Saturday, March 31, 2012

Penang - Tapak masjid bukan dijual


Tapak masjid bukan dijual
BUKIT MERTAJAM – Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang (AMKPP) menyelar tindakan Pemuda Umno Pulau Pinang melalui ketuanya, Shaik Hussein Mydin yang mendakwa Kerajaan Negeri menjual tapak masjid kepada pemaju swasta.

Ketua AMKPP, Amir Md Ghazali berkata, pelan pembangunan asal Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang diluluskan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada 30 Oktober 2006 lalu tidak boleh lagi diguna pakai be-rikutan tanah di Bayan Mutiara itu telah pun dijualkan kepada Ivory Group.

Menurutnya, justeru terpulang kepada pemilik tanah baru bagaimana untuk menggunakan tanah tersebut sesuai mengikut kanun negara serta selaras dengan keperluan syarat pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu MPPP.

“Untuk makluman, bagi setiap pembangunan yang mempunyai 1,200 atau 1,500 rumah, pemaju perlu menyediakan tapak untuk masjid dan sekolah di dalam pelan pembangunan mereka. Ia adalah syarat yang perlu dipenuhi pemaju bagi membolehkan perancangan mereka diluluskan PBT.


“Pelan pembangunan tersebut hanya diluluskan kepada pemaju yang mencadangkan rancangan pembangunan mereka. Jika tapak cadangan mereka telah dijual, pihak yang membeli tanah tersebut perlu menyediakan perancangan pembangunan mereka sendiri dan pelan pembangunan asal tidak boleh diguna pakai lagi,” katanya.

Amir berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bandar Perda, di sini.

Menurutnya, begitu juga dengan isu di Bayan Mutiara, biarpun pelan pembangu-nan asal telah dibuat PDC dan diluluskan MPPP, tetapi tanah itu kini telah dijual dan ia kini menjadi hak pemaju dan terpulang kepada mereka untuk menguruskannya.

“Justeru, tidak timbul soal tapak masjid atau sekolah dijual kerana selagi pembangunan belum dilaksanakan, tanah untuk pembinaan masjid dan sekolah tidak akan dipindah milik kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) atau Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

“Pemindahan milik hanya akan dilakukan apabila Sijil Layak Menduduki (CF) dikeluarkan, iaitu selepas projek pembangunan itu siap,” katanya.

Menurutnya lagi, orang ramai perlu tahu bahawa tapak dicadangkan pemaju atau pemilik asal pelan pembangunan iaitu PDC tidak mungkin sama dengan tapak dicadangkan pemaju yang mengambil alih tapak yang hendak dibangunkan iaitu Ivory Group.

Justeru, beliau menasihati Shaik Hussein mendalami atau memahami sesuatu isu yang ingin dibawanya supaya tidak timbul keraguan dalam kalangan masyarakat, seterusnya menjadikan ia satu fitnah.

Disamping itu juga, beliau menggesa pemaju, Ivory Group agar menjalankan projek pembangunan tersebut secara menyeluruh, bukannya fasa ke fasa.

No comments:

Post a Comment