TIMAH TASOH – Kerajaan negeri sentiasa memajukan bidang pertanian di Kedah kerana pertanian merupakan sektor yang tidak boleh diabaikan di mana-mana negeri di dunia bahkan di negeri maju sekalipun. Budaya memandang rendah kepada golongan yang melibatkan diri secara langsung dalam pertanian hendaklah dikikis kerana di negara-negara maju status mereka setaraf dengan sektor-sektor lain.
“Di negara maju, golongan yang terlibat dengan pertanian tarafnya duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan sektor-sektor yang lain,” ucap Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerjaraya, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi, YB Dato’Ir Amiruddin Hamzah ketika merasmikan Jambori Pergerakan Pelapistani, Peringkat Negeri Kedah, di sini.
Katanya lagi, Menteri Besar meletakkan matlamat yang tinggi kepada sektor pertanian, menaik taraf dari keperluan sendiri kepada lonjakan yang lebih besar dan seterusnya menjadikan hasil pertanian untuk diekspot ke luar negara.
“Oleh itu, kita wujudkan Pelapistani sebagai kemajuan pertanian untuk masa depan. Melalui Pelapistani, kita dapat melahirkan petani-petani moden yang dapat merealisasikan harapan kerajaan negeri selain melengkapkan diri sebagai petani moden yang menggunakan teknologi canggih dan terkini untuk kemajuan pertanian negara,”ujarnya kepada kira-kira 291 peserta dari 24 sekolah seluruh Kedah.
Sambungnya, di Kedah pertanian berada di tempat ke tiga selepas sektor industri dan pembuatan. Walau pun begitu, pertanian merupakan agenda yang penting terutama untuk membekalkan makanan kepada negeri, negara malah dunia.
“Maju macamana sekali pun, rakyat perlu makanan. Mereka tak makan microchips tetapi makan makanan yang dihasilkan oleh pertanian. Oleh itu, sektor pertanian perlu diberi penekanan yang tinggi sebagai penyelamat segala-galanya.
“Kalau ada duit, tapi negara lain tak mahu jual makanan kepada kita, apa yang kita nak buat. Duit pun tak menjadi harga dah ketika itu,”jelas beliau.
Setakat ini import makanan di Malaysia menjangkau RM10 bilion dan ianya mengatasi ekspot. Sektor pertanian perlu ada tranformasi dari kaedah secara tradisional kepada kaedah moden melalui teknologi canggih dan terkini serta dikormesialkan dan bukan hanya untuk sara hidup semata-mata.
Oleh itu katanya, cetusan idea dari Jabatan Pertanian melalui kerjasama Jabatan Pendidikan mewujudkan Bridget Pelapistani di sekolah-sekolah secara tidak langsung menyemai semangat kepada mereka untuk berbudi kepada tanah dan seterusnya berbakti kepada rakyat dan negara.
“Bukanlah bermakna bila minat pertanian, jadi Pelapistani, seolah-olah kita berasa lekeh dan rendah diri berbanding dengan orang lain yang terlibat dalam sektor lain.
“Jadi Pelapistani ini bukan hanya setakat SPM saja, lepas ini sambung belajar di bidang yang sama, agar ilmu yang kita perolehi dapat dikembangkan.
“Dan saya juga nak cadangkan agar kursus-kursus seumpama ini dilanjutkan terutama kepada pelajar-pelajar kita yang agak kurang menyerlah dalam akedamik. Kebolehan mereka boleh disalurkan melalui pertanian dan seterusnya boleh menjadi petani yang berjaya dan setaraf dengan orang lain yang berada di sektor-sektor lain,”nasihat beliau.
Sambung beliau lagi, dalam merencanakan keadah-kaedah moden, perlu juga mengambil kira beberapa perkara penting terutama penggunaan baja kimia yang ada kalanya meninggalkan kesan kurang elok kepada ekosistem sekeliling.
“Dulu masa kita kurang menggunakan bahan kimia, kita boleh lihat banyak rakan ladang hidup di tempat tanaman kita, contohnya labah-labah. Labah-labah ini kewujudannya boleh menghalang makhluk-mahkluk perosak padi tapi bila kita guna racun kimia, semua rakan-rakan ladang kita musnah dan secara tidak langsung menimbulkan masalah kepada petani,”jelasnya.
Beliau mengesyorkan agar keadah penggunaan secara organik dikembalikan. Kaedah berkenaan boleh diberi pendedahan oleh Kedah Agro untuk mempelajari bagaimana menghasilkan baja organik yang selamat dan berkesan.
“Daun mambu yang kita guna sebagai ubat demam campak sebenarnya boleh diproses menjadi racun serangga yang boleh kita gunakan untuk buah-buahan dan lain-lain hasil ladang kita,”sambungnya lagi.
Kerajaan negeri akan terus memberi sokongan kepada Pelapistani dan berharap mereka suatu hari nanti akan menjadi peladang yang berjaya di samping menggunakan kelengkapan moden dan kaedah-kaedah pertanian yang terancang.
Sempena Jambori Pelapistani berkenaan yang berlangsung selama 3 hari 2 malam, beberapa acara telah dipertandingkan, antaranya pertandingan kuiz yang dimenangi oleh Sekolah Menengah Tunku Ismail, Pemasangan Fertigasi jatuh kepada Sekolah Menangah Pokok Sena dan Sekolah Menengah Langgar pula menjadi juara pertandingan Kawad Kaki. Sementara itu, johan keseluruhan diraih oleh Sekolah Menangah Langgar.
Jambori Pelapistani Peringkat Negeri Kedah ini diadakan sempena sambutan ke 10 tahun penubuhan pergerakan tersebut dan diadakan di Tasoh Lake Resort, Perlis.
No comments:
Post a Comment