Tuesday, May 29, 2012

Pilihan di antara Beyonce dengan Whoopi Goldberg

 Oleh Aspan Alias

Dr Mahathir tetap dengan pandangan bahawa Najib sedang memimpin kerajaan yang lemah dan wajar melupakan untuk mengadakan pilihanraya dalam masa yang terdekat ini. Mahathir mengakui hakikat ini semasa ditemuramah oleh media antarabangsa baru-baru ini.

Mahathir menyarankan pilihanraya mesti ditangguhkan kerana keadaan lemah kerajaan akan hanya membawa Najib berhadapan dengan masalah yang sudah hendak diselesaikan semasa menghadapi rakyat dalam PRU ini.

Saya percaya dengan pandangan Mahathir yang kerajaan sekarang terlalu lemah. Kalau tidak masakan Presiden MCA, Chua Soi Lek menyarankan supaya kerajaan memberikan sekali lagi bantuan rakyat 1Malaysia sebelum pilihanraya diadakan. Nasihat CSL ini menguatkan pandangan yang BN dalam keadaan ‘desperate’ dan terpaksa membeli perasaan rakyat dengan duit sejemput seorang.

Ada baiknya dan ada buruknya jika Najib menangguhkan PRU ini bagi kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang. Bagi BN, pihaknya akan ada masa untuk menunjukkan kebaikan daripada berlaku tidak senonoh terhadap rakyat dengan budaya samseng dan kerja-kerja tidak bermoral dari pihaknya (BN).

BN jika benar-benar hendak menunjukkan kebaikan mesti menunjukkan sikap ‘gentleman’nya dengan membersihkan senarai nama-nama pendaftar pengundi daripada mendiamkan diri tidak berani menafikan keadaan itu berlaku. Najib masih ada masa untuk menggugurkan Menteri-Menterinya yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa untuk menunjukkan yang beliau serius untuk memberikan pilihan yang terbaik untuk rakyat.

Tetapi untuk melakukan ini Najib mesti pastikan yang beliau sendiri tidak terlibat dengan apa bentuk rasuah sekali pun. Mampukah beliau melakukannya? Benar-benar bersihkah Najib ini? Jika masa masih ada, Najib mesti bersihkan imej negara dari masalah ‘2R’, iaitu Rasuah dan Rosmah, yang menjadi bualan rakyat yang mengundi. Sejarah akan memberi pertimbangan ke atas isu rasuah untuk menilai kerajaan BN ini, kerana rasuah dan UMNO itu begitu sinonim yang tidak dapat dibuang lagi.

Walaupun BN sedang melakukan perang saikologi yang besar terhadap rakyat, rakyat sebenarnya sudah menetapkan pendirian mereka dan kedua-dua belah pihak hanya mempunyai peluang untuk mempengaruhi pengundi di atas pagar yang tinggal tidak seberapa lagi jumlahnya. Akhir-akhir ini ada pemimpin-pemimpin besar mendabik dada yang kali ini BN akan kembali memerintah dengan majoriti dua pertiga.

Jika keadaan itu benar kenapa Najib tidak berani membubarkan Parlimen untuk mendapatkan ‘endorsement’ pimpinannya dari rakyat. Barang diingat hanya Najib sahaja diantara PM-PM yang sebelumnya yang masih belum mengadakan pilihanraya untuk mendapatkannya (endorsement rakyat).

Kali ini BN tidak semudah dahulu lagi untuk menafikan kemampuan PR memerintah Kerajaan Persekutuan kerana bukti-bukti dan dalil-dalil yang baik yang ditunjukkan oleh PR dalam negeri-negeri tadbirannya. Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan telah menunjukkan ketinggian akhlak kepimpinan mereka jika dibandingkan dengan akhlak kepimpinan BN khususnya UMNO.

Kerajaan–kerajaan pimpinan BN yang menempelkan agama Islam sebagai asas pentadbiran mereka terbukti telah melakukan pertentangan dengan syariat dan nilai Islam itu sendiri, Rasuah dan salahguna wang dan ‘resources’ kepunyaan rakyat itu adalah elemen pertentangan dengan Islam dan ia amat jauh dari apa yang mereka (UMNO) laungkan yang Islam itu sebagai cara hidup.

Jika Najib mendengar nasihat Mahathir supaya pilihanraya ditangguhkan, PR juga mempunyai banyak ‘advantages’nya. Bagi PR samada dipercepatkan atau menangguhkan PRU kali ini tidak menjadi apa-apa padanya. Bagi PR yang perlu dilakukannya ialah untuk terus mentadbir negeri-negeri tadbiran mereka dengan baik seperti yang sedang mereka lakukan pada hari ini.

Sesungguhnya Pakatan Rakyat tidak terdesak untuk mengadakan pilihanraya ini. Yang terdesak ialah BN kerana BN terlalu banyak ‘cover up’ yang terpaksa mereka lakukan. UMNO terutamanya terlalu banyak yang putus yang hendak disambung dan yang koyak yang perlu mereka tampal.

BN adalah seperti seorang seniwati tua yang hendak muncul di pentas, ia terlalu banyak perkara yang terpaksa dilakukan untuk menonjolkan imej muda dan bertenaga. “Cosmetics’nya terpaksa lebih tebal dan lubang-lubang dan kedut terpaksa disumbat dengan ‘foundation’ yang mahal-mahal. Hendak mengenakan pakaian pun susah kerana sudah gemuk gedempul, dan untuk mencari pakaian yang sesuai memakan masa yang lama.

Sebaliknya, PR diibaratkan seperti seniwati yang masih muda dan tidak payah melakukan ‘make up’ yang ‘elaborate’ terhadap mukanya yang masih cantik dan menawan itu. Seniwati muda (PR) ini masih bertenaga kerana tubuh badannya masih genit dan ringan, mudah untuk menari dan menyanyi di hadapan penonton yang ramai di hadapan. Penyanyi muda boleh mengenakan apa-apa jenis pakaian. Pakai jeans dan baju-t pun cantik dan kalau pakai pakaian kebaya lagilah cantik. Nak pakai cheong sam dan sari pun senang kerana tubuh masih langsing dan cantik.

Pendeknya, pemilihan kali ini adalah pemilihan di antara seniwati tua dan seniwati yang muda. Pihak yang tua ini terpaksa melakukan banyak persediaan untuk menjadi ‘competitive’ dengan artis muda yang serba baik dan cantik itu. Begitu ramai penonton yang bersedia membeli tiket untuk menonton mereka.

Dalam kata-kata yang lain pertandingan di antara BN dan PR kali ini ibarat pertandingan di antara Whoopi Goldberg dengan Beyonce. Saya sudah pastilah memilih Beyonce bersama ramai yang lain kerana kecantikannya. Tetapi masih ada yang memberikan sokongan kepada Whoopi Golberg walaupun tidak berapa ramai seperti penyokong Beyonce.

No comments:

Post a Comment