Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Daripada empat negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat (dan tambahan satu lagi, Perak, yang direbut BN melalui rampasan kuasa selepas tidak sampai setahun diterajui Nizar Jamaluddin), tanpa ragu semua maklum bahawa Selangor merupakan sasaran utama Najib Razak dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Sebagai Ketua Perhubungan Umno Negeri, Najib atas kapasiti Perdana Menteri akan memperkakaskan segala kemudahan, jentera dan sumber, bagi memastikan Pakatan Rakyat dapat ditewaskan di negeri termaju itu
Ia mengingatkan kita kepada taktik dan strategi licik (sehingga tidak dapat dihidu) Umno dalam usaha menawan Terengganu selepas Barisan Alternatif membuat kejutan pada pilihan raya 1999.
Ramai terperanjat apabila negeri yang kaya dengan hasil bumi itu, dan pernah menerima royalti petroleum RM1 bilion setahun, ditumpaskan dengan "begitu mudah sekali", tanpa didahului riak protes rakyat terhadap pemerintahan Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Tanpa mengetepikan faktor-faktor lain yang menyebabkan kekalahan PAS, termasuk kelemahan dalaman, hakikat yang tidak dapat ditolak adalah peningkatan mendadak pengundi yang jauh melebihi kadar pertumbuhan penduduk Terengganu.
Wan Nik Wan Yussof, dalam buku Demokrasi Rakyat Terengganu Menolak Parti Islam (2004) mendedahkan fakta berikut:
Jumlah pertambahan pengundi di Terengganu, antara tahun 1999 hingga 2004, sebanyak 66,853 pemilih, iaitu 17.18 peratus (3.44 peratus setahun). Sedangkan pertambahan tahunan penduduk hanya 1.53 peratus. Ini menunjukkan pertumbuhan tahunan pemilih lebih tinggi sebanyak 1.91 peratus berbanding peningkatan penduduk Terengganu.
Bagi Wan Nik, gambaran ini menjelaskan bahawa kadar pertumbuhan pemilih bagi tempoh 1999- 2004 adalah lebih tinggi sebanyak 9.53 peratus berbanding pertumbuhan penduduk. Kadar peratus ini menyamai 36,935 pemilih. Ini bermakna hampir 37,000 pemilih yang dalam senarai daftar pemilih 2004 mungkin bukan bermastautin di Terengganu.
Difahamkan tokoh di sebalik perencanaan sulit itu adalah Idris Jusoh, yang kemudiannya menjadi Menteri Besar Terengganu (2004-2008). Ada sumber mendakwa khidmat Idris turut diminta untuk menjayakan misi besar Umno Selangor dalam PRU13.
Justeru, apabila ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, pada 4 Mac lalu, menimbulkan kecurigaannya berhubung kenaikan mendadak pemilih baru di Selangor, terutama di kawasan luar bandar berbanding dengan tahun 2008, saya kira ia bukan lagi satu isu menggemparkan, malah sudah dijangka sejak empat tahun lalu.
Teo memberi contoh kawasan Parlimen Hulu Selangor yang mencatat peningkatan pemilih lebih 20 peratus berbanding tahun 2008. "Di tempat yang mempunyai bandar-bandar baru, ini boleh diterima. Tetapi di Hulu Selangor tidak ada ramai orang yang berpindah ke sini, jadi kita dapati peningkatan dalam jumlah yang besar ini sangat mencurigakan," katanya.
Soal membersihkan senarai daftar pemilih sememangnya sudah menjadi tuntutan utama Bersih sehingga tercetusnya dua kali demonstrasi raksasa di ibu negara, pertama pada November 2007 dan kedua, Julai 2011.
Pada 15 Februari lalu, anggota Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai pembaharuan sistem pilihan raya, Anthony Loke memberitahu semakan audit yang dijalankan olehMimos Bhd, sebuah syarikat teknologi milik penuh kerajaan, ke atas daftar pemilih mendedahkan wujudnya jumlah amat besar pengundi yang meragukan.
Terdapat sekurang-kurangnya 230,000 pengundi yang mencurigakan. Loke berkata Mimos pada taklimatnya memberitahu pihaknya mengesan 820 kes di mana terdapat lebih daripada 100 pengundi yang menetap di alamat yang sama.
"Selain itu, kami mendapati 1,259 kes di mana antara 51-100 pengundi tinggal di alamat yang sama, 3,254 kes di mana terdapat antara 21-50 pengundi tinggal di alamat sama, dan 6,002 kes yang melibatkan antara 11 hingga 20 pengundi di rumah sama," tambahnya.
Menurut sumber, Umno Selangor begitu bergantung kepada manipulasi daftar pemilih memandangkan majoriti pengundi di negeri itu dilihat masih menaruh kepercayaan kepada Pakatan.
Dari segi isu dan mood rakyat, meskipun dilontar pelbagai tohmahan dan rasuah politik, kepemimpinan Khalid Ibrahim dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk terus mentadbir Selangor.
Namun kebimbangan ramai lebih terfokus kepada senarai pemilih yang mencurigakan itu. Anda boleh menilai dan mentafsir sendiri fakta dalam Jadual 1, iaitu kadar peningkatan jumlah pemilih suku ketiga 2011 berbanding tahun 2008, mengikut kawasan Parlimen tertentu di Selangor.
Ooops, di Pekan, kadar pertambahan itu sebanyak 33.35 peratus! (Lupa saya, "pekan" itu maknanya "bandar" 'kan?. Patutlah kadarnya begitu tinggi sekali ... ha ha ha). Perhatikan juga kadar peningkatan pengundi di Petaling Jaya Selatan dan Petaling Jaya Utara, di bawah 8 peratus...
Jadual 1
PARLIMEN PERTAMBAHAN
SUNGAI BESAR 19.95%
HULU SELANGOR 25.14%
KUALA SELANGOR 20.39%
SELAYANG 18.86%
PANDAN 18.18%
HULU LANGAT 23.95%
SERDANG 22.63%
PUCHONG 24.94%
PJ SELATAN 5.64%
PJ UTARA 7.76%
SUBANG 35.02%
SHAH ALAM 19.87%
KOTA RAJA 29.51%
KUALA LANGAT 23.62%
SEPANG 24.64%
No comments:
Post a Comment