Thursday, September 6, 2012

#Kedah - Konvoi Kembara Merdeka jelajah Kedah



ALOR SETAR – Bersempena dengan sambutan Kemerdekaan ke-55, Urusetia Belia Kerajaan Negeri Kedah dan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar akan menganjurkan Konvoi Kembara Merdeka 2012 yang bakal diadakan pada 8 September 2012.

Timbalan Pengerusi Konvoi Kembara Merdeka 2012, Ustaz Musoddak Ahmad berkata, konvoi yang bermula dari Jitra dan berakhir di Baling bertujuan memberi penerangan maksud kemerdekaan sebenar melalui risalah, menyemarakkan semangat kemerdekaan, menyampaikan maklumat mengenai dasar pentadbiran kerajaan negeri dan secara tidak langsung, program ini dapat mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.

“Bersesuaian dengan slogan Kedah Sejahtera, maka sambutan Kemerdekaan ke-55 pada tahun ini akan diisi dengan program dan acara yang akan memberi kesejahteraan kepada minda dan jasmani masyarakat serta nikmat keamanan, keharmonian dan kasih sayang dapat dikecapi bersama.

“Konvoi Kembara Merdeka 2012 ini diharap dapat mencapai matlamatnya dan penerangan mengenai dasar pentadbiran kerajaan kepada rakyat dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” jelas beliau yang juga Pegawai Khas Penerangan kepada YAB Menteri Besar.


Tambah beliau, pelepasan peserta akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Insan dan Pembangunan Usahawan, YB Ustaz Abd Ghani Ahmad pada jam 8 pagi bertempat di Perkarangan Pasar Malam Taman Mahsuri, Bandar Darul Aman, Jitra.

Manakala majlis penutup disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan, YB Dato’ Dr Hamdan Mohamed Khalib bertempat di pekan Baling.

“Konvoi ini akan bermula di Jitra, dan berakhir di Baling, dan kita akan singgah di beberapa bandar bagi mengedarkan risalah-risalah dan bendera Malaysia kepada masyarakat setempat,” ujar beliau.

No comments:

Post a Comment