Tuesday, September 11, 2012

Nak aman lagu mana.. budak-budak lagi dah jadi pencuri..!!

Polis lumpuh geng curi motosikal didalangi pelajar 



MOHD. Ismail Ibrahim (dua dari kiri) melihat rangka motosikal yang ditemui semula pada sidang media di Sik, semalam.

SIK 10 Sept. - Polis menumpaskan kumpulan curi motosikal yang dianggotai pelajar sekolah setelah menahan dua remaja di Kampung Belakang Sekolah, Batu Lima di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Supritendan Mohd. Ismail Ibrahim berkata, dalam tangkapan kira-kira pukul 5.30 petang, 14 Ogos lalu itu, pihaknya menahan suspek yang juga merupakan pelajar sekolah berusia 14 dan 16 tahun semasa meleraikan komponen motosikal di sebuah rumah di kampung berkenaan.

Katanya, turut ditemui adalah rangka 31 buah motosikal ienis Honda EX-5 yang dilaporkan dicuri.

"Bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan polis yang diketuai Inspektor Azizah Abd. Aziz telah melakukan serbuan di rumah berkenaan.

"Semasa polis tiba, kedua-dua pelajar ini sedang leka meleraikan komponen motorsikal yang dicuri mereka di Kampung Sena, Sik beberapa minggu lalu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd. Ismail memberitahu, siasatan lanjut mendapati mereka telah terlibat mencuri berpuluh-puluh motosikal di kawasan Felda Teloi Timur, Teloi Kanan, Kuala Muda, Kulim, Alor Setar, Baling, Kubang Pasu serta Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

"Ekoran tangkapan berkenaan, polis berjaya menahan lapan lagi suspek yang dipercayai bersubahat dengan kes curi motosikal ini.

"Modus operandi yang digunakan adalah meleraikan komponen motosikal curi dan dijual kepada rakan-rakan sekolah mereka. Rangka motosikal pula akan dicampak ke dalam Sungai Lesung di Kuala Ketil yang tidak jauh dari rumah mereka," jelasnya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 dan 414 Kanun keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Mohd. Ismail turut menasihati ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak mereka agar tidak terjebak dalam kegiatan negatif dan jenayah.

No comments:

Post a Comment