira
Mergong dan Taman Mergong Jaya pada 12 Jun.

"Untuk jualan pakaian dan hiasan, cabutan undi untuk tapak di Jalan Tunku Ibrahim dan hadapan Bangunan Umno adalah pada 18 Jun, Starwalk dan Jalan Mahsuri 20 Jun, Jalan Sultan Badlishah 25 Jun manakala di kawasan Pasaraya Pasific pada 26 Jun," katanya.

Sebarang pertanyaan atau masalah termasuk berkaitan kegiatan 'mengalibabakan' tapak bazar Ramadan, boleh menghubungi Bahagian Pelesenan MBAS di talian 04-7351861. - Bernama

No comments:

Post a Comment