Hari kedua Parlimen kali ini bermula dengan suasana panas dengan soalan Ketua Pembangkang dari Permatang Pauh bertanya tentang pembatalan SBPA atau Saraan Baru Perkhidmatan Awam. Soalan Ketua Pembangkang itu amatlah mudah iaitu bertanya mengapa CUEPACS tidak dirunding terlebih dahulu tentang keputusan dan perlaksanannya. Namun soalan itu telah menimbulkan kekecohan dalam Parlimen pada hari tersebut sehingga Speaker Dewan terpaksa berkali-kali campurtangan untuk meredakan keadaan.Suasana menjadi lebih gamat apabila soalan tambahan diberikan kepada Pokok Sena iaitu Mahfuz Omar (gambar kiri) yang mendesak Pekan iaitu Perdana Menteri Malaysia supaya menjawab bagaimana group tangga gaji Premier sudahpun menerima dan menandatangani penyelarasan gaji baru ini. Malangnya soalan yang bertubi-tubi gagal dijawab oleh ahli Parlimen Pekan dengan mengatakan dalam jawapannya bahawa "kerajaan prihatin kepada nasib 1.4 juta penjawat awam dan pembangkang hanya mementingkan kelompok tertentu sahaja dengan menimbulkan perkara ini".
Jawapan tersebut disambut dengan ejekan dari blok pembangkang kerana jelasnya ahli parlimen Pekan itu mengelirukan dewan dari soalan awal yang ditimbulkan. Beberapa minit kemudian Pokok Sena bersama dengan Parit Buntar, Kuala Selangor dan Tumpat terus mengadakan sidang akhbar menyatakan kekesalan Pakatan Rakyat terhadap jawapan Perdana Menteri. Soalnya apakah isu SBPA ini sehingga kecoh dewan pada 13 baru-baru ini?
Pertama, pengumuman SBPA dibuat pada pembentangan bajet Oktober tahun lalu sebagai sebahagian daripada bajet 232 bilion untuk tahun 2012. Mengikut jangkaannya pada Disember 2011 semua kakitangan awam dijangka menandatangani SBPA untuk dilaksanakan pada tahun 2012.
Namun sepanjang proses penyelarasan sebelum dilaksanakan berbagai penentangan dari CUEPACS disuarakan kerana dalam perlaksanaannya berlaku jurang yang besar antara kumpulan rendah dan yang paling atas. Keadaan ini menyebabkan kakitangan perkhidmatan awam tidak puas hati. Desakan dari kesatuan sekerja memaksa kerajaan membuat satu exit plan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.Persoalannya ialah rakyat ingin tahu mengapa sebelum pengumuman PM dalam ucapan bajet, segala persoalan di atas tidak ditimbulkan? Apakah Jabatan Perkhidmatan Awam tidak memberikan nasihat yang betul kepada PM? Ataukah pihak tertentu yang mendapat durian runtuh dari SBPA yang mempengaruhi keputusan PM? Di mana CUEPACS dalam soal rundingan sebelum satu pengumuman besar yang melibatkan kepentingan ahlinya? Apakah PM mempunyai penasihat yang buruk sehingga ia telah mencemar nama baik perkhidmatan awam dengan penarikan balik SBPA?
Apa yang boleh diambil pengajaran ialah, PM kita bolehlah diberi gelaran baru iaitu PM Flip Flop. Amat memalukan kerana berikutan daripada pengumuman bajet 2012 proses pewartaan SBPA telahpun dibuat dan diperkenankan oleh Yang DiPertauan Agung, malah difahamkan golongan Premier telahpun menerima dan menandatangani penyelarasan gaji yang baru. Lebih memalukan bagaimana PM boleh membatalkan tanpa merujuk kepada Agung dulu seolah-olah tidak menghormati pemewartaan tersebut. Kalau bukan Flip-Flop entah apa lagi nama yang sesuai nak diberikan kepada PM kita?
Kita tidak dapat lari daripada mengandaikan bahawa ketika PM membentang belanjawan 2012, mungkin beliau membayangkan ini sebahagaian daripada pakej gula-gula selain BRIM dan baucer untulk IPTA, namun senyumannya tersentak dengan kebangkitan anggota perkhidmatan awam yang menganggap skim baru ini membebankan sekelompok tertentu dan memewahkan golongan tertentu. Apatah lagi dalam suasana hidup yang menekan hari ini sekelompok besar kakitangan awam mengharapkan penyelarasan gaji mengurangkan bebanan hidup dan bukan sebaliknya. SBPA seolah-olah satu sistem yang membela kakitangan yang sudahpun selesa untuk hidup selesa dan yang susah dibiarkan terus susah. Apakah ini mentaliti pembelaan perkhidmatan awam dalam kepala PM Satu Malaysia dan segala penasihat-penasihat yang ada di sekelilingnya?Perkhidmatan Awam adalah pengundi tegar BN dan pentingnya mereka tidak dapat dinafikan dan kerana itu PM buat pembatalan pasti ada kepentingan pilihanraya, apakah ini level PM kita yang membuat keputusan secara flip flop? Anda yang membaca bolehlah menjawab sendiri betulkah apabila kita menggelarkan PM kita sebagai PM Flip Flop Satu Malaysia?
*Dr.Mujahid Yusof Rawa (gambar kiri) adalah ahli parlimen Parit Buntar, merangkap Pengerusi Perpaduan Nasional PAS.
Saturday, March 17, 2012
PM Flip-Flop Satu Malaysia?
Labels:
Merdeka Review
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment