Saturday, September 1, 2012

Apabila syaitan hulurkan salam

Mohd Rashidi Hassan, 02 Sep 2012

GAMBAR HIASAN JE NIE
Dalam tempoh seminggu yang lalu, Umno-Barisan Nasional cuba untuk mendapatkan momentum dengan memainkan pelbagai isu bagi melaga-lagakan Pakatan Rakyat, khususnya dalam isu hudud. Sebelum itu, dalam bulan Ramadan mereka memainkan isu air di Selangor.

Sehari dua ini, Umno melalui akhbar Utusan Malaysia miliknya, cuba untuk menghangatkan dalaman PAS, dengan memainkan sokongan ulama PAS terhadap bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

Namun, kita percaya kepimpinan dan ahli-ahli PAS cukup matang untuk menilai dan memperhalusi propaganda jahat Umno melalui Utusan, barang dijauhkan kita daripada tempias fitnah mereka.

Apa jua propaganda dan adu domba yang cuba dimainkan Umno, malangnya mereka terperangkap dengan pengakuan mantan Perdana Menteri dan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memperakui bahawa Umno-BN tergolong dalam kelompok 'syaitan yang dikenali.'

Di dalam al-Quran, memang disebut Allah dengan jelas ayat 'hizbus syayatin' atau parti syaitan yang bertentangan dengan 'hizbullah' (parti Allah).

Namun PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat, tidak pernah menuduh Umno-BN syaitan. Kami pun tidak pernah mengakui kami ini malaikat.


Justeru, tuduhan itu tidak datang dari kelompok kami. Mengakui diri sendiri atau parti sendiri sebagai syaitan adalah pengakuan bertulis dan kenyataan memperkukuhkan tulisan, secara sedar oleh Dr Mahathir sendiri.

Habis tinggi pun, ada buku yang mengaitkan Umno-BN sebagai 'Shit' seperti karya Sasterawan, Dato' Shahnon Ahmad dan cerpen 'Maharaja Beruk' tulisan Yahya Ismail.

Pengakuan Dr Mahathir ini, khabarnya amat mengejutkan PM, Dato' Seri Najib Tun Razak dan seluruh anggota Majlis Tertinggi Umno. Malah seluruh ahli Umno terkedu dan terdiam, kerana Dr Mahathir yang disanjungi sebagai 'godfather' mereka, mantan ketua Umno yang paling lama dalam sejarah Malaysia, iaitu lebih 22 tahun, mengakui bahawa mereka adalah parti syaitan.

Dr Mahathir, merupakan faktor dominan yang menindoktrinasi Umno-BN. Kata-kata beliau dianggap sebagai 'keramat' bagi sesetengah anggota Umno yang taksub. Hari ini, Dr Mahathir mengemukakan doktrin syaitan lebih baik daripada malaikat dan syaitan itu adalah Umno-BN. Siapa dalam Umno yang hendak lawan hujah mantan Presiden mereka?

Ada rakan-rakan Umno mengeluh kerana bagi mereka, kenyataan Dr Mahathir 'backfire' kepada Umno-BN dan menjejaskan perancangan Najib untuk membubarkan Parlimen.

Kerana, menurut sumber Jabatan Perdana Menteri, sudah ada cadangan kukuh untuk dibubarkan Parlimen minggu lepas, cukup masa yang diperlukan, bagi membolehkan Pilihan Raya Umum diadakan sebelum umat Islam berangkat menunaikan ibadah haji.

Namun semua perancangan tergendala kerana pada anggapan Najib, Dr Mahathir 'bikin rosak ana punya program'. Ada kemungkinan mantan PM itu sengaja membuat pasal, kerana beliau sendiri yang menggesa Najib, memerintah sampai habis penggal, iaitu hingga Mac depan. Dalam erti kata lain, pada beliau jika dibuat PRU sekarang, BN gelap masa depan.

Tetapi pada orang Umno, bukan soal bubar Parlimen atau tidak, semata-mata. Soalnya, mantan PM itu lebih banyak bercakap dari Najib. Sama ada cakapnya 'lebih celupar' sehingga banyak menjejaskan Umno atau mungkin dia sudah semakin merepek, akibat faktor usia yang agak lanjut.

Apa pun pada kita, Dr Mahathir itu Umno dan kenyataannya refleks kepada pegangan dan masa depan Umno. Banyak usaha yang dibuat Umno untuk menarik PAS berkawan dengannya. Banyak usaha Umno, mengajak PAS meninggalkan Pakatan Rakyat. Sehingga terpacul kenyataan Dr Mahathir, mengajak PAS bekerjasama dengan Umno untuk memperjuangkan isu hudud.

Kita tidak harus mempertikaikan keikhlasan mana-mana pihak untuk bersatu padu dan berkawan untuk kebaikan. Islam sendiri pun mengarahkan kita bersatu padu pada jalan Allah dan jangan sesekali berpecah belah. Malah Islam melarang kita mengetepikan sebarang usaha murni ke arah perpaduan dan silaturrahim.

Namun, dalam konteks politik hari ini, apakah salam persaudaraan dari parti yang mengaku diri mereka sebagai syaitan, wajar kita terima dan pertimbangkan?

Seperti yang tercatat pada sirah Nabi Isa a.s. Walaupun berbalas ucapan salam itu mendapat pahala, baginda enggan menjawab salam, kerana salam itu datangnya dari makhluk yang jahat seperti syaitan.

Justeru, kita bagaimana?

No comments:

Post a Comment