Tuesday, September 18, 2012

Putrajaya lebih mudah dengan Najib dari Muhyiddin

Anak Putrajaya,


Kenyataan-kenyataan para pemimpin Umno kebelakangan ini secara jelas menunjukkan bahawa mereka telah putus asa untuk memenangi undi bukan Melayu.

Umno akan memasuki gelanggang PRU-13 hanya bergantung pada mereka sendiri untuk menguasai 60-65 peratus undi Melayu dan harapan bahawa deposit tetap mereka di Sabah dan Sarawak kekal.

Konsep 1Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak nampaknya bertentangan dengan pelan Umno ini, di mana beliau masih meletakkan harapan untuk memenangi undi bukan Melayu untuk BN. Mudah untuk memahami mengapa Najib perlu berbuat demikian.

Najib perlu mendapat keputusan yang lebih baik daripada Tun Abdullah Badawi di 2008 atau bakal mengalami nasib dikeluarkan sebagai Presiden Umno, dalam pemilihan parti yang telah ditunda sejak tahun lepas untuk memberi laluan kepada PRU-13.

Sebaliknya, timbalan beliau Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggelarkan diri ‘Melayu dulu, Malaysia kedua’ dan tindakan tidak berkomprominya baru-baru ini dalam mempertahankan pindaan kepada seksyen 114A Akta Keterangan 1960 telah meraih banyak sokongan daripada dalam Umno.


Ramai di dalam Umno merasakan Najib selalu mengalah apabila berhadapan dengan desakan rakyat, yang dipercayai mereka didalangi oleh kempen Pakatan Rakyat.

Ketegasan Muhyiddin dalam tidak memberi ruang untuk perbincangan dan tidak bersifat apologetik terhadap pemimpin BN yang mempertikaikan pindaan tersebut adalah selari dengan sentimen di dalam Umno.

Pakatan harus mengambil iktibar dalam peristiwa ini dan memastikan Najib terus menerajui Umno ke PRU-13.

Bersama isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Umno yang diketuai Najib adalah mangsa yang lebih mudah untuk Pakatan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Muhyiddin, yang dilihat mampu mengumpulkan sokongan orang Melayu kepada Umno lebih baik daripada Najib.

Jalan ke Putrajaya untuk Pakatan adalah lebih senang dengan Najib di atas, dan perkara ini tidak perlu disangsi lagi.

Walaupun Muhyiddin boleh menyakinkan Umno bahawa beliau adalah presiden yang lebih baik, namun beliau akan sukar mendapat sokongan daripada komponen-komponen parti BN.

Tapi memandangkan undi bukan Melayu sudah dianggap tidak boleh diselamatkan lagi, Umno mungkin akan mempertimbangkan masuk gelanggang secara sendiri dengan Muhyiddin di atas dengan sasaran 70 peratus undi Melayu, satu pencapaian yang mustahil dicapai dengan 1Malaysia kepunyaan Najib.

No comments:

Post a Comment