Monday, April 30, 2012

Adakah Parlimen bubar selepas Aidilfitri...mungkin kerana Najib kehabisan talian hayat?

Najib kehabisan talian hayat?
Shaharul Shafie

Pasti ramai yang membaca tajuk artikel ini tertanya-tanya apakah penulis akan membawa arah penulisan beliau dengan meramalkan bahawa parti pemerintah Barisan Nasional (BN) akan melabuhkan tirainya selepas hampir 55 tahun berkuasa. Ada pembaca pasti mengandaikan penulis ini berkemungkinan seorang penyokong ataupun seorang yang bersimpati dengan pembangkang di Parlimen yang juga kerajaan yang dipilih di beberapa negeri termasuklah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ayuh, bacalah artikel saya untuk mengetahui kebenaran daripada tajuk saya di atas.

Semua tertanya-tanya selepas kejadian ‘pelbagai cerita’ di dalam perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara dua hari lepas, adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih berkeyakinan untuk meneruskan hasratnya membubarkan Parlimen pada tahun ini. Ramai penganalisa meramalkan Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) diadakan pada hujung bulan Jun berdasarkan senario yang memberi kelebihan kepada parti pemerintah sebelum penganjuran Bersih 3.0. Mungkin sekarang penganalisa-penganalisa ini akan meletakkan ruang waktu baru di dalam ramalan mereka. Tetapi bagi saya, meskipun sebelum berlakunya ‘tragedi’ Bersih 3.0, saya amat yakin bahawa PRU bakal diadakan sebaik sahaja musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tetapi sebelum banyak kapal terbang haji bertolak ke Tanah Suci.


Beberapa sebab menyokong andaian saya sedemikian. Pertama ialah Najib memerlukan lebih masa untuk berkempen menggunakan tiketnya sebagai PM meskipun banyak turun padang baru-baru ini dari Perlis sehinggalah ke Sabah dan mengurangkan kegemarannya yang suka melawat pemimpin negara asing selepas memegang jawatan PM. Malah, beliau akan mula bercuti selama dua minggu bermula pertengahan bulan Mei ini di Amerika Syarikat di samping menghadiri majlis konvokesyen puterinya di sana. Walaupun ramai berkata Najib boleh membubarkan Parlimen pada hujung Mei, 30 hari di dalam bulan Jun adalah tidak cukup bagi jentera BN tetapi tidak dinafikan tidak boleh dilakukan.

Bagi saya, Najib melihat dua faktor sebelum membubarkan Dewan Rakyat. Yang pertamanya ialah berjaya mengotakan janji-janji beliau untuk memastikan transformasi dilakukan walaupun sekadar proses-proses perundangan . Sekurang-kurangnya dengan membawa beberapa akta-akta baru menggantikan akta-akta kolonial lama seperti ISA, Akta Darurat dan AUKU agar diluluskan di Dewan Rakyat. Cakap-cakap mahu PRU13 kembali bergema sejak kebelakangan ini disebabkan BN nampak ‘gelojoh’ apabila membentangkan dan meluluskan banyak akta-akta baru dalam masa 48 jam di Dewan Rakyat. Namun begitu, bagi menguatkuasakan akta berkenaan, masa masih diperlukan untuk diluluskan di peringkat Dewan Negara (masih memerlukan siri-siri pembacaan dan sesi perbahasan) dan akhirnya perlu dipersetujui oleh Yang Di Pertuan Agong. Maka, untuk menjadikan semua ini selamat digazetkan, paling awal pun akan siap sebelum bulan puasa (Julai) tahun ini.

