KUALA LUMPUR – Selepas berjaya mengendalikan Latihan Intensif Perbankan dan Kewangan Islam kepada kumpulan pertama dan kedua kepada kakitangan Bank Pusat Nigeria (CBN) pada April dan Mei lalu, Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di bawah Pusat Kewangan, Perbankan Islam dan Keusahawanan Global (GCIBFE) terus diberi kepercayaan memberi latihan yang sama kepada kumpulan ketiga kakitangan CBN seramai tujuh orang.Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Pengantarabangsaan dan Alumni INSANIAH, Prof. Dr. Wan Sulaiman Wan Yusoff. Hadir sama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif INSANIAH Holdings, Dr. Hj. Ramli Saad, Pengurus Besar GCIBFE, Tuan Hj. Besar Nawawi Ngah dan timbalannya, Dr. Bello Lawal Danbatta.
Sepanjang berada di Kuala Lumpur, peserta dibawa melawat ke Bank Negara, Bank Islam, Bank Muamalat di samping beberapa pemain industri utama di Malaysia antaranya Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) dan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF).
Latihan yang berkaitan dengan perbankan Islam ini bermula pada 27 Ogos dan berakhir pada 7 September. Selepas itu, ianya akan disusuli dengan latihan yang sama kepada kumpulan ke empat CBN yang dijadual diadakan pada 24 September hingga 9 Oktober 2012.
No comments:
Post a Comment