Tuesday, May 29, 2012

SPR siap sedia 15ribu undi pos di Kedah...!!

SPR Kedah siap sedia hadapi PRU13

ALOR SETAR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kedah bersedia dari segi logistik, termasuk melantik lebih 15,000 petugas, untuk membantu mengendalikan pilihan raya umum (PRU) ke-13 tidak lama lagi.

Timbalan pengarah jabatan itu, Norazam Mohd Noor berkata semua petugas tersebut termasuk pegawai pengurus, diberi taklimat persediaan pada November dan Disember tahun lepas manakala taklimat ulangan pula pada Jun ini.

"SPR juga telah mengenal pasti pusat pengundian, kebanyakannya sekolah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat khas kepada hampir 40 pengamal media di negeri ini bagi menghadapi PRU ke-13 di Jabatan Penerangan Kedah di sini, hari ini.

Norazam berkata taklimat persediaan kepada petugas pilihan raya, antaranya menyentuh peraturan baru yang diguna pakai pada PRU ke-13, penggunaan dakwat kekal, cop SPR pada kertas undi, 'istilah orang dipercayai,' undi awal dan undi pos.


Mengenai daftar pengundi, beliau berkata daftar terbaru pada suku pertama tahun ini belum diwartakan lagi kerana baru selesai dipamerkan kepada umum.

Katanya pengundi negeri Kedah yang berdaftar dan layak mengundi berdasarkan daftar tahun lepas sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat berjumlah hampir 994,000 orang.

Dalam taklimatnya sebelum itu, beliau meminta pengamal media memberi kerjasama kepada SPR dengan membuat laporan betul dan tepat, menyampaikan maklumat tepat kepada pengundi di samping mematuhi etika kewartawanan.

"Langkah mewartakan pengamal media boleh mengundi secara pos masih dalam proses. Saya tidak pasti sama ada sempat diwartakan atau tidak dalam masa terdekat," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment