Panas politik PAS Kedah tiba-tiba diredakan dengan tindakan mengejut bekas pemimpin veteran Umno yang juga bekas menteri cabinet Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengumumkan keluar dari Umno. Meskipun tindakan Kadir itu tiada kena mengena dengan PAS atau Pakatan Rakyat tetapi ia tetap berita yang menggembirakan kerana ia menggambarkan kepincangan dalam UMNO.
Kadir bukan calang-calang orang dalam Umno, selama 56 tahun (sejak 1956) memegang jawatan dalam parti sehingga sebelum isytihar keluar parti. Mungkin hanya boleh dibilang dengan jari, pemimpin Umno yang mampu bertahan dengan jawatan dalam Umno selama itu. Beliau pernah menjadi exco Pemuda Umno selama 10 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi Umno selama 24 tahun di samping jawatan-jawatan lain seperti Ketua Pemuda Umno Negeri Kedah dan sebagainya.
Beliau juga menjadi Ahli Pentadbiran Kerajaan Malaysia sekitar 30 tahun, selaku Setiausaha Politik, Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri dan Menteri. Antara kementerian yang pernah diterajuinya termasuk Penerangan dan Pelancongan.
Beliau kini adalah timbalan presiden Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) dan sering mengeluarkan kenyataan yang membidas Umno, termasuk dakwaan BN membeli undi dan tiadak kebebasan bersuara dalam parti itu. 17 Mac lalu, Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Lembaga Disiplin Umno sedang mengumpul maklumat dan bukti berhubung dakwaan Abdul Kadir berkenaan dan akan bertindak ke atasnya.
Belum pun tindakan diambil dia terlebih dahulu keluar. Berbeza dengan Dato’ Dr. Hassan Ali yang keluar PAS kerana dipecat. Lazimnya orang yang dipecat lebih hilang maruah dan wibawanya berbanding orang yang tahu mencari pintu keluar sendiri. Itulah kelebihan Kadir.
Dalam PRU12 lalu beliau memilih untuk mengundur dari dari bertanding secara sukarela. Itupun tindakan berwibawa juga berbanding jika dia digugurkan sebagai calon. Hakikatnya apabila beliau sudah bersara secara sukarela dari politik Pusat dan kerajaan, maka kritikannya terhadap Umno, BN dan kerajaan bukan kerana tiada tempat lagi dalam politik atau kerana mahu menyebelahi pembangkang sebaliknya segala kritikan terhadap Umno dan BN lahir dari keikhlasan hatinya yang menyaksikan sendiri kepincangan dalam parti rasuah itu selama hampir 6 dekad.
Jika Dr. Hassan Ali ada JATI, maka Kadir ada AMANAH. Jika Kadir memilih untuk tidak duduk berehat di rumah di waktu bersaranya ini, maka segala maklumat dalaman Umno darinya tentulah dinanti-nantikan oleh rakyat untuk melihat dia beraksi di pentas ceramah. Ceramahnya pasti akan menghimpun ribuan manusia, lebih mendapat sambutan berbanding ceramah Hassan Ali, Ibrahim Ali dan Umi Hafilda Ali. Inilah yang sangat dirisaukan oleh Umno menjelang hampirnya pilihanraya.
Datuk Seri Najib Razak dan BN pasti tidak akan membiarkan hal ini terjadi. Mereka akan menggunakan apa saja cara supaya Kadir tidak bebas bersuara. Tawaran dan ugutan adalah strategi yang lumrah digunakan oleh BN, hatta ke peringkat menggunakan perkakas kerajaan sekalipun. Kadir anak Kedah. Elok juga dia mengkucarkacirkan Umno di Kedah di saat PAS belum kebah sepenuhnya dari demam.
Miggu lalu ada mesyuarat Perhubungan PAS Kedah. Kononnya ada desakan supaya Pesuruhjaya Ustaz Azizan Razak menukarkan Timbalan Pesuruhjaya 1 dan 2 yang disandang oleh Dato’ Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr. Ismail Salleh. Itu hanya andaian kerana tiada siapa tahu apa yang dibincangkan dalam mesyuarat tertutup melainkan mereka yang layak hadir. Yang pentingnya ialah apabila Pesuruhjaya mengumumkan selepas mesyuarat tersebut bahawa tiada rombakan untuk kedua-dua jawatan timbalan pesuruhjaya. Pesuruhjaya tidak perlu mempunyai jiwa yang terlalu besar untuk membuat keputusan tersebut kerana itu kehendak PAS Pusat yang mahu semua pihak yang dianggap berkonflik berada dalam satu saf yang mantap menjelang pilihanraya. Tindakan yang diambil oleh Ustaz Azizan dan kesediaan dua timbalannya untuk terus bersama memimpin PAS Kedah mempunyai impak positif yang sangat besar terhadap PAS di seluruh negara. Imej yang bukan sedikit tercalar tempohari kembali bersinar.
