ALOR SETAR – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan lawatan padatnya ke Kedah hari ini dengan menghadiri Taklimat Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Kedah.
Muhyiddin sebelum itu tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas di sini pada 8.20 pagi diiringi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir.
Rombongan Timbalan Perdana Menteri disambut oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga Pengerusi BN negeri serta pemimpin Umno dan BN negeri.
Taklimat pilihan raya itu yang diadakan di Bangunan Tunku dihadiri hampir semua pemimpin Umno dan parti komponen BN negeri.
Selepas taklimat itu, Timbalan Perdana Menteri akan menghadiri majlis perjumpaan dengan penjawat awam Negeri Kedah di Universiti Utara Malaysia.
Jadual beliau diteruskan dengan mengadakan perjumpaan dengan pekebun kecil Risda dan peserta Felcra Negeri Kedah di Rancangan Perumahan Tempatan (RPT) Paya Mak Insun, Pendang.
Beliau kemudian ke daerah Yan dengan program pertama iaitu majlis perjumpaan dengan murid sekolah pondok seluruh Kedah di Padang Lumat disusuli perjumpaan dengan guru sekolah pondok di seluruh Kedah di tempat sama. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment