Monday, September 17, 2012

Agong mahu graduan manfaat ilmu dan kemahiran ke jalan diredhai

ALOR SETAR - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru para graduan supaya memanfaatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari ke jalan yang diredai dan diberkati Allah.

Baginda bertitah para graduan bukan sahaja perlu menjadi profesional yang cekap dan berkebolehan dalam menjalankan urusan duniawi bahkan dapat membawa kemajuan dan perkembangan yang lebih dinamik dan berimbang kepada diri, negara, agama dan bangsa di masa hadapan.

"Beta yakin semua bakal graduan terlatih dan terdidik dengan ilmu dunia dan ilmu akhirat dalam suatu kombinasi yang amat dituntut oleh Islam," titah baginda semasa majlis konvokesyan ke-14 Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di sini, hari ini.

Tuanku Abdul Halim yang juga Canselor Kuin bertitah, para graduan di sini sangat bertuah kerana dapat menimba ilmu daripada sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang dinamik, berprestij dan bertaraf antarabangsa.

"Beta berbangga kepada komposisi tenaga pengajarnya yang boleh dikatakan terdiri daripada cerdik pandai dan ulama yang terkemuka dari dalam dan luar negara, bahkan ia telah menjadi wadah pertemuan sarjana dan ulama antarabangsa," titah baginda.


"Beta juga merasa gembira kerana Kuin yang dahulunya hanya mempunyai kurikulum dan bidang ilmu yang kecil dan terbatas serta tumpuan hanya diberikan kepada pengajian Islam, kini telah berkembang menjadi IPT yang menyediakan program profesional seperti perubatan, kejuruteraan, multimedia, hospitaliti, kaunseling, perbankan dan kewangan Islam," titah baginda.

Baginda bertitah semua itu dilaksanakan secara Islamik, melalui proses Islamisasi ilmu melalui gabungan konstruktif, kreatif, inovatif dan komprehensif antara ilmu dunia dan akhirat.

Pada istiadat konvokesyen tersebut, baginda berkenan menyampaikan ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda kepada kira-kira 300 graduan. - Bernama

No comments:

Post a Comment