Sunday, April 29, 2012

Jika Lelaki Sudah Jadi Menteri Wanita, Berilah Pula Wanita Jadi Menteri KDN

Oleh Shahbudin Husin

Himpunan Bersih 3.0 Sabtu lalu menyerlah satu perkara yang sangat memalukan iaitu bagaimana Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein melalui tindakan yang dilakukan pihak polis telah gagal untuk melihat ke hadapan berkenaan perhimpunan itu. Sebagaimana perhimpunan Bersih sebelum ini yang dicemari tindakan tidak sewajarnya oleh pihak polis, kali ini ia berulang kembali.

Di sebalik Hishammuddin sering mempamer wajah 'serius yang dibuat-buat' dan mengatakan himpunan Bersih kali ini tiada kaitan dengan isu keselamatan, yang nyatanya beberapa insiden yang memalukan pihak polis dapat ditatap dengan jelas melalui rakaman-rakaman video yang tersebar meluas melalui internet.

Ia bukan saja memaparkan tindakan polis menyembur air dan gas pemedih mata malahan terdapat juga insiden bagaimana 6 orang polis membelasah seorang rakyat yang menyertai tunjuk perasaan itu. Kalau ia pun terlalu marah dan ingin membeasah, janganlah sampai 6 lawan 1, gajah pun tumbang.
Insiden kereta polis yang seakan-akan hilang kawalan dan cuba merempuh orang awam pula, didapati pemandunya siap memakai topi keledar. Apakah tujuannya? Apakah polis memang bersiap sedia dan sengaja berbuat demikian seperti kata pepatah moden "siapkan helmet sebelum rempuh orang".

Sebagai anggota polis yang menjaga keselamatan rakyat dan siap dengan senjata, mereka separutnya lebih berhemah, dapat mengawal perasaan dan profesional. Mereka yang menyertai himpunan memang biasa bersikap provokasi kerana semangat yang membara tetapi pihak polis seharusnya dapat mengawal perasaan. Rakyat yang mungkin membuat provokasi tidak membawa apa-apa senjata, jika polis yang bersenjata menjadi tidak profesional dan mudah hilang kawalan, tentulah sesuatu yang buruk akan berlaku.

Di sinilah kelemahan nyata telah dilakukan oleh polis dan Menteri KDN. Sudah tiga kali himpunan Bersih diadakan, baik polis mahukan Hishammuddin nampaknya tidak belajar apa-apa daripadanya. Hishammuddin sudah hilang wibawanya sama-sekali. Tidak tahu apa difikirkannya sebagai Menteri KDN. Kalau diimbas ucapan-ucapan beliau sepanjang dua tiga minggu lalu berkenaan Bersih 3.0 yang seolah-olah menunjukkan tolerasi dan ingin menyahut transformasi Najib, tentulah bukan tindakan ganas polis ini yang kita harapkan.

Sementara beliau menyatakan himpunan Bersih tiada kaitan dengan keselamatan tetapi dalam masa yang sama pihak polis dipersiapkan seolah-olah hendak pergi berperang. Jika polis bertindak profesional dan hanya memantau keadaan, huru-hara dan tindakan ganas tidak mungkin berlaku. Lihat saja himpunan Bersih di Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru dan beberapa negara luar seperti Australia, New Zealand, Dublin dan lain-lainnya yang diadakan serentak, semuanya berjalan dengan aman dan tiada kacau-bilau. Ini polis di semua tempat itu hanya memantau keadaan dan bersikap seprofesional yang boleh.

Yang jelasnya, jika polis dan Menteri KDN betul-betul memahami suara rakyat dan kehendak mereka hanyalah duduk dengan jumlah seramai mungkin untuk menyatakan bantahan terhadap SPR dan perjalanan pilihanraya dan jauh sekali untuk melakukan kekacauan, perhimpunan ini dapat dijalankan dengan aman.

