KAHERAH – “Saya mahu pelajar-pelajar kita yang belajar di Mesir apabila pulang ke tanahair dapat menguasai bahasa Arab dengan baik kerana anda semua yang belajar di sini mempunyai keistimewaan tersendiri,” demikian antara harapan Menteri Besar, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak ketika berucapa sempena Majlis Ramah Mesra bersama pelajar-pelajar Kedah yang menuntut di Mesir.
“Belajar di sini berkawan dengan orang Arab, jangan hanya berkawan sesama kita. Biar kefasihan bahasa Arab kita itu sama dengan kefasihan orang-orang Arab sendiri,” tambahnya lagi.
Katanya lagi, beliau tidak mahu lepasan universiti di Mesir hanya boleh menguasai penulisan sahaja tetapi lemah dalam pertuturan. Sedangkan keupayaan ilmu yang ada pada mereka melebihi lepasan universiti yang lain kerana selain boleh mengusai bahasa Arab mereka juga mempunyai pengetahuan agama yang tinggi.
Berucapan di hadapan kira-kira 600 orang hadirin, beliau turut menceritakan perkembangan pendidikan di Kedah seperti kampus tetap Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil dan Maahad Tahfiz Sains di Pulau Tuba.
“Saya mempunyai harapan yang tinggi kepada anda semua. Saya kalau boleh nak masukkan lepasan Al-Azhar khususnya ke KCS tapi anda semua kena belajar bersungguh-sungguh, kuasai bahasa Arab dengan baik dan berketrampilan agar dihormati oleh semua orang,” jelasnya lagi.
Ujarnya lagi, perkembangan pembangunan di Kedah sangat pesat terutama di bidang pertanian, penternakan, pengurusan ladang, perhotelan dan semuanya itu memerlukan tenaga pengurusan yang cekap dan terpelajar. Tambahnya, hotel di Langkawi yang dijangkakan siap pada tahun 2013 bukan hanya untuk pelancong dalam negeri malah luar negara terutamanya dari Timur Tengah dan sudah tentu memerlukan pekerja yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Arab.
Beliau memaklumkan, kedatangannya ke Mesir selain melawat kawasan pertanian, beliau hendak berjumpa dan melawat pelajar-pelajar Kedah di situ. Walau suasana sekarang agak kurang sesuai kerana kemungkinan pilihanraya akan berlaku bila-bila masa di Malaysia tetapi demi untuk berjumpa dengan para pelajar dan kepentingan negeri, beliau datang juga.
Ustaz azizan turut menyampaikan beberapa anugerah iaitu Anugerah Mahasiswa Cemerlang dan Anugerah Tokoh Ilmuan, di samping diberi penghormatan melancarkan Pelancaran Kitab di majlis itu.
Majlis tesebut diadakan di Fustat Hall, Al-Azhar Conference Centre, Cairo dan antara yang turut hadir, Exco Kerajaan Negeri, YB Ustaz Abdul Ghani Ahmad,YB Senator Saiful Izham dan Pegawai Hal Ehwal Pelajar Timur Tengah, Tuan Syeikh Zainul Jamal Abdul Ghani.
No comments:
Post a Comment