Faktor kedua yang penting buat Najib ialah keadaan ekonomi global dan Malaysia. Majoriti penganalisa ekonomi dunia menjangkakan ekonomi dunia akan mulai menunjukkan tanda-tanda perlahan bermulanya suku ketiga tahun ini iaitu seawal-awalnya bulan Julai tahun ini. Pada hari ini pun ekonomi dunia sedang berada pada tahap matang (maturity) dan dalam hukum ekonomi, fasa berikutnya mestilah penurunan (decline). Malaysia juga tidak akan terlepas daripada bahang kemerosotan ekonomi dan akan lambat launnya merasa kesannya apabila indeks-indeks pelbagai di Bursa Malaysia akan turut sama menurun. Oleh itu, untuk mengadakan PRU selepas September 2012 adalah mimpi buruk kepada Najib. Setakat ini, banyak kerajaan pemerintah jatuh di seluruh dunia apabila pilihanraya diadakan ketika ekonomi mulai meleset.Lebih-lebih lagi di Malaysia, BN sepatutnya lebih gusar jika ekonomi merosot, undi kaum Cina akan terus merundum bagi BN dan situasi sokongan rendah di bawah 20% kaum Cina pada BN hari ini pasti lebih memburukkan keadaan. Ini hanyalah andaian bijak berdasarkan pola-pola pilihanraya yang dianjurkan semasa ekonomi menurun tetapi parti pemerintah masih boleh menang sekiranya proses pengundian dimanipulasikan atau tidak telus. Wallahualam.

Oleh itu, Najib hanya ada masa bagi membubarkan Parlimen antara bulan Ogos dan September. Tetapi tidak mungkin Ogos kerana separuh bulan itu adalah bulan Ramadhan dan kurang separuhnya, orang Islam di Malaysia bakal merayakan Aidilfitri. Oleh itu, awal bulan September adalah bulan terbaik untuk Najib membubarkan Parlimen dan paling awal PRU boleh diadakan adalah pada minggu terakhir September dan paling lewat pun minggu pertama Oktober.

Parlimen bubar selepas Aidilfitri?

PRU tidak mungkin di adakan selepas minggu pertama Oktober. Ini adalah kerana pada waktu-waktu berkenaan para pengundi Melayu beragama Islam sudah ramai berangkat mengerjakan haji dan UMNO amat mengharapkan golongan Melayu bagi mengekalkan kuasa mereka sebagai pemerintah walaupun dijangkakan tidak mampu lagi menguasai majoriti 2/3 daripada kerusi Parlimen dan malah mampu menawan Kedah semula.

Kelebihan mengadakan PRU selepas Hari Raya Aidilfitri dan minggu pertama Syawal adalah kerana para pemimpin BN dan kerajaan boleh menggunakan kesempatan amalan-amalan semasa Ramadhan untuk turun bertemu rakyat terutamanya orang Melayu terutamanya majlis berbuka puasa . Bagi BN terutamanya UMNO, bulan Ramadhan boleh memberikan peluang bagi mereka ‘menabur wang secara halal’ kononnya sempena bulan baik di masjid-masjid dan surau-surau di atas kapasiti sebagai menteri dan timbalan menteri. Kemudiaan,di bulan Syawal juga, sudah menjadi kelaziman pemimpin-pemimpin membuat rumah terbuka di sana-sini. Oleh itu, program-program mendekati rakyat ini satu kelebihan kepada BN untuk meraih undi-undi Melayu semasa bulan Ramadhan dan Syawal.

Bukan itu sahaja, jika PRU diadakan pada penghujung Syawal (September), BN tidak perlu rasa bimbang mengenai anak-anak muda terutamanya mahasiswa-mahasiswa IPTA yang akan kembali ke kampus bagi meneruskan pengajian semester baru. Akta baru menggantikan perkara AUKU yang dijanjikan BN mampu menyukarkan peluang BN jika PRU diadakan pada bulan Jun atau awal Julai kerana siswa-siswi ini yang kebanyakannya pro-Pakatan sudah berada di kampong halaman untuk cuti panjang semester dan ini membolehkan mereka bertugas sebagai sukarelawanuntuk berkempen tanpa sekatan AUKU lagi bagi membantu parti. Oleh itu, dengan mengadakan PRU semasa siswa sudah kembali ke kampus mengurangkan risiko buat BN dari mimpi ngeri ini.

Saya ingin kembali semula kepada persoalan tajuk saya di atas. Saya sudah nyatakan ramalan saya bagi PRU untuk tahun ini tetapi bagaimana kita meramalkan nasib Najib sendiri. Selepas meneliti pengurusan Bersih 3.0 kali ini yang agak emosional di kedua-dua pihak (polis dan peserta), saya yakin Najib kini tidak senang duduk. Ini bukannya kerana Najib takut pada rakyat ataupun parti pembangkang tetapi Najib lebih bimbang kepada tekanan dalaman UMNO dan BN sendiri. Kegagalan polis bertugas dengan sepatutnya iaitu sewajarnya mempertahankan Dataran Merdeka daripada dicerobohi dan tidak terlalu pro-aktif sehingga mengejar para peserta Bersih sehingga beberapa kilometer adalah sesuatu yang tidak dapat diterima akal sekiranya pihak polis mendakwa mereka mesra rakyat.

