Wednesday, June 27, 2012

MB Kedah - Generasi muda jangan tiru budaya buruk dari luar

SUNGAI PETANI – Ketibaan Menteri besar Kedah, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak pada sambutan Karnival Belia Sejahtera Negeri Kedah 2012 amat dinanti oleh penduduk di sekitar Sungai Petani khususnya, dan juga seluruh negeri Kedah yang berkunjung ke karnival tersebut.

Sesampainya penulis ke karnival tersebut seawal jam tiga petang, orang ramai mula beratur di sepanjang karpet merah laluan YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan bagi mengambil peluang keemasan ini bersalaman dengan beliau, atau setidak-tidaknya melihatnya dari jerak dekat.

Setelah 20 minit menunggu, orang yang dinanti telah tiba. Sejurus itu pihak penganjur memasangkan laungan Allahuakbar, maka orang ramai berebut-rebut mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan beliau, sama ada tua dan juga anak-anak muda.

Penulis yang berada di situ merasa meremang bulu roma apabila melihat sambutan orang ramai terhadap YAB Menteri Besar. Ini menunjukkan mereka telah menerima pemimpin yang menjalankan pemerintahan berteraskan ajaran Islam dan mengutamakan kepentingan rakyat. Beliau dijemput ke karnival ini bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup.


Karnival yang diadakan dua hari di Taman Jubli Perak, di sini bertujuan meraikan para belia dan beliawanis negeri Kedah dan berkonsepkan santai yang mana kos perbelanjaan dapat dikurangkan.

Maka, bersesuaianlah pada ucapan perasmian penutup, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan lebih menjurus kepada para belia.
“Yakinlah bahawa anda semua para belia mampu memikul tugas berat iaitu untuk mengekalkan warisan keamanan, kesejahteraan dan keharmonian berteraskan ketaatan kepada perintah Tuhan.

“Kejayaan generasi muda bukan diukur dari sejauh mana anda berjaya meniru budaya orang luar, tetapi kejayaan anda adalah sejauh mana anda berjaya mengekang dan menghindari semua perlakuan yang buruk dan tidak mengikut hawa nafsu dalam setiap tindak tanduk anda.

“Jadi, saya nasihatkan kepada anakanda semua, lakukanlah segala persiapan diri untuk memperbaiki diri sendiri, keluarga, bangsa, negeri, negara dan agama, semoga kita sentisa dalam rahmat Tuhan,” antara petikan nasihat berguna yang disampaikan oleh YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan kepada para belia.
Bagi menghargai jasa para belia dan beliawanis, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak menyampaikan Anugerah Khas Belia 2012. Sebanyak tiga kategori dikhaskan, iaitu keusahawanan, kemasyarakatan dan kesukarelaan serta pendidikan. Mereka berjaya pulang wang tunai RM500, plak penghargaan serta sijil.

1 comment:

  1. Actually tak perlu kapet merah spt umNO, jika betul berjiwa rakyat spt TG Nik Aziz.

    ReplyDelete