Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kesal kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bersungguh mahu memastikan perjalanan pilihan raya berlangsung dalam keadaan yang telus dan bersih. Ini ekoran kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohamad Yusof yang mahu setiap parti politik yang ingin membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) hanya dibenarkan berbuat demikian secara rakaman dan bukannya secara langsung.
Tindakan SPR seperti mahu meneruskan sikap berat sebelah dan zalim pemerintahan UMNO-BN selama ini. Meskipun mahu dilihat keluar dari persepsi buruk rakyat terhadap mereka dengan tanggapan SPR adalah ‘budak suruhan’ BN, tindakan SPR terbaru ini menunjukkan mereka masih lagi dipengaruhi oleh kuasa politik.
DPPM merasa curiga mengapa SPR masih tidak membenarkan siaran secara langsung kepada parti politik bagi membentangkan manifesto mereka? Apa yang amat dibimbangi oleh SPR sehingga tidak berani menyiarkannya secara langsung dan adakah SPR bertindak sedemikian bagi memastikan BN berada dalam zon selamat?
Rancangan secara rakaman dikhuatiri akan berlaku suntingan terhadap mana-mana slot penting yang perlu diketahui oleh rakyat. Slot yang seharusnya berlangsung dalam satu masa tertentu akan dipendekkan mengikut selera penerbit. Tambahan lagi, slot yang diberikan kepada Pakatan Rakyat mungkin akan diberikan bukan di waktu kemuncak, dan hanya disiarkan ketika rakyat sudah lena di waktu malam. Yang lebih dibimbangkan adalah jika berlaku penyuntingan di mana-mana slot sehingga ia dimanipulasi menjadi kempen negatif pula kepada Pakatan Rakyat. Ia pula berlangsung di saat akhir berkempen, di mana sukar bagi Pakatan Rakyat untuk menjawabnya. Setakat ini tiada jaminan jika suntingan tidak dibuat dan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Ini semua kemungkinan akan berlaku sekiranya ianya hanya berbentuk rakaman dalam media.
Oleh yang demikian, DPPM meminta SPR agar tidak ‘bermain wayang’ dengan kelonggaran parti-parti politik untuk mengutarakan manifesto di TV, namun hakikatnya masih dalam ruang yang sempit. DPPM menegaskan, sekiranya SPR benar-benar mahu menjadi pengadil yang adil, SPR perlu berlepas diri dari pengaruh mana-mana parti politik. Benarkan siaran langsung kepada semua parti politik dan pemimpinnya untuk menampilkan manifesto mereka tanpa tapisan atau dibuat secara rakaman.
No comments:
Post a Comment