Tuesday, October 9, 2012

Ust. Nasha Buat Onar Lagi..



Ustaz Nasha buat onar lagi.. Dalam persediaan Pas dan Pakatan Rakyat menghadapi PRU 13, Ustaz Nasha bersuara lagi. Suara beliau yang mirip keUmnoan sekarang nampaknya lebih galak. Beliau secara tak langsung telah mempertikaikan keputusan majlis syura dalam kenyataan beliau semalam. 

Beliau secara lantang telah mendakwa parti itu kini mengutamakan kuasa dan meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.

Addin sebagai ahli bawahan berharap pimpinan tertinggi Pas mengambil tindakan lebih tegas terhadap Ustaz Nasha. Makin jelas, tindakan-tindakan beliau kebelakangan ini telah mencampakkan Pas dalam fitnah.

Memang agak sukar untuk pimpinan dalam Pas untuk membuat keputusan dalam isu sebegini, namun Addin percaya setiap keputusan yang pahit akan ada manis di hujungnya..


'Kemenangan Islam tak pernah dibantu orang kafir'
Bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa mendakwa, seorang pemimpin parti itu pernah memberitahunya bahawa kemenangan Islam tidak pernah dibantu oleh orang kafir tetapi hanya oleh umat itu sendiri.
"Saya pernah tanya soalan pada seorang pimpinan PAS sebanyak dua kali. Pernah tak dalam sejarah kegemilangan Islam bermula pada zaman Rasulullah sehingga saat soalan saya tanya, kemenangan Islam itu dibantu oleh orang kafir?

"Dua kali dia jawab tak pernah dan tak akan berlaku. (Jadi) kemenangan Islam itu hanya dibantu oleh umat Islam itu sendiri," katanya tanpa menamakan pemimpin PAS yang dimaksudkannya itu.

Beliau mengulas demikian ketika membentangkan kertas kerjanya pada Wacana Pemikiran Dan Peradaban Ummah ke-4: Seminar Dakwah Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra petang ini.

Dalam pembentangan itu, Nasharuddin Mat Isa membangkitkan persoalan sama ada golongan bukan Islam kini berbaik dengan umat Islam "untuk kesenangan bersama (marriage of convenience) dalam langkah percaturan politik singkat semata-mata untuk meraih sokongan di peti undi".
"Atau sememangnya benar bukan Islam kini insaf dan mula mengenali Islam yang maha adil dan benar-benar ingin mendokong cita-cita Islam yang diimani oleh majoriti umat Islam dalam konteks mengubah pemerintahan sedia ada ke arah sebuah pemerintahan baru yang bersama-sama mendukung jemaah Islam?," soalnya.

Dalam sidang media selepas itu, Nasharuddin juga berkata, beliau bersedia sekiranya dikenakan tindakan disiplin mengenai kenyataannya berhubung kerjasama antara PAS dan DAP.

"Jadi tindakan daripada parti terpulanglah. Ya (bersedia jawatan dilucutkan). Bagi saya Islam itu yang harus dipertahankan, keahlian perkara nombor dua," katanya.
Beliau turut mengulangi bahawa pendiriannya amat jelas dan akan mengutamakan agama Islam berbanding menjadi ahli PAS.

Bagaimanapun, MP Bachok itu berkata beliau buat masa ini masih belum merancang untuk meninggalkan parti itu dan menyertai Umno.

"Pendirian saya jelas. Boleh kata semua tau pendirian saya. Saya tak takut nyatakan pendirian saya.~malaysiakini


Berikut kenyataan balas YB. Dato' Mahfuz Omar, naib Presiden Pas berkenaan kenyataan Ustaz Nasha..



Mahfuz : 'Nasha telah cabar keputusan Majlis Syura'
SHAH ALAM - Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa telah "menyentuh dan mencabar" keputusan Majlis Syura apabila mendakwa parti itu kini mengutamakan kuasa dan meletakkan prinsip Islam di tempat kedua, kata Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar.

Sambil menekankan kuasa dan Islam tidak boleh dipisahkan, kata Mahfuz, Pas memang memerlukan kuasa yang meluas untuk menegakkan Islam di negara ini.

Katanya, aspek itu yang diputuskan oleh Majlis Syura selaku badan tertinggi membuat keputusan dalam Pas.

"Jadi, apabila Ustaz mempertikaikan pendirian parti, bermakna beliau telah menyentuh dan mencabar Majlis Syura sendiri," katanya kepada Sinar Harian Online.

Ahli Parlimen Pokok Sena ini berkata, sebagai sebuah parti politik, Pas memang memerlukan kuasa dan usaha ini diteruskan dari dahulu sehingga sekarang.

"Dari dahulu kita hendakkan kuasa, dan sekarang kita hendak kuasa yang lebih meluas untuk menggantikan Umno, bagi menegakkan Islam, Umno telah gagal dalam peranannya," kata Mahfuz lagi.

Mahfuz mengulas kenyataan Nasharudin petang semalam, dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), mengingatkan parti itu agar tidak mengutamakan kuasa semata-mata dan sehingga sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.

Beliau yang juga ahli Majlis Syura Pas berkata, dalam konteks politik hari ini, masalah perpecahan umat sering dilupakan sedangkan ia adalah masalah utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Kata Nasharudin, beliau turut hairan mengapa usaha untuk membincangkan masalah umat Islam terutamanya melibatkan dua parti terbesar orang Melayu Islam iaitu parti Umno dan Pas sering dilihat 'taboo'.

"Jika umat Islam negara ini terus berpecah belah, apakah yang bakal terjadi kepada umat untuk lima, 10 atau 15 tahun lagi? Adakah umat Islam tergelincir?

"Adakah agama mengajar umatnya meletakkan ajaran Islam di tempat kedua semata-mata mahu mendapatkan kuasa?" kata beliau pada Seminar Dakwah Islamiyyah Sebagai Tunggak Kekuatan Ummah di PWTC, semalam.

Katanya lagi, kemenangan Islam terletak di tangan umatnya sendiri tanpa bantuan dari bukan Islam.

Pas berada dalam Pakatan Rakyat (PR), yang turut dianggotai DAP dan PKR.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, beliau tidak tahu mengapa sekarang Nasharudin bercakap begitu sekarang.

Apabila ditanya sama ada Pas akan membincangkan isu berkenaan memandangkan ada yang melihat Nasharudin telah mempertikaikan dasar parti, Mahfuz berkata: "Oleh kerana beliau telah menyentuh dasar dan keputusan parti, terserah kepada Majlis Syura membincangkan isu ini."

Bagaimanapun tegas beliau, "Pas tidak pernah mengambil pendirian meminggirkan Nasharudin."

Akhir Ogos lalu, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menyerahkan isu Nasharudin yang meminta Pas keluar dari PR, berhubung isu hukum hudud, kepada Majlis Syura untuk membincangkannya.

Majlis Syura yang mengadakan mesyuarat awal bulan lalu dilaporkan tidak membincangkan kedudukan Nasharudin itu. ~sinar

 http://networkedblogs.com/Dgj35

No comments:

Post a Comment