Tuesday, March 27, 2012

UMNO dulu & UMNO sekarang...Bilalah Abdul Wahub akan muncul?

Oleh Aspan Alias

Lama juga rasanya saya berada dalam Umno dan pernah bergiat hampir tiga dekad lamanya. Walaupun saya bukan seorang yang pandai dan jauh sekali untuk memandai-mandai, saya dapat banyak pengalaman bergiat dalam parti yang telah diberikan mandat untuk mentadbir negara selama kita mencapai kemerdekaan.

Itulah sebabnya saya berani dan boleh untuk menceritakan perkara-perkara yang membezakan diantara Umno yang dahulu dengan Umno Baru yang baru berumur 24 tahun itu.

Bak kata orang tidak ada yang lama tidak ada yang baru. Keadaan bersalah-salahan itu memang satu keadaan yang natural. Hanya kita sahaja yang boleh memilih untuk memilih salah satu dari sifat berlawanan itu. Kalau ADA lawannya TIADA, Begitulah keadaannya. Mana kita tahu yang sesuatu itu panjang jika tidak ada elemen yang pendek. Masakan kita tahu mana yang panas jika kita tidak tahu dan pernah merasakan yang sejuk dsb.

Dalam politik dinihari kita sedang melihat satu politik yang belum pernah kita lihat dan alami sebelum ini. Keadaan ini berlaku disebabkan kali ini merupakan pilihanraya dalam mana rakyat ramai terutamanya gulungan yang muda bersama-sama terlibat memainkan peranan untuk membezakan politik dahulu dan politik sekarang ini. Kali ini juga merupakan politik yang pertama kalinya BN menghadapi pengaruh PR yang sudah pun memegang teraju pemerintahan dilima buah negeri dalam persekutuan ini.

Salah satu penyebab yang BN menjadi lemah ialah kerana sifat takbur BN yang telah sebati dengan Umno yang BN dianggap pasti pilihan rakyat. Malahan selalu sangat kita mendengar kata-kata seperti; “kalau bertanding BN, calon tak payah datang berkempen. Kalau wakilkan songkok calon pun dah cukup”.begitulah sombongnya Umno dalam waktu ia sedang kuat.

Kata-kata yang lain yang selalu kita semua dengar, “PAS dan pembangkang itu hanya parti bermusim. Ianya wujud hanya semasa pilihanraya sahaja” atau pun “Pembangkang seperti PAS itu parti gila dsb”. DAP pula dikatakan parti komunis, rasis, anti Islam dan jika menyertai parti itu kita akan menjadi kafir. Semua momokan Umno terhadap musuhnya dibantu oleh media arus perdana selama 50 tahun lamanya. Tetapi sekarang mampukah Umno dan pimpinannya bercakap sedemikian sombong?

PAS telah dihina oleh pimpinan Umno semasa parti itu masih terkial-kial untuk meyakinkan rakyat malahan ramai diantara pemimpin mereka dipenjarakan dan disimpan di Kemunting dibawah tahanan ISA. Dr Mahathir marah-marah kerana ada Melayu Islam yang berkeyakinan terhadap PAS, parti yang pernah dicop sebagai parti militant untuk menjarakan orang Melayu darinya. Dr Mahathir pernah dengan sombong bercakap yang Nabi Muhammad saw tidak bercukur kerana semasa zaman itu tidak ada pisau pencukur.

Mungkin memang benar tidak ada pisau pencukur semasa itu. Saya pun tidak pasti kerana 1432 tahun dahulu saya belum lahir lagi. Tetapi saya dan ramai lagi sekarang ini memang mengakui yang pisau pencukur sememangnya banyak sekarang ini.Pencukur-pencukur inilah yang telah dan masih mencukur harta rakyat sehinggakan negara berhutang sebanyak 53 peratus dari GDP negara..

Sekarang dalam keadaan tersepit pun Umno masih sombong. Umno sekarang masih bercakap tentang membantu orang Melayu, isu yang lama yang dimainkan sejak berdekad-dekad dahulu. Melayu tidak kemana juga. Dalam keadaan hampir lumpuh pun Umno masih bercakap besar tentang isu yang sama. Janji-janji yang sama dibuat sejak dahulu sampai sekarang.

Sekarang ini Umno (Najib) mundar mandir membuat janji dan kemana sahaja beliau pergi beliau telah membayar sedikit komisyen kepada rakyat. Beliau telah berjanji yang rakyat akan dapat banyak lagi komisyen jika mereka mengundi BN. Malahan beliau begitu terdesak sambil berkata “Lu tolong gua, gua tolong lu”. Umno tidak habis-habis dengan membayar komisyen kerana kuasa kepada mereka adalah perniagaan.

Kalau ini caranya mentadbir, negara akan bankrap dan ini tidak mengejutkan kerana salah seorang dari jemaah menteri negara pun pernah berkata yang negara kita akan bangkrap pada tahun 2019. Sikap Najib tidak ubah seperti watak Sulaiman Akhlakhan dalam filem “Tiga Abdul”.

Dalam keadaan hendak kena lelong pun masih hendak membayar komisyen lebih tinggi, iaitu sebanyak 25 peratus jika rakyat tidak melelong Umno dan BN dalam pilihanraya yang akan datang. Rakyat berharap akan ramai lagi watak-watak Abdul Wahub untuk mengajar pemimpin-pemimpin tamak haloba seperti Abdul Wahab dan Abdul Wahib seperti yang dipaparkan oleh filem “Tiga Abdul” itu.

Rakyat berharap akan timbul seorang Abdul Wahub dalam isu politik negara kita ini. Kalau muncul Abdul Wahub peluang untuk mencari keadilan akan sampai. Selagi ada watak-watak Sulaiman Akhlakhan yang sentiasa mengambil komisyen dan ketamakan Abdul Wahab dan Abdul Wahib selagi itulah segala harta rakyat dibolot mereka. — aspanaliasnet.blogspot.com

1 comment:

  1. Sdr penulis, sulaiman akhlakan tu merupakan watak seorang yg memegang kuat akan amanah yg diberi. Sebaliknya watak sadiq segaraga (ahmad nesfu) yg menggambarkan seseorang yg tamak dan rakus dan menggunakan penasihat (hussin patalan) utk merancang perbuatan jahat...

    ReplyDelete