Tugas penting PAS Kedah sekarang ialah menggerakkan semula jentera pilihanraya dengan kekuatan berganda setelah tergendala hampir sebulan. Sepanjang tempoh PAS alami ribut dalam cawan, BN Kedah tidaklah sekuat mana mengumpul kekuatan. Tiada manfaat yang mereka dapati dari ‘konflik’ PAS kerana jika PAS berkonflik di pucuk dan dahan maka BN khususnya Umno berkonflik hingga ke akar umbi.
Tiga bulan menjelang pilihanraya yang dijangkakan adalah tempoh yang kritikal bagi Umno kerana sekaranglah masa kemuncak untuk melobi jadi calon. Selagi Pengerusi Perhubungan Umno tidak mengumumkan calon yang sahkan oleh Presiden parti maka selama itulah ruang dan peluang masih sama rata. Sesiapa saja yang mahu menjadi calon Umno dalam sesuatu kawasan (DUN atau Parlimen) mestilah mempunyai kekuatan sokongan hingga ke akar umbi dalam parti. Sokongan tidak boleh diraih percuma melainkan mesti dibeli. Itu budaya baru dalam Umno kini.
Setiap bakal calon Umno mempunyai rangkaian penyokong Umno masing-masing. Hampir tidak ada kawasan di Kedah, dimana seorang calon payung terjun selesa untuk turun bertanding sekalipun dengan restu Presiden parti.
Contohnya Datuk Dr. Mashitah Ibrahim yang diura-urakan akan bertanding di kampung halamannya di kawasan parlimen Pokok Sena sudah siap disediakan pagar halangan oleh orang penting Umno Bahagian Pokok Sena. Ia bukan rahsia lagi. Datuk Latt Shariman (pegawai khas Perdana Menteri) yang sudah tiga tahun memugar kawasan Parlimen Kuala Kedah dan Dato’ Seri Jamil Khir Baharom (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri) yang empat tahun memancing rakyat Jerai juga masih tidak selesa untuk menjadi calon BN. Masih ada tembok hadangan dari ‘orang asal’ bahagian. Itu cerita nama-nama besar Umno, pun sudah bermasalah. Nama-nama biasa dan kecil apatah lagi, lebih sukar untuk menempatkan diri dengan selesa sebagai calon yang mendapat sokongan padu dari semua pihak macam Umno/BN di zaman Dr. Mahathir dahulu.
Semua ketua-ketua puak yang tersenarai sebagai bakal calon ini tidak akan duduk diam jika tidak terpilih sebagai calon. Pilihan yang ada bagi Umno untuk menyelesaikan masalah puak ini ialah memenuhi tuntutan alternatif ketua puak mereka setelah tidak terpilih sebagai calon. Percayalah untuk PRU13 ini Umno terpaksa menggunakan berguni-guni duit bagi mendapat kerjasama dari ketua-ketua puak dalam Umno. Duit negara boleh habis untuk membela ketua puak dalam Umno tetapi sokongan terhadap BN belum tentu diperolehi. Itu masalah besar Umno.
Sekarang Najib sedang menjelajah ke seluruh negara untuk menabur duit membeli undi. Bermula dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia bernilai RM500 yang dihulurkan 54 tahun sekali, kini setiap pertemuan Najib dengan mana-mana komuniti umpannya ialah peruntukan yang bernilai berjuta-juta. Peruntukan itu duit rakyat, kempen politik BN pun semuanya dibiayai oleh duit rakyat. Apa yang disebutkan oleh Tan Sri Kadir perihal Umno yang membeli kuasa dengan wang adalah benar. Negara boleh bangkrap angkara pemimpin yang semakin hilang kewarasan menggunakan duit dari tabung khazanah negara untuk mengekalkan kekuasaan.
No comments:
Post a Comment