Pengendalian pihak polis kali ini adalah yang terburuk dan penuh emosi jika dibandingkan dengan pengurusan semasa Bersih 1.0 dan 2.0. Malahan kali ini ramai wartawan juga menjadi mangsa dan tindakan merampas bahan rakaman bagi mengelakkan bukti ‘keganasan’ polis ditunjukkan kepada awam. Ini adalah satu langkah yang tidak mencermin langsung janji-janji transformasi oleh PM sebelum ini. Malah, tindakan itu dilihat agak menyamai tindakan ganas pihak berkuasa Libya dan kini Syria di dalam menghadapi kebangkitan rakyat.

Saya yakin Najib sedar segala kesilapan polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyebabkan kedudukannya dalam bahaya. Sudah menjadi lumrah bahawa yang dilakukan polis mestilah sesuatu yang direstui oleh PM sendiri. Sejak menjadi PM, banyak talian hayat digunakan oleh Najib bagi mengawal sokongan rakyat kepada kerajaan BN. Najib dilihat sebelum ini agak berjaya merampas kembali undi-undi kritikal orang Melayu untuk kembali kepada BN. Kejayaan ini ditambah pula dengan propaganda-propaganda atau provokasi-provokasi bersifat bangsa dan agama yang dimainkan oleh rakan-rakan selindung UMNO seperti Perkasa. Meskipun, Najib pandai mengemukakan dirinya sebagai hero kepada semua rakyat melalui 1Malaysia tetapi ramai nampak Najib tidak konsisten di dalam perjuangan 1Malaysianya.

Semasa Bersih 2.0, ramai berpendapat Najib semakin kehilangan sokongan tetapi tidak dinafikan beliau berhempas-pulas mengawal impak Bersih 2.0 itu dengan mendatangi rakyat dengan janji-janji transformasi dan juga ‘gula-gula’ untuk rakyat melalui Bajet 2012. Namun begitu, Najib lupa untuk lebih berhati-hati di dalam menghadapi Bersih 3.0 supaya tidak perlu lagi bekerja kuat mencari idea-idea baru bagi meraih sokongan-sokongan yang hilang sepertimana Bersih 2.0 dahulunya. Mungkin Najib ada idea-idea baru termasuklah yang terbaru mengumumkan dasar gaji minimum swasta tetapi masa untuk Najib ‘memberi’ sudah tidak cukup bagi mengembalikan sokongan ke atas BN atau meredakan kemarahan rakyat di atas kegagalan menguruskan Bersih 3.0.

Kita sedia maklum disebabkan kegagalan mengawal momentum Bersih 1.0, BN telah kehilangan majoriti 2/3 kerusi Parlimen dan kehilangan lima negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Bukan itu sahaja, PM ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) terpaksa melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno dan sekaligus PM Malaysia.

Dengan apa yang dipaparkan dalam Bersih 3.0, nampaknya keadaannya lebih parah jika dibandingkan demo-demo bersirinya sebelum ini. Pastinya Najib tidak cukup masa lagi bagi memperbaiki kerosakan yang dilakukan pada imej beliau dan BN yang menurun sekelip mata sahaja akibat ‘jenayah’ polis dalam Bersih 3.0. Mahu tidak mahu, PRU kena diadakan juga tahun ini. Walaupun mempunyai mandat sehingga Mac tahun depan, ekonomi Malaysia dan global tidak cukup kuat ketika itu kerana kemelesetan ekonomi sedunia bukannya perkara sekejap tetapi akan mengambil masa beberapa tahun untuk pulih.

BN akan kekal berkuasa tetapi Najib...

Namun begitu, dengan persempadanan kawasan pilihanraya yang sekian lama memberi kelebihan jumlah kerusi kepada BN di Sabah dan Sarawak, BN secara keseluruhannya masih berpeluang untuk mengekalkan kuasa sebagai pemerintah selepas PRU13. Tetapi keadaan akan menjadi status-quo seperti yang kita ada hari ini iaitu BN akan gagal memperolehi majoriti 2/3 seperti dahulu tetapi sekadar cukup bagi membentuk kerajaan pusat. Malah, jika dilihat faktor Melayu, BN berpeluang merampas Kedah dengan majoriti mudah tetapi mampu kehilangan Negeri Sembilan dan Perak kepada Pakatan di samping kehilangan beberapa kerusi bandar di Melaka.

