ALOR SETAR – Pada 23 April setiap tahun, telah dinobatkan sebagai Hari Buku dan Hakcipta Sedunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Naib Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah, YB. Haji Zuki Md Yusof berkata, UNESCO telah memilih tarikh itu bagi mempromosikan budaya membaca, penerbitan dan juga menghormati hakcipta.
“Sambutan Hari Buku ini juga untuk meraikan kesinambungan ilmu yang telah ditinggalkan oleh para penulis yang bukan sahaja meninggal pada tarikh tersebut, malah kepada semua penulis atau ‘guru’ yang telah mengabdikan ilmu mereka ke dalam bentuk tulisan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Sambutan Hari Buku dan Hakcipta Sedunia 2012 di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah, di sini.
Menurutnya, objektif utama sambutan itu diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai budaya hari untuk buku dan hakcipta yang diiktiraf oleh badan kebangsaan.
“Ia secara tidak langsung mampu meningkatkan kesedaran pelajar, khususnya di peringkat pra sekolah tentang seronoknya membaca,” katanya.
Haji Zuki memberitahu, dengan adanya Sambutan Hari Buku, ia juga berupaya memupuk tabiat membaca sepanjang hayat serta mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia melalui amalan membaca.
Beliau yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan, YB. Dato’ Dr. Hamdan Mohamed Khalib berkata, sambutan itu juga mampu menggalakkan masyarakat dunia terutamanya golongan muda untuk membudayakan pembacaan dan menyanjungi mereka yang dihormati kerana sumbangan besar mereka kepada masyarakat dunia.
“Ia juga mampu menyedarkan rakyat Malaysia betapa pentingnya buku dan ilmu di dalam setiap aspek kehidupan mereka,” jelasnya.
Persembahan dari peserta Pertandingan Bercerita Cerita Rakyat Peringkat Kebangsaan 2011 turut diadakan pada majlis itu.
Bersempena majlis itu juga, YB. Tuan Haji Zuki Md Yusof turut menyampaikan Anugerah Kakitangan Aktif Menganjurkan Aktiviti Perpustakaan serta Ahli Aktif dan Peminjam Terbanyak Kategori Dewasa dan Kanak-Kanak termasuk Sijil Penghargaan kepada Peserta Pertandingan Bercerita Cerita Rakyat Peringkat Kebangsaan 2011 dan juga Penulis-Penulis Negeri Kedah.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, YB. Tuan Haji Yahya Abdullah dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah, Dr. Zahidi Dato’ Haji Zainol Rashid.
No comments:
Post a Comment