Friday, September 21, 2012

Ribuan umat Islam hari ini menyertai himpunan di Hadapan Kedutaan Amerika


KUALA LUMPUR: Ribuan umat Islam hari ini menyertai himpunan di Hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara bagi membantah penerbitan filem "Innocence of Muslims" yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Himpunan yang diberi nama "Expresi Hijau Kasih Nabi" anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat itu bermula sejurus selesai solat Jumaat di Masjid Tabung Haji sebelum berarak menuju ke bagunan kedutaan kira-kira 200 meter dari masjid tersebut.


Dianggarkan hampir 5,000 menyertai himpunan ini termasuk dari kalangan muslimat, mahasiswa dan umat Islam perihatin.

Antara yang berada di barisan hadapan perarakan ini termasuklah Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Nasruddin Hassan, Naib Presiden PKR Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar.

Mereka juga menggunakan lori sebagai pentas bergerak di samping beberapa pimpinan di atasnya menyampaikan ucapan.

Sepanjang perarakan mereka melaungkan slogan 'hancur Amerika, hidup Islam, kami sayang nabi' sambil membawa poster dan kain rentang mengecam tindakan biadap penerbit filem berbangsa Yahudi, Sam Bacile itu.

Perarakan ini turut dikawal pasukan Unit Amal Dewan Pemuda PAS Pusat sementara lebih 200 anggota polis berkawal di hadapan bangunan kedutaan.

Salahuddin dalam ucapannya mendesak Presiden Amerika Barack Obama memohon maaf kepada seluruh umat Islam di atas penghinaan yang dibuat penerbit filem Amerika itu.

"Kita orang Islam hormat agama lain. Kita hormat Yahudi, Budha, Sikh dan sebagainya. Oleh itu kita minta Amerika memohon maaf kepada umat Islam.

"Jangan hina nabi kami, kelak akan mengundang padah. Kami sayangkan nabi dan agama kami. Kita rela pertahankan dalam apa juga keadaan," katanya disambut laungan hidup Islam oleh para hadirin.

Sementara itu, Tian Chua dalam ucapannya berkata, mewakili kaum Cina beliau kesal dengan tindakan penghinaan terhadap agama Islam.

Beliau juga mendakwa isu ini bukan isu agama Islam semata-mata malah juga berkait dengan isu kemanusiaan sejagat.

"Kita perlu tunjukkan semangat setiakawan. Penghinaan ini harus dihentikan dan Amerika perlu ambil tindakan segera.

"Kita tidak mahu berlaku pertembungan antara agama," ujarnya.

Sementara itu, Nasrudin Hassan bersama Tian Chua dilihat masuk bertemu dengan wakil kedutaan.

Sementara menunggu pertemuan dengan wakil kedutaan selesai, pidato di luar pagar bangunan kedutaan diteruskan.

Antara yang berucap termasuklah Timbalan Ketua DPPM, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad, dan Naib Presiden PKR N Surendran.

No comments:

Post a Comment