Sunday, March 11, 2012

Tinggal dalam bangsal usang

Wartawan Sinar Harian
11 Mac 2012
Usang

SUNGAI DUA - Sejak lima tahun lalu, kehidupan Mohd Ali Hassan, 74, yang tinggal di Kampung Tok Adam di sini, bersama isteri dan seorang anak lelaki yang mengalami masalah mental tidak seperti orang lain.

Dengan pendapatan RM15 sehari sebagai tukang sapu sampah di sebuah stesen minyak di pekan ini, dia tidak mampu untuk menyara keluarga malah terpaksa tinggal dalam rumah usang.

Mujur, melalui belas ihsan dan bantuan berterusan dari Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed dan jiran tetangga, tiga beranak itu dapat merasai nikmat hidup.

Rumah yang didiami Mohd Ali bersama isteri, Siti Zubaidah Sirat, 72, dan seorang anak lelaki yang berusia 21, itu seperti bangsal dan menunggu masa untuk roboh.

Tanpa wang simpanan, Mohd Ali tidak mampu mengurus kawasan persekitaran rumah termasuk membaiki kerosakan bumbung, dinding dan lantai rumahnya.

Namun, Mohd Ali tabah menjalani kehidupan bersama keluarganya secara ala kadar tanpa mengharapkan sebarang bantuan selama ini.

“Saya sebenarnya malu untuk memohon bantuan, kerana sebelum ini pernah berbuat demikian tetapi sehingga sekarang tidak pernah mendapat maklum balas positif mengenainya.

“Selagi terdaya saya akan terus berusaha menggunakan kudrat sendiri menyara keluarga,” katanya.

Semalam, sekali lagi Mohd Ali dan keluarganya gembira kerana dikunjungi Jasmin yang menziarahinya untuk menghulurkan bantuan.

Lawatan ziarah itu turut disertai Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Utara, Abdul Rahim Mohd Aliff yang turun padang untuk mengambil maklumat bagi menyalurkan bantuan tetap bulanan.

“Terima kasih kepada semua yang hadir dan prihatin dengan nasib kami sekeluarga,” katanya.

No comments:

Post a Comment