Pakatan memerlukan ‘Semangat Reformasi tahun 1999’ jika mahu menawan Putrajaya dalam PRU13. Namun begitu, amat mustahil dengan masa yang ada bagi merealisasikan impian itu tetapi boleh diusahakan. Buat masa ini, Pakatan tidak perlu gusar mengenai undi kaum Cina dan India tetapi harus menumpukan undi kaum Melayu. Saya pernah ingat lagi ketika 1999, jentera yang berkesan bagi mendapat sokongan orang Melayu ketika itu apabila setiap anak-anak muda dan warga bandaraya KL pulang berkempen pada sanak saudara sendiri dan di samping mengedarkan risalah-risalah bahan kempen yang dicetak melalui laman-laman web reformasi seperti Mahazalim, Reformasi Nasional (RN), Tranungkite dan banyak lagi. Saya yakin jika penyokong ataupun mereka yang bersimpati dengan Pakatan lakukan usaha sebegini dalam PRU13,Pakatan mampu berpeluang berkuasa di Putrajaya dengan majoriti mudah.

Walaubagaimanapun, berita amatlah buruk jika jentera BN dibawah Najib gagal menduduki majoriti 2/3 kerusi terutamanya kepada Najib sendiri. Penulis percaya nasib Najib akan sama seperti Tun Abdullah yang akan dipaksa turun melalui tekanan dalaman UMNO sendiri bagi memberikan peluang kepada Timbalannya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saya juga percaya Tun Mahathir sendiri (sekiranya umur lebih panjang dari sekarang) akan memulakan siri konspirasi melemahkan Najib sepertimana beliau lakukan pada Tun Abdullah dahulu. Dalam politik macam-macam boleh berlaku, Tun Mahathir juga Melayu sebab menurut beliau Melayu mudah lupa dan Mahathir akan turut melupakan jasa Tun Abdul Razak yang pernah membawanya masuk semula dalam UMNO dan memberi peluang kepadanya. Maaflah saya, saya berkata demikian sebab Tun Mahathir pada hari ini dalam banyak perkara pun sudah lupa.

Pakatan boleh merancang untuk berkuasa selepas PRU14 dan memperbaiki rank sesama pemimpin Pakatan dan mencapai kesefahaman yang lebih baik lagi di negeri-negeri yang diperintah. Bagi penulis, jika Muhyiddin menjadi PM menggantikan Najib, itu adalah berita baik kepada Pakatan kerana ramai melihat Muhyiddin kurang berkaliber jika dibandingkan dengan Najib. Hanya bagi Najib, beliau hanya malang disebabkan banyak bercakap (berjanji) tetapi gagal mendidik jeneral-jeneral beliau sendiri mengenai apakah transformasi yang ingin dibawanya pada Malaysia. Apa yang berlaku hari ini adalah kegagalan Najib mendidik mereka yang menyebabkan mereka terus membuat kesilapan bagi pihak Najib.

Untuk Pakatan, struktur perjuangan mereka perlu diperbaiki termasuklah memperkenalkan kabinet bayangan jika mahu menjadi pembangkang yang kuat. Dan yang lebih penting ialah mengeluarkan kepompong Pakatan daripada dianggap oleh rakyat sebagai ‘alat’ Anwar Ibrahim. Pakatan bukan sahaja perlu bangga dengan Buku Jingganya tetapi untuk memenangi PRU14, mereka sudah sediakan pelan kecemasan iaitu pelan Pakatan Rakyat tanpa Anwar Ibrahim.

Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik, Teknologi Sains Maklumat dan program pembangunan organisasi. Beliau juga kini melanjutkan pengajian di peringkat PhD di sebuah universiti terkemuka tempatan. Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di beberapa laman web dan media cetak.Beliau juga merupakan pemimpin NGO antarabangsa, Armed for the Quill (AFTQ) yang berpusat di Oslo, Norway. Beliau adalah Ketua AFTQ bagi Asia Tenggara dan Timor Leste. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com

No comments:

Post a Comment