Kumpulan maut masih terbuka
BERAKHIRNYA pusingan pertama, kumpulan B yang dilabelkan ‘Kumpulan Maut’ kini masih berpeluang mencongak nasib masing-masing untuk memburu dua slot ke suku akhir.
Juara Liga Perdana, ATM dilihat sedikit selesa sementara Terengganu dan Kelantan serta mempunyai jumlah mata yang tidak jauh bezanya masih berpeluang merebut slot suku akhir.
PELUANG CERAH
ATM memulakan rentak cemerlang setelah menewaskan Kedah 2-0 di gelanggang lawan pada 22 Ogos lalu. Tiga hari kemudian, juara Liga Premier ini mengejutkan finalis Piala Malaysia musim lalu, Terengganu menerusi kemenangan tipis 2-1 di Selayang.
Enggan dilabel pasukan pilihan, namun skuad bimbingan bekas jurulatih kebangsaan, B Satiananthan dilihat berpeluang cerah meski pun sekadar terikat seri 1-1 dengan Kelantan dalam aksi terakhir di Selayang Selasa lalu.
Bermula pusingan kedua, pasukan yang berpengkalan di Lembah Klang ini kini meletakkan sasaran baru mahu meraih tiga mata lagi bagi menjamin tempat pada saingan suku akhir nanti.
KUBU SENDIRI
Rentak sumbang The Red Warriors dalam kempen Piala Malaysia bermula dengan nota kekalahan 0-2 kepada Terengganu. Begitu pun, skuad kendalian Bojan Hodak kembali ke landasan sebenar apabila menewaskan Kedah 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Kejayaan mengikat keputusan seri 1-1 dengan ATM tempohari melonjakkan Kelantan ditangga kedua mengatasi negeri berjirannya, Terengganu dengan kelebihan satu mata.
Kelebihan beraksi sebanyak dua kali di gelanggang sendiri pada pusingan kedua sudah pasti akan dipergunakan sebaiknya oleh barisan TRW dalam menggapai misi kejuaraan treble pertama mereka.
TEGUR
Prestasi buruk Terengganu dalam dua perlawanan terakhir akhirnya mendapat teguran daripada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Meski pun bermula cemerlang menewaskan musuh tradisi, Kelantan 2-0 namun skuad kendalian Peter Butler terus tenggelam dalam apabila kecundang 1-2 kepada ATM dan Kedah selepas itu.
Skuad Penyu tidak mempunyai pilihan selain perlu mengharungi baki perlawanan selepas ini dengan kemenangan seandainya tidak mahu tersingkir awal dalam kempen Piala Malaysia edisi ke-86 ini.
TETAP ADA
Kedah membuktikan mereka bukanlah pasukan penumpang dalam kumpulan ini. Meski pun tewas pada dua perlawanan awal, namun mereka bangkit menghidupkan perjuangan apabila mengejutkan Terengganu 2-1 di Alor Setar Selasa lalu.
Kehadiran jurulatih baru dari Croatia, Marijo Tots dibangku simpanan ternyata menyuntik semangat buat barisan pemain Sang Kenari bagi menghadapi saingan kali ini.
Kedah, yang merupakan juara Piala Malaysia musim 2007 dan 2008 berpeluang untuk mara ke suku akhir sekiranya mampu mengutip mata maksima dalam perlawanan pusingan kedua ini.
No comments:
Post a Comment