Thursday, April 19, 2012

Demi PENDIDIKAN PERCUMA UNTUK GENERASI AKAN DATANG kami sanggup di kasari oleh samseng-samseng upahan tersebut

Mahasiswa: Kami sanggup dikasari dengan syarat...

KUALA LUMPUR: Kumpulan mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka sanggup berdepan apa sahaja risiko termasuk dikasari bagi menuntut pendidikan percuma.

Pengerusi Mahasiswa Bangkit, Mohd Syahid Mohd Zaini (gambar) berkata, serangan sekumpulan samseng terhadap mereka awal pagi tadi tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berkhemah di situ sehingga 28 April dan sehingga tuntutan mereka didengari.

"Kami sanggup menghadapi pelbagai perkara, kami sanggup dikasari dan kami redha tapi semangat kami tak akan pudar untuk menuntut pendidik percuma.

"Kami buat semua ini bukan untuk kepentingan kami tapi demi kepentingan mahasiswa dan ibu bapa yang tidak berkemampuan. Lagipun kami yakin kami tidak membuat perkara yang bercanggah dengan undang-undang," kata beliau pada sidang media di Dataran Merdeka, hari ini.

Beliau juga memberitahu, sebanyak lima laporan polis telah dibuat pagi tadi berhubung insiden serangan itu.


Kira-kira jam 2.30 pagi tadi, sekumpulan antara 40 hingga 80 samseng berpakaian serba hitam menyerang perkhemahan mereka dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Samseng itu turut meroboh khemah, memukul mahasiwa dan orang ramai yang menyokong perkhemahan dengan menumpu sasaran terhadap mereka yang membawa kamera dan perakam video.

Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki terpaksa dihantar menaiki ambulans ke hospital manakala beberapa orang termasuk mahasiswi ditendang, ditampar dan ditumbuk.

Mengulas kejadian itu, Syahid berkata, mahasiswa mengecam tindakan yang disifatkan sebagai budaya samseng itu.

"Kami mengecam keras tindakan kurang ajar mereka dan berharap polis menyiasat perkara ini secara adil," katanya.

Ditanya sama ada samseng tersebut diketuai oleh individu yang sama dalam serangan di Jalan Kebun, Klang, Syahid berkata pihaknya tidak dapat mengenal pastinya kerana kebanyakan rakaman dimusnahkan oleh mereka.

"Ada orang beritahu kami, dia orang sama berdasarkan rakaman yang sempat dimuatnaik ke facebook tapi kami tak dapat cam. Mungkin boleh diteliti lagi," katanya.

Jaga keamanan tanggungjawab siapa?

Sementara itu, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menempelak kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang meminta mereka tidak menagih simpati apabila berlaku perkara yang tidak diingini.

"Saya nak tanya, soal menjaga keamanan dan keselamatan orang awam, siapa?

"Kenapa polis yang ada boleh berjaga di tepi-tepi jalan tapi bila berlaku serangan, mereka hanya melihat dan tidak mengambil apa-apa tindakan.

"Respons yang diberikan menteri itu sangat tidak bertanggungjawab," tegasnya.

Dalam kejadian itu, samseng turut melontar kata-kata kesat dan mencampakkan cermin mata aktivis sosial, Fahmi Reza manakala rakannya, Boon Kia Meng, seorang pensyarah institusi pengajian tinggi swasta, ditumbuk.

Pemuda PAS datang beri semangat

Dalam pada itu, beberapa orang Pemuda PAS Pusat diketuai setiausahnya, Khairul Faizi Ahmad Kamil menziarah mereka awal pagi tadi.

Beliau memberikan kata-kata semangat kepada peserta perkhemahan untuk terus bertahan sehingga tuntutan mereka didengar.

No comments:

Post a Comment