Pemerintah lazimnya gemar rakyat yang mudah mempercaya, senang diperdaya, dan kurang mempersoal. Pastinya, aktiviti pemerintahan lebih senang dilaksanakan apabila golongan yang diperintah suka turut perintah. Siapa yang suka memerintah orang yang tidak ikut arahan dan selalu sahaja menyampuk apabila arahan diberikan?
Sama jugalah keadaannya di Malaysia di mana pemerintah sudah berkuasa lebih setengah abad. UMNO-Barisan Nasional pastinya berharap rakyat menerima bulat-bulat segala cogan kata mereka. Antara cogan kata yang lebih mudah diserapi ialah "Satu lagi projek Barisan Nasional". Slogan ini boleh ditemui di mana-mana tapak projek pembangunan yang ditaja kerajaan dan rakyat umum pun sudah menerima sebagai hakikat bahawa "projek" itu semestinya "BN". Kalau bukan BN, siapa lagi?
Walau bagaimanapun, keberkesanan cogan kata BN tersebut ada buruknya juga. Projek kerajaan tidak semestinya berjaya dan ada kalanya gagal dan terpaksa dilupakan begitu sahaja. Namun, berapa lama lagikah rakyat harus turut perintah UMNO supaya terus lupa dan leka? Persoalannya, sudahkah tiba waktunya untuk rakyat membilang kembali kegagalan dan bangkit melawan kebobrokan yang sudah keterlaluan?
Walau bagaimanapun, keberkesanan cogan kata BN tersebut ada buruknya juga. Projek kerajaan tidak semestinya berjaya dan ada kalanya gagal dan terpaksa dilupakan begitu sahaja. Namun, berapa lama lagikah rakyat harus turut perintah UMNO supaya terus lupa dan leka? Persoalannya, sudahkah tiba waktunya untuk rakyat membilang kembali kegagalan dan bangkit melawan kebobrokan yang sudah keterlaluan?
Tahun 2008 terpahat dalam sejarah Malaysia (bergantung kepada siapa yang menulisnya) sebagai tahun rakyat menyuarakan hasrat untuk perubahan. Harapan ini dimanifestasikan melalui keputusan PRU-12 yang melihat UMNO-BN hilang majoriti 2/3 dalam Dewan Rakyat dan parti-parti pembangkang dipilih menjadi kerajaan di empat negeri - Selangor, Perak, Pulau Pinang, dan Kedah - di samping Kelantan yang sekian lama menjadi kubu PAS. Jangkaan bahawa UMNO-BN pastinya berubah juga tidak kesampaian kerana dalam tempoh empat tahun kemudiannya, pelbagai indikator menunjukkan rejim setengah abad ini tidak mampu mengubah tabiat zalimnya. Kalau sudah 50 tahun memerintah tanpa perlu menghiraukan sesiapa, memanglah sukar untuknya berubah dan menjadi baik dengan tiba-tiba.
Untuk UMNO terus berkuasa, rakyat perlu percaya dan menerima tanpa syarat bahawa orang Melayu ditindas golongan bukan Melayu. Untuk UMNO terus relevan, rakyat perlu sentiasa dipecahbelahkan supaya sistem perwakilan politik kita terus bergantung pada kontrak perkongsian kuasa yang ditandatangani si bangsawan dan dimaktubkan sebagai kontrak sosial tanpa sebarang konsensus rakyat. Maka, sesiapa yang berani mempersoalkan UMNO seringkali dilabel anti-Melayu, anti-Islam, atau anti-Raja. Label-label ini barangkali alasan mudah untuk tindakan kekerasan diambil ke atas mereka yang tidak turut perintah. Ramai juga yang terkena dan meringkuk bertahun-tahun dalam penjara.
Adakah rakyat akan menerima penjelasan si pemerintah dengan begitu sahaja? Ataupun kita turun ke ibukota pada Sabtu ini, 28 April, 2012 dan menghantar mesej yang jelas kepada bangsawan baru negara ini, iaitu kita tidak akan lagi tunduk dan menerima, kita akan bantah dan minta supaya yang rosak dibuang, yang jahat dipenjarakan, dan yang zalim dihancurkan.
Perubahan ini perlu bermula dari kesedaran rakyat bawahan sendiri. Rakyat perlu memberanikan diri supaya tidak lagi angguk dan terima, duduk dan diam, atau putus asa dan lupa. Rakyat boleh mengubah nasib negara dan masyarakat sekiranya kita berganding bahu dan bangkit melawan. Demokrasi bukan lagi permainan yang dikawal si pemerintah dan rakyat tidak akan terus menerima arahan bahawa demokrasi hanya boleh terpakai di tempat-tempat tertentu. Peristiwa perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2012 telah menunjukkan rakyat akan menang dalam pertarungan demokrasi jalanan walau apapun yang berlaku. Meriam air kimia, gas pemedih mata, dan macam-macam lagi keganasan polis boleh menyakitkan dan mencederakan para peserta, tetapi pemerintah tidak berupaya menewaskan semangat rakyat yang perjuangkan keadilan.
428, kita jumpa di Kuala Lumpur.
*Ng Eng Kiat ialah aktivis sosial dan hak asasi manusia, kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment