Sunday, June 24, 2012

Isu Disco - Semua pengusaha pusat hiburan akan dipanggil supaya patuhi peraturan


Oleh: WADIASSOFI JAAFAR, Warta Darul Aman

ALOR SETAR - “Semasa saya (baru) menjadi Menteri Besar Kedah, memang dah ada pusat-pusat hiburan di negeri ini”.


Itulah kenyataan Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak kepada media selepas majlis penyerahan bendera kepada Kontinjen Negeri Kedah ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2012 di Sri Mentaloon, di sini.

Menurutnya, beliau sudah menghubungi pihak berkuasa daerah bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya memberi lesen untuk premis sahaja manakala Majlis Daerah memberi lesen berdasarkan kepada jabatan-jabatan yang berkenaan iaitu Polis, Bomba dan seumpamanya,” ujarnya.


Menteri Besar menjelaskan, di Bandaraya Alor Setar pula, beliau hanya menerima hak lama sahaja (lesen).

“Terdapat empat lesen baru dan kita tidak menghalang orang ramai untuk mendapatkan hiburan,” katanya.


Tambahnya, semua pengusaha pusat hiburan di negeri ini akan dipanggil bagi membincangkan perkara itu sebelum bulan Ramadan.

“Majlis Bandaran, Polis dan Jabatan Agama juga akan dipanggil untuk turut serta dalam perbincangan itu,” jelasnya.

Mengenai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan demonstrasi di depan Wisma Darul Aman bagi mendesak Menteri Besar menutup pusat hiburan di negeri ini, beliau berkata, itu hak mereka untuk mengadakan demonstrasi.

No comments:

Post a Comment