Saturday, April 21, 2012

Gero nyalakan peluang Kedah beraksi di final Piala FA

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
22 April 2012
Gero nyalakan peluang Kedah beraksi di final Piala FA
ALOR SETAR - Pemain import baru Kedah, Vedran Gerc membuktikan pemilihannya menggantikan pemain Ghana, Hamidan Mohammed oleh barisan jurulatih adalah tepat selepas berjaya membantu Kedah mengikat Kelantan 1-1 pada saingan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, malam tadi.

Larian solo Gerc pada minit ke-29 berjaya menewaskan tiga pertahanan Kelantan seterusnya mengecewakan penjaga gawang The Red Warriors, Khairul Fahmi Che Mat untuk membuatkan penyokong lawan sepi seketika.

Jaringan berkenaan sebenarnya bermula dari tengah padang selepas serangan Kelantan dinafikan benteng kebal Hijau Kuning sebelum bola dicuri oleh Gerc dan memulakan larian menuju ke kubu lawan.

Gerc atau nama timangannya, Gero sebelum ini berjaya meledakkan dua gol pada penampilan pertamanya menentang Sarawak di gelanggang lawan, Selasa lalu, jelas dikawal ketat barisan pertahanan Kelantan.
Kenari pastinya berpuas hati dengan Keputusan seri di Kota Bharu selepas sebahagian besar permainannya jelas dikuasai Sang Kijang sepanjang perlawanan sebenar berlangsung, sekurang-kurangnya menyalakan harapan buat Kenari untuk layak ke perlawanan akhir Piala FA.

Suasana perlawanan juga panas apabila beberapa keputusan pengadil perlawanan, Shokri Nor nyata tidak dapat diterima kedua-dua pasukan termasuklah melayang kad kuning kedua buat pemain Kedah, Wan Mohd Shukri pada minit ke-69 dan pemain Kelantan, Mohd Daudsu Jamaluddin selang dua minit kemudian untuk memaksa kedua pasukan beraksi dengan 10 pemain.

Terdahulu, Norshahrul Idlan Talaha menggamatkan sorakan penyokong Kelantan selepas meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-16 hasil gerakan cantik bersama Kapten Pasukan Kelantan, Badri Radzi dan Muhammad Ghaddar.

Kelantan ternyata berjaya membuatkan barisan pertahanan Hijau Kuning tertekan hasil serangan bertali arus yang dijana pemain sayap mereka, S Chanturu dan Mohd Nurul Azwan Roya ke kubu lawan namun kecekapan penjaga gawang Kedah, Mohd Helmi Eliza berjaya membuatkan pasukan lawan berputih mata.

Kedah bakal menerima kunjungan Kelantan pada saingan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Aman (SDA), Alor Setar pada 1 Mei ini.

No comments:

Post a Comment