Friday, September 21, 2012

Target Umno bukan sekadar musnahkan Suaram ...

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Saya tidak fikir rakan-rakan saya, termasuk ketua pengarang di Utusan Malaysia atau Buletin Utama TV3, tidak terkecuali di  Berita Harian, begitu bebal dan tertutup minda mereka ketika mengulas isu mengenai NGO hak asasi manusia, Suaram (Suara Rakyat Malaysia).

Benar, mereka mengetuai media awam yang "ditransformasikan" sejak sekian lama sebagai lidah rasmi Umno-BN, dan berasa bertanggungjawab untuk mempertahankan taukeh-taukeh politik yang "mungkin tercungap-sungap kelemasan" menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti! Berpada-padalah ketika berusaha memuaskan hati pemimpin Umno, tanpa meletakkan kerjaya seorang wartawan di tahap begitu rendah.
 
Utusan, Berita Harian, TV3
Namun, apabila menyelak akhbar Utusan dan menonton rancangan berita TV3, dan pagi tadi (7 September) membelek rencana Berita Harian (juga tidak lupa, sehari sebelumnya, Mingguan Malaysia), saya tertanya-tanya mengapa secara tiba-tiba Suaram -- yang hanya mempunyai beberapa kerat penggeraknya -- menjadi target utama untuk dibelasah. 

Stand Up For SuaramSeperti lazimnya, tiada hujah, argumen ataupun rasional yang dikemukakan, selain mengulangi kebebalan yang begitu hodoh dan menjengkelkan. Penulisnya bukan pemberita tepi jalan tetapi melibatkan editor-editor kanan. Mereka hanya mahukan Suaram dimusnahkan, seolah-olah ia petualang jahat yang mengkhianati negara ini.
(Ramai melihat agenda ini ada kaitan dengan kes komisyen pembelian kapal selam Scorpene RM7 bilion, kini disiasat di mahkamah Perancis, yang seterusnya boleh dihubungkan dengan kontroversi pembunuhan Altantuyaa Shaariibu yang tidak dapat diselesaikan oleh keputusan mahkamah).
Umno takut diheret ke lubang kubur 
Misalnya, hari Rabu, 12 September lalu, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Zaini Hassan dalam kolumnya, Cuit, melampiaskan amarah dan dendam kesumat ke atas Suaram: "Selepas pilihan raya, jika kerajaan Putrajaya (BN) masih memerintah, laksanakan segera pembasmian dan pembersihan mutlak (a total crackdown) terhadap NGO parasit ini. Dakwalah penggeraknya di mahkamah di bawah hukuman paling keras kerana mereka menderhaka kepada Agong.
"... Jika mereka masih bergerak, kita buru mereka sehingga ke lubang cacing. Jika kita gagal bertindak kali ini, kitalah yang akan ke lubung kubur!" (Saya yakin kita yang dimaksudkan Zaini ialah elit Umno sendiri).
Isnin, 17 September, Timbalan Pengarang Utusan Kumpulan, Rangkaian TV dan Radio Media Prima, Ashraf Abdullah menyanyikan lagu lama, menegaskan Suaram sebagai tidak pernah mendaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan menerima puluhan juta ringgit, termasuk daripada penyangak mata wang Yahudi, George Soros. Yang mahu disimpulkannya ialah  kaitan Suaram dengan Anwar Ibrahim; apabila Pakatan Rakyat berjaya ke Putrajaya, maka yang terbentuk adalah kerajaan pak turut yang menerima arahan Yahudi. Sekali lagi emosi dan sentimen umat Islam mahu diperalatkan.
(Pada awal 1990-an, Bank Negara Malaysia juga menjadi pemain yang aktif dalam spekulasi dagangan mata wang asing, terutama selepas mengaut keuntungan besar pada mulanya. Mungkin kita boleh bertanya dengan Nor Mohamed Yakcob, yang terbabit aktif ketika itu sehingga Malaysia akhirnya dikatakan rugi-- "kalah judi" -- sehingga RM30 bilion).

Media Prima sokong diktator Mesir, Tunisia
Bagi memburuk-burukkan Soros pada kacamata orang Islam, Ashraf, merekodkan bahawa kumpulan aktivis dan pembangkang di negara Islam, termasuk Mesir dan Tunisia menerima dana yang besar daripadanya, sehingga pemerintah kuku besi dapat digulingkan.
(Pelik memikirkan, apakah media talibarut Umno ini merupakan penyokong kuat diktator Hosni Mubarak dan Zine El Abidine Ben Ali, sehingga beliau seperti menyesali tumbangnya regim zalim yang menindas rakyat itu! Pembabitan Soros bagi mempromosi proses pendemokrasian dan penentangan kepada pemerintahan diktator boleh diulas lebih lanjut). 
Kebebalan Buletin Utama TV3 pula seiring dengan Utusan, mencari tiga empat orang bekas pemimpin KeADILan, untuk terus memomokkan Suaram, mengulangi tohmahan terhadap beberapa aktivis pentingnya seperti Dr Kua Kia Soong dan R Sivarasa, seolah-olah penonton begitu bodoh dan dungu untuk menelan bulat-bulat bahan yang disiarkannya.
Saya tidak begitu mengenali pengasas dan peneraju Suaram, namun sumbangan pertubuhan yang diasaskan oleh beberapa bekas tahanan borong tanpa bicara Operasi Lalang 1987 dan kumpulan penyokong keluarga mereka  begitu menyerlah sekali. Bagaimanapun, melalui koleksi buku-bukunya, saya terasa agak dekat dengan komitmen Dr Kua, yang bermula sebagai aktivis pendidikan Cina.
Dr Kua Kia Soong yang independen 
Pengkritik seperti Zaini cuba mengaitkan Suaram dengan sebagai NGO yang dikuasai DAP, mungkin menyedari Dr Kua merupakan bekas ahli Parlimennya, yang menyertai parti itu pada Ogos 1990. Kepada strategis kempen Umno, pengundi Melayu mahu terus ditakut-takutkan dengan "hantu" DAP, bagi menjauhkan mereka daripada Pakatan. Walhal Dr Kua dikira tokoh yang independen dan pernah "berseteru dan berpencak lidah" dengan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.
Suaram, dengan segala keterbatasan daripada segi kewangan dan tenaga, cukup komited dengan gerakerja menyantuni keluarga tahanan ISA dan memperjuangkan nasib aktivis yang dizalimi sejak 23 tahun lalu. Ia turut menganjurkan bengkel, ceramah, forum, latihan, kempen dan pelbagai usaha  ke arah mewujudkan masyarakat lebih demokratik, pemerintahan telus dan bertanggungjawab.
Sesungguhnya medan operasi Suaram tidak terhad dalam tanahair sahaja. Ia memainkan peranan penting dan dihormati di peringkat global. Isu-isu yang ditanganinya merentasi sempadan termasuk penentangan terhadap serangan Amerika Syarikat ke atas Iraq dan Afghanistan, juga kaganasan Israel di Gaza, berkempen untuk demokrasi di Maynmar.
Promosi hak asasi, kepentingan minoriti, pembayar cukai 
Dalam negara, Suaram turut menjuarai dan mempertahankan hak orang asli, peneroka bandar, komuniti estet, selain terlibat aktif dalam kempen menentang Empangan Bakun, mempromosi kesedaran alam sekitar dan menjaga kepentingan pembayar cukai.
Laporan Tahunan Hak Asasi Malaysia, yang dianggap berwibawa, diterbitkan Suaram sejak 1998, sentiasa menjadi rujukan saya. Suaram turut mendapat Anugerah Hak Asasi 2011 daripada Suhakam.
Apabila dicanangkan Suaram tidak mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), saya teringat bagaimana saya terpaksa mengusahakan penerbitan akhbar dan majalah politik tanpa permit, bermula akhir 1980-an hingga awal tahun 2000.
Sebabnya, puluhan permohonan saya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak pernah dipertimbangkan. Ya, tidak pernah sekalipun saya dipanggil untuk ditemuduga; semua permohonan yang disertakan dengan contoh penerbitan telah dibakul-sampahkan! Justeru, saya terpaksa "melanggar undang-undang" dengan terus menerbitkan makalah-makalah politik itu tanpa permit walaupun kemudiannya menerima risiko ditahan polis dan seterusnya terpaksa membazirkan masa naik turun mahkamah.
ROS memang tidak akan luluskan
Jika KDN terlalu payah meluluskan permit majalah atau akhbar, maka berpuluh kali ganda lebih sukarlah untuk ROS mendaftarkan pertubuhan baru, apatah lagi yang dilihat tidak selari dengan pemerintah, seperti Suaram. Profil setiap jawatankuasa penajanya akan diteliti. Mudah saja pihak ROS menolak permohonan itu jika didapati penggeraknya mempunyai "rekod buruk".
Malah, satu lagi NGO hak asasi, Hakam, yang dinaungi dua bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn) juga memerlukan tempoh lebih dua tahun sebelum didaftarkan. Khabarnya tempph lebih lama diperlukan Amnesty International (Malaysia).
Maka, satu-satunya pilihan adalah dengan mendaftarkan NGO tadi sebagai entiti bisnes, di bawah Pendaftar Perniagaan (ROB). Bukan saja pertubuhan seperti Suaram yang terpaksa berbuat demikian, malah badan-badan senibudaya seperti Paksi (diterajui Dinsman) pun berdepan kesulitan sama. Saya sendiri tidak mahu membuang masa mendaftar Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dengan ROS kerana saya yakin ia tidak akan diluluskan.
Bukan saja Suaram, targetnya adalah masyarakat sivil 
Isu pokoknya, hak dan kebebasan untuk berpersatuan di negara kita cukup terbatas. Dan ROS digunakan untuk menyekat hak paling asas dalam amalan demokrasi itu. NGO yang mempromosi hak asasi manusia, seperti Suaram, sentiasa dilihat sebagai musuh atau seteru penguasa disebabkan pemerintah sering melakukan pelanggaran dan pencabulan ke atas hak asasi.
Saya bersetuju dengan pandangan Pengerusi Bersama Bersih, S Ambiga: "Kami tidak akan biarkan Suaram bersendirian. Anda (kerajaan BN) bukan mengganggu Suaram, tetapi juga keseluruhan pertubuhan sivil lain." Justeru, setiap individu yang prihatin dengan isu-isu hak asasi tidak boleh membiarkan Suaram dilanyak dan dibuli begitu sahaja. Tunjukkan bantahan dan protes anda, bukan untuk menyelamatkan Suaram tetapi mempertahankan masyarakat sivil di negara ini.
Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham), yang diwakili  Simon Sipaun, Prof Hamdan Adnan,  Ramon Navaratnam dan  Dr Denison Jayasooria (tiga daripadanya merupakan bekas pesuruhjaya Suhakam) juga memberikan sokongan kepada Suaram.
Proham menegaskan, menerima pembiayaan dari mana-mana sumber yang sah untuk promosi dan perlindungan hak asasi manusia, tidak boleh dianggap menyalahi undang-undang atau anti-nasional dalam apa cara jua. Tambahnya, dana asing diperolehi bukan sahaja oleh pertubuhan sukarela dan masyarakat sivil tetapi juga kerajaan.
Kerajaan Malaysia juga terima dana asing 
Presiden badan bebas antarabangsa membanteras gejala rasuah, Transparency International Malaysia (TI-M), Paul Low turut mempertahankan Suaram yang diserang atas dakwaan menerima dana asing. Baginya, kerajaan juga menerima sumber dari banyak negara luar dan menegaskan amalan tersebut tidak salah.
"Sebagai sebuah NGO berdaftar di Malaysia,  TI-M sedar kesukaran dan cabaran yang dihadapi oleh pergerakan masyarakat awam bagi mengumpul dana untuk projek kami dan pelbagai aktiviti  lain. Malah ramai rakan kongsi dalam masyarakat menerima dana asing dalam bentuk tertentu atau lain-lain," kata Low.
Beliau bagaimanapun berkata prinsip TI-M ialah memastikan dana yang diterima datang daripada sumber yang sah dan tidak dipengaruhi sesuatu objektif atau mewujudkan sebarang bentuk  percanggahan kepentingan mahupun hilang kebebasan di dalam mengendalikan suatu projek.
Low menambah bahawa dana asing telah sentiasa menjadi asas pergerakan bagi masyarakat awam, terutamanya di negara-negara membangun apabila isu-isu seperti rasuah dan hak asasi manusia  cenderung untuk merentasi semua bidang kuasa. "Di universiti, malahan ahli pemikir dan juga kerajaan Malaysia turut menerima pembiayaan daripada pelbagai institusi asing," kata Low.
Penulis dan penggiat budaya, Rahmat Haron mengungkapkan hal sama: "Kerajaan Malaysia juga menerima bantuan dan dana asing, juga pinjaman dan modal asing yang mempengaruhi perubahan tata susunan dan aturan sistem ekonomi politik Malaysia sejak merdeka, sehinggalah ke hari ini.
"Data Bank Dunia menunjukkan semenjak tahun 1958 sehingga ke hari ini, banyak projek di Malaysia telah mendapat bantuan Bank Dunia. Apakah pula misalnya para hakim dan kakitangan kehakiman negara yang mengikuti program-program latihan tajaan Bank Dunia, dapat kita katakan telah menjadi alat Bank Dunia, yang mewakili kepentingan pemodal antarabangsa untuk menjajah Malaysia? "

NOTA 
Keluarga Nasima Jamal Azahari masih perlukan bantuan dan sumbangan anda bagi membolehkan mereka melepaskan kerinduan menemui ayah, Jamal Azahari,  bekas tahanan ISA yang kini ditahan di penjara Manila, juga untuk menampung kos sara hidup selama mereka di sana (mungkin selama dua bulan). Salurkan terus  ke dalam akaun HARAKAHDAILY DOT COM, Maybank 564070000336.

No comments:

Post a Comment