PR akan kekalkan Jalur Gemilang
MOHAMAD FAKHRI MOHD ALIALOR SETAR - Pakatan Rakyat (PR) akan mengekalkan bendera Jalur Gemilang walaupun setelah berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Ahmad Kassim berkata, pimpinan PR tidak pernah menyuarakan pendapat mahupun berbincang untuk menggantikan Jalur Gemilang dengan bendera Gabungan Janji Demokrasi.
Beliau berkata, kejadian yang berlaku di Kuala Lumpur malam kelmarin dipercayai dilakukan oleh kumpulan yang tidak mendapat restu pimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan perhimpunan tersebut.
“Perkara ini ditegaskan oleh wakil NGO dan pimpinan PR bahawa ia sama sekali tidak benar untuk menggantikan bendera Malaysia. Isu ini tidak seharusnya dibangkitkan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Ahmad Kassim berkata, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali turut menegaskan akan mengekalkan Jalur Gemilang walaupun PR berjaya menawan Putrajaya kelak.
“Sekarang adalah masa untuk beri tumpuan menawan Putrajaya, bukan menimbulkan isu yang tidak pernah dibincangkan dan dirunding oleh pimpinan PR. Kita percaya insiden cubaan menukar bendera dilakukan oleh anak-anak muda yang terlalu terpengaruh dalam politik,” katanya.
Semalam Sinar Harian melaporkan, terdapat beberapa individu membawa ‘bendera baru’ kononnya tidak bersetuju dengan bendera Jalur Gemilang sedia ada pada perhimpunan Janji Demokrasi sempena sambutan ambang Hari Merdeka di Dataran Merdeka baru-baru ini.[SH]
No comments:
Post a Comment