Selain pihak polis yang perlu profesional, menteri yang menjaga polis juga perlu jauh lebih profesional. Pihak polis bertanggungjawab menjaga keselamatan rakyat tetapi yang terpamer melalui Bersih 3.0 seolah-olah polis hanya ingin mempertahankan kuasa UMNO dan BN sahaja. Rakyat sesuka hati dipukul, disembur air dan dirempuh tanpa hati dan perasaan.

Kesan besar daripada kehadiran rakyat yang melebihi 300 ribu dan dipercayai hampir 500 ribu di seluruh KL yang menyatakan bantahan dan mahukan sistem pilihanraya yang adil dan bersih, ditambah pula dengan berlakunya beberapa insiden keganasan polis, imej Najib ternyata sudah calar-balar di mata rakyat dan juga di peringkat antarabangsa.

Najib tidak lagi dilihat bersih, malah dilihat sebagai pemimpin yang tidak tiada kompromi dan tidak mahu mendengar denyut nadi rakyat serta hanya ghairah untuk memenangi pilihanraya. Najib hanya memikirkan dalam keadaan rakyat kesusahan dan dibebani dengan pelbagai kos yang meningkat, mereka perlu diberikan wang tunai RM500,RM200 dan RM100 saja sedangkan kehendak rakyat bukan wang semata-mata. Bagi Najib semua masalah rakyat boleh selesai dengan wang.

Rakyat juga mahukan pemimpin yang baik, negara yang aman, ekonomi yang berkembang, anak-anak mereka dapat bekerja dengan mudah dan sebagainya. Lagi pula, tidak semua orang walaupun susah, sanggup menerima wang daripada perompak atau pun duit daripada hasil judi. Pendek kata, wang saja bukan segala-galanya.

Harapan Najib untuk memenangi pilihanraya melalui pelbagai program transformasi kini sudah hancur berkecai. Jika pilihanraya diadakan dalam tempoh terdekat, UMNO dan BN hampir pasti akan tumbang. Kemarahan rakyat yang sedang memuncak akan diterjemahkan melalui peti undi. Sebahagiannya dihempas oleh sepupunya sendiri, Hishammuddin yang bertanggungjawab terhadap polis. Melalui pelbagai insiden dalam Bersih 3.0, terbukti hak rakyat dan kebebasan bersuara tidak dihormati. Akta Perhimpunan Aman yang baru digubal juga bagai tiada ertinya lagi. Zaman menteri tidak cerdik dan hanya tahu beretorik sudah berakhir.

Lagi lama beliau mengemudi Kementerian Dalam Neteri, lagi banyak kelemahan yang akan terserlah yang bukan saja memalukan Najib tetapi juga memalukan Malaysia di persada dunia. Jika Hishammuddin enggan meletakkan jawatan sebagaimana yang didesak oleh banyak pihak, ada baiknya Najib mulai memikir untuk menukarkan beliau ke kementerian lain.

Kiranya salah satu transformasi dan pembaharuan yang dilakukan Najib sebelum ini membenarkan seorang lelaki memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, ada baiknya jika transformasi dipanjangkan lagi dengan memberi peluang seorang wanita pula menjadi Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Jika Najib agak terbeban dengan banyakna tugas sekarang, serah saja jawatan Menteri Wanita itu kepada Hishammuddin.

Meskipun wanita sifat semulajadinya lemah tetapi jika dilihat watak sebahagian besar wanita dan ibu-ibu, mereka cukup matang dalam mengendalikan pelbagai urusan rumahtangga, mendidik anak dan setengahnya mencapai tahap kerjaya yang tinggi serta dikaguni. Kematangan wanita seperti menjadikan rumahtangga dan kerjaya seimbang. Najib, carilah wanita yang cerdik, berwibawa, dapat memandang lebih jauh ke hadapan dan "macho" untuk menjadi Menteri KDN pula

http://shahbudindotcom.blogspot.com

No comments:

Post a Comment