SUNGAI PETANI - Aktiviti membaca mempunyai peranan yang penting di dalam kehidupan seseorang individu, pembangunan tamadun bangsa dan kecemerlangan pembangunan sesebuah negara.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Usahawan dan Pembangunan Insan, YB. Abd Ghani Ahmad berkata, masyarakat yang banyak membaca akan memiliki gedung ilmu yang luas dan sikap yang terpuji.
“Bangsa yang mempunyai generasi yang berilmu pengetahuan yang tinggi adalah bermula dari banyak membaca,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pesta Buku Kedah 2012 di Village Mall, di sini.
Menurutnya, penganjuran Pesta Buku 2012 yang berlangsung dari 21 hingga 26 Jun 2012 amat bermakna kepada masyarakat di negeri ini untuk menghidupkan budaya cintakan bahan bacaan.
“Fokus utama Pesta Buku ini tentulah untuk membangkitkan kesedaran dan pembaharuan dalam meningkatkan budaya membaca sebagai gaya hidup masyarakat di negeri ini,” katanya.
YB. Abd Ghani memberitahu, pemilihan bahan bacaan yang baik dan berkualiti akan membantu meningkatkan kecerdasan fikiran di samping dapat membentuk peribadi yang tinggi.
“Individu yang kurang membaca tidak akan memajukan rohani diri dan pembangunan material. Individu ini tidak dapat memainkan peranan yang aktif dan kurang produktif sama ada kepada diri sendiri, keluarga, bangsa dan negara,” ujarnya.
Beliau yang mewakili Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak menjelaskan, buku juga dianggap dapat membantu mendidik dan membentuk minda serta budaya modal insane yang sihat, berpengetahuan, berkemahiran, mempunyai nilai dan akhlak yang terpuji.
“Walaupun begitu, tidak dinafikan buku masih memainkan peranan penting dalam kehidupan masa kini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan, YB. Dato’ Dr. Hamdan Mohamed Khalib dalam ucapannya berkata, Pesta Buku Kedah 2012 yang diadakan ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat untuk mendapatkan buku-buku melalui secara terus dengan pembekal-pembekal buku.
“Ia secara tidak langsung mampu menarik minat orang ramai untuk mengunjungi Pesta Buku yang diadakan pada kali ini,” jelasnya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, YB. Dato’ Ustazah Hajah Siti Ashah Haji Ghazali; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam, YB. Dato’ S. Manikumar dan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan, YB. Tan Chow Kang.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, YB. Ustaz Ahmad Izzat Mohamad Shauki; ADUN Jeneri, YB. Tuan Haji Yahya Abdullah; ADUN Kuala Ketil, YB. Tuan Haji Md Zuki Yusof; ADUN Pantai Merdeka, YB. Tuan Haji Abdullah Jusoh; Pegawai Daerah Kuala Muda, Dato’ Abdul Aziz Abdul Ghani dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah, Dr. Zahidi Dato’ Haji Zainol Rashid.
No comments:
Post a Comment