Friday, June 29, 2012

'Seolah-olah PM takut kepada Singapura'



ULASAN Semenjak Singapura keluar daripada Malaysia pada tahun 1965, sehingga hari ini, hubungan kedua-dua negara tidak pernah sunyi daripada kontroversi.

Tanah yang berkongsi sejarah dan kebudayaan terpisah menjadi dua negara yang berbeza oleh kerana penjajahan dan kemudiannya akibat daripada politik.

NONEPada 22 Jun, Pesuruhjaya Tinggi Singapura Ong Keng Yong dipanggil ke Wisma Putra berhubung dakwaan penglibatan tiga diplomat dari Suruhanjaya Tinggi itu dalam perhimpunan BERSIH 3.0.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata beliau memanggil Ong ke pejabatnya untuk menyampaikan rasa tidak senang kerajaan Malaysia berhubung penglibatan ketiga-tiga diplomat itu dalam perhimpunan itu.

Sebagai reaksi kepada isu ini, kumpulan pendesak Melayu PERKASA, membawa lebih kurang 500 orang berhimpun di hadapan kedutaan Singapura.

Perhimpunan yang diketuai oleh Datuk Ibrahim Ali itu, mendesak agar ketiga-tiga diplomat yang menghadiri perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu dihantar pulang segera.



NONEBayangkanlah jika diplomat Malaysia diketahui terlibat dengan perhimpunan anti-pemerintah Singapura. Sudah pasti mereka akan diterajang keluar serta-merta.

Oleh kerana Malaysia bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak takut kepada Singapura, seolah-olah ada sesuatu rahsia, maka undang-undang tidak berani dikuatkuasakan terhadap ketiga-tiga diplomat republik kecil itu.

Penglibatan Amerika, Britain, China?


Pejabat kedutaan atau konsulat seharusnya bersikap neutral dan tidak melibatkan diri dalam politik sesuatu negara yang mereka bertugas.

Kalaupun ketiga-tiga diplomat Singapura bersimpati dengan perjuangan BERSIH 2.0, tidak perlulah sehingga mereka turun ke lapangan dan memakai pakaian kuning (dakwaan PERKASA).

Jika berani, pihak Cawangan Khas Malaysia harus mendedahkan lagi penglibatan diplomat dari kedutaan-kedutaan lain dalam perhimpunan BERSIH, seperti kedutaan Amerika Syarikat, Britain, Australia, China dan Rusia kalau ada.

NONEJangan hanya dedahkan penglibatan kedutaan Singapura kerana menganggap ia mudah menarik simpati dari rakyat Malaysia terutamanya penyokong Umno.

Penglibatan diplomat kedutaan berbeza dengan pemerhati asing yang dijemput. Pemerhati asing diundang oleh pejabat ketua pembangkang untuk menyaksikan proses sebelum pilihan raya ke-13. Ini termasuklah menyaksikan kebangkitan rakyat menuntut reformasi pilihan raya diadakan.

Pemerhati yang hadir terdiri dari senator, ahli akademik dan pengamal media dari Australia, Pakistan, India dan Indonesia.

Sebelum pulang, sidang akhbar diadakan bagi menyampaikan cadangan kepada kerajaan Malaysia mengenai penambahbaikan perjalanan pilihan raya di Malaysia.

Kerajaan Malaysia pula boleh mengambil kira cadangan yang diberi atau tidak mempedulikannya. Ini peranan pemerhati asing yang langsung tidak menggugat kedaulatan negara.

Berbeza dengan diplomat. Ini harus kita fahami agar tidak menyokong apa sahaja yang sehaluan dan membenci apa sahaja yang bertentangan.
500,000 relawan bantu SPR
Kerajaan Malaysia tidak seharusnya takut dengan tuntutan BERSIH 2.0.

Bagi yang pernah melihat perjalanan pilihan raya di banyak negara, tuntutan BERSIH untuk reformasi pilihan raya adalah terlalu kecil berbanding dengan tuntutan kumpulan-kumpulan lain di negara-negara yang lebih maju demokrasinya.

bersih 3 rally 180512 04Di sesetengah negara, permintaan untuk reformasi pilihan raya adalah ekstrem sehingga meminta agar sistem pilihan raya diganti.

Di Malaysia, BERSIH 2.0 tidak meminta agar kerajaan menggantikan sistem sedia ada "First Past The Post" (FPTP) kepada sistem "Single Non Transferable Vote" (SNTV).

Tuntutan BERSIH 2.0 hanya berkisar kepada perubahan dalam beberapa aspek dalam sistem yang sedia ada seperti pembersihan daftar pemilih.

Jika SPR dan BERSIH 2.0 berbesar hati, mereka harus duduk semeja bagi membincangkan bagaimana untuk menyelesaikan permasalahan daftar pemilih.

azlanUmum tahu, untuk membersihkan daftar pemilih, belanjanya besar. Bayangkanlah audit SPR perlu dilakukan kepada setiap nama yang ada dalam daftar pemilih untuk memuaskan hati semua pihak.

Untuk menjimatkan kos, BERSIH 2.0 boleh menawarkan sukarelawan kepada SPR untuk melakukan audit.

Untuk mempercepatkan audit daftar pemilih sebelum pilihan raya umum ke 13, BERSIH 2.0 perlu menggembleng seramai sekurang-kurangnya 500,000 sukarelawan bagi membantu SPR membersihkan daftar pengundi seluruh negara.

SPR pula perlu meminta kemudahan dari kerajaan Malaysia seperti kerjasama dari Jabatan Pendaftaran Negara, polis dan segala fasiliti bagi membantu mempercepatkan kerja.

Jika ini berjaya dilakukan, ratusan juta ringgit dapat dijimatkan. Dan ini menjadi permulaan baik bagi memulakan tradisi kerjasama antara NGO dan kerajaan.

NGO pula harus mengubah sikap. Selain dari mengkritik, berikan juga jalan penyelesaian kepada sesuatu permasalahan. Tidak ada masalah untuk BERSIH 2.0 menyediakan 500,000 tenaga sukarelawan.

Jika perhimpunan pada 28 April 2012 berjaya menghimpunkan lebih 250,000 orang dengan risiko ditangkap dan ditembak gas pemedih mata, apa masalahnya untuk menghimpunkan 500,000 orang bagi membuat audit daftar pemilih?

Syarat utama untuk kerjasama baik kerajaan-NGO adalah kedua-dua pihak harus ikhlas dan bukan hanya mementingkan kepentingan politik masing-masing.

AMIN ISKANDAR menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia (API) sesi 2009-10 daripada Yayasan Nippon untuk untuk menjalankan kajian sejarah pemantauan pilihan raya di Filipina dan Indonesia. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment