Tuesday, September 4, 2012

Azizan kelihatan ceria, pengerusikan mesyuarat Exco

ROSLINDA HASHIM
5 September 2012
Azizan Abdul Razak
Azizan kelihatan ceria dan sempat bergurau dengan jurugambar/wartawan yang hadir.
 
ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kembali bertugas secara rasmi di Wisma Darulaman hari ini dan mempengerusikan mesyuarat Exco.

Azizan tiba di ruang lobi Blok E, Wisma Darulaman sekitar 10.25 pagi, dan disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rasli Basir.

Ketika ditemui di pekarangan lobi Wisma Darulaman, Azizan yang ceria sempat berseloroh dengan jurugambar dan wartawan yang tiba sejak  jam 10 pagi untuk merakamkan wajah beliau buat pertama kali selepas dilaporkan mengalami masalah kesihatan.

“Tengoklah sendiri, saya sihatkan,” katanya, sambil ketawa.

Azizan sempat bergurau dengan wartawan, mengatakan keadaan beliau semakin baik malah dirinya semakin kacak sejak kembali sihat.


“Makin kacak tak,” katanya, sambil mengenyitkan mata.

Azizan sememangnya dikenali sebagai seorang pemimpin yang gemar bergurau, dan wajahnya yang ceria membuktikan Azizan kini sudah bersedia meneruskan tugasnya seperti biasa.

Azizan dilaporkan berada di Kedah Medical Centre (KMC) sejak 22 Ogos lalu, selepas demam beberapa hari sebelum mengalami alahan kepada ubat antibiotik yang diambilnya.

Kali terakhir Azizan mempengerusikan mesyuarat Exco ialah pada 5 Ogos lalu.

Sepanjang Ramadan, mesyuarat Exco dibuat dua kali iaitu pada 25 Julai dan pada 1 Ogos ditangguh kepada Ahad. Bagaimanapun tiada sidang media dibuat pada kedua-dua hari berkenaan.

No comments:

Post a Comment