Thursday, March 29, 2012

Pemain Kedah tertekan angkara penyokong


PEMAIN Kedah (jersi hijau) agak tertekan apabila beraksi di halaman sendiri gara-gara kerenah penyokong

BOLEH menang di tempat lawan, namun belum tentu boleh menang di tempat sendiri.Begitu dilema skuad Kedah yang berdepan tekanan setiap kali beraksi di gelanggang sendiri – Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Perkara yang menghantui pemain ialah sokongan penonton bertukar menjadi cacian.

Pengurus pasukan Kedah, Datuk Khazali Din memberitahu, bukan sekadar cacian, malah ada penyokong yang merendah-rendah dan memperlecehkan pemain sehingga boleh menyebabkan moral mereka jatuh.

Katanya, perkara itu memalukan pemain kerana cacian dilontarkan secara terbuka yang boleh didengar ramai penonton di stadium.

“Pemain amat menghargai sokongan penonton yang membanjiri stadium setiap kali Kedah beraksi, namun mereka kurang selesa dengan cacian dan kata-kata kesat.

“Ia boleh melemahkan semangat mereka. Kesilapan kecil biasa dalam bola sepak, namun pemain mengharapkan penonton memberi semangat dan dorongan kepada mereka untuk beraksi lebih baik,” katanya.

Kedah menanti kunjungan Perak pada saingan Liga Super malam ini dalam usaha memburu kemenangan, sekali gus keluar daripada zon penyingkiran.

Menurut Khazali, penonton perlu menjaga emosi mereka supaya jangan mengeluarkan perkataan yang boleh menyakitkan hati pemain.

“Pemain juga manusia yang ada perasaan. Penonton dan pemain perlu sama-sama menjaga hati. Pemain mana yang mahukan kekalahan dalam perlawanan yang diharungi mereka.

“Saya berharap penonton dapat memberi sokongan padu kepada pemain Kedah dan bukannya cacian,” katanya.

Tambahnya, kehadiran penonton ke stadium semakin meningkat dan berharap dapat menyuntik semangat pemain untuk beraksi dengan lebih baik, lebih-lebih lagi ketika Kedah memerlukan mata bagi membaiki kedudukan dalam liga.

“Keyakinan pemain amat tinggi selepas menumpaskan T-Team baru-baru ini dan berharap momentum kemenangan itu dapat diteruskan,” katanya.

No comments:

Post a Comment