SUNGAI PETANI – “Ke mana kami hendak tuju, tiada tempat berteduh dan kini terpaksa menumpang di rumah anak saudara berdekatan,” kata seorang ibu tunggal yang rumahnya terbakar berdekatan Taman Rose, Sungai Lalang, di sini.
N Sellamah, 47 tahun berkata, dia bersama tujuh anak berusia 11 hingga 23 tahun menghadiri majlis hari jadi saudara pada jam 9.30 malam yang jaraknya hanya 500 meter dari rumahnya.
Menurutnya, selepas 30 minit beredar meninggalkan rumah, mereka dikejutkan dengan panggilan telefon jiran memaklumkan kejadian itu.
“Bagaimanapun, apabila sampai di rumah, semuanya sudah hangus terbakar. Harta benda dan barangan bernilai termasuk dokumen penting tidak dapat diselamatkan,” katanya.
Sellamah memberitahu, mereka tinggal di perkampungan yang terletak dekat Taman Rose, Sungai Lalang itu sejak dua setengah tahun lalu selepas kematian suami pada tahun 2009.
Beliau menjelaskan, malam pertama selepas kejadian, dia terpaksa menumpang tidur di rumah jiran sementara seorang anak lelaki tidur di bawah pokok.
“Kejadian berlaku begitu pantas sehingga kami tidak sempat untuk menyelamatkan apa-apa, sebaik sahaja sampai di rumah, api sedang marak dan memusnahkan keseluruhan bahagian rumah yang kebanyakan diperbuat daripada kayu,” ujarnya.
Sellamah berkata, mereka sekeluarga kini terpaksa menumpang sementara di rumah anak saudara di Amanjaya sehingga mendapat tempat perlindungan memandangkan empat anak masih bersekolah di kawasan berdekatan.
Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut hadir membawa barangan dan keperluan termasuk selimut, tuala dan keperluan harian.
Sementara itu, Pegawai JKM Daerah Kuala Muda, Mohamad Md Nor berkata, sebagai penerima bantuan JKM, Sellamah akan diberi bantuan pemulihan berbentuk kewangan namun, ia memerlukan siasatan dan laporan lengkap berhubung kejadian.
Keluarga ini boleh dihubungi menerusi anak kedua, S Poobalan, 21 tahun di talian 013-5162842.
No comments:
Post a Comment