Wednesday, February 8, 2012

Pusat jagaan orang tua perlu sumbangan supaya terus beroperasi

ALOR SETAR - Sebuah pusat jagaan orang tua, orang kelainan upaya (OKU) dan mereka terbiar terdiri pelbagai kaum di Jalan Hutang Kampung di sini sangat memerlukan sumbangan orang ramai supaya dapat terus beroperasi.

Pengasas pusat yang dikenali sebagai Pusat Jagaan Mawar itu, M. Citra Viran, 29, berkata kos menguruskan penghuni di situ hampir RM5,000 sebulan daripada sumbangan rakan-rakan dan orang ramai.

Pusat yang beroperasi sejak 25 April tahun lalu itu boleh menempatkan 15 penghuni namun disebabkan masalah kewangan ia mampu menerima lapan orang sahaja di premis dua tingkat yang disewa manakala tujuh lagi dihantar ke situ secara harian.

Menguruskan pusat jagaan itu bersama isterinya, P. Parammesvari, seorang bekas jururawat, Citra Viran berkata di situ pihaknya mengajar penghuni bukan sahaja menjaga tetapi membimbing cara-cara menguruskan diri mereka yang sebelum ini berkeadaan terbiar serta hidup merempat.

"Penghuni di sini sudah boleh menguruskan soal kebersihan diri sendiri di samping sentiasa di awasi," katanya ketika ditemui di pusat jagaan itu hari ini.

Citra Viran berkata dia dan isteri tidak mampu mencari pekerja pembantu kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup dengan demikian memerlukan bantuan orang ramai.

Katanya, walaupun tinggal sebumbung ia tidak mendatangkan masalah kepadanya sekeluarga kerana senang memantau aktiviti penghuni tersebut.

"Mereka tinggal bersama saya dengan percuma kerana tahu mereka miskin dan tidak mempunyai wang untuk meneruskan kehidupan dan kami bersimpati dengan mereka," katanya.

Katanya, tujuan penubuhan pusat jagaan itu antara lain ialah untuk menjaga orang tua dan OKU miskin yang dibiarkan merempat di tepi jalan dan tidak mempunyai arah tujuan setelah dihalau oleh keluarga.

Citra Viran memohon bantuan orang ramai dan pihak yang bertanggungjawab supaya niat murninya bersama isteri dapat diteruskan membantu golongan tidak bernasib baik mendapat pembelaan sewajarnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Viran di talian 016-9785974 atau 0162412065 (Parammesvari) atau disalurkan terus ke akaun Bank CIMB 520200010028456 (Pusat Jagaan Mawar Parammesvari). - Bernama

No comments:

Post a Comment