(Foto: Ku Iskandar Ku Saad, Presiden MBMN Kedah)
Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Konon-kononnya pembangkang di Kedah telah mendapat satu isu yang 'sangat besar' untuk menyerang kerajaan negeri; iaitu dakwaan kerajaan pimpinan Dato' Seri Ustaz Azizan Razak telah menyelewengkan peruntukan menyelenggara jalan yang telah diberikan oleh kerajaan Pusat sebanyak RM148 juta. Hanya RM55 juta yang digunakan iaitu mengikut Bajet 2010 yang diluluskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri.
Maka berkokoklah pemimpin BN siang malam, di seluruh pelosok negeri memberitahu rakyat bahawa kerajaan PAS tidak amanah. Kononnya jalan berlubang di sana-sini tidak dibaiki, sebaliknya peruntukan membaiki jalan diguna untuk membayar gaji.
Di saat ramai individu dalam BN mahu menonjol diri untuk dipilih sebagai calon PRU ke 13, masing-masing ghairah bercakap isu tersebut dalam media bagi mendapat perhatian. Seorang pemimpin muda Umno yang memimpin Majlis Belia Malaysia Negeri Kedah, Ku Iskandar Ku Saad lebih lajak dari laju apabila terus membuat laporan polis dan laporan SPRM terhadap kerajaan negeri. Hakikatnya apa yang mereka minta disiasat bukannya pemimpin kerajaan negeri tetapi Ketua Audit Negara kerana telah mengesahkan kewajaran, ketelusan dan ketulusan kerajaan negeri membelanjakan wang secara betul melalui laporan audit 2010. Ketua Audit Negara yang biasanya sangat teliti sehingga harga sebatang screw driver pun dipertikaikan, tidak mengulas apa-apa terhadap perbelanjaan menyelenggara jalan oleh kerajaan negeri Kedah.
Nampaknya akibat kegelojohan politik jadi mainan demi pangkat dan kedudukan pihak tersebut maka sekonyong-konyong Ketua Audit Negara pun boleh menjadi lebih 'jahil' dari pemimpin belia, ketua pembangkang dan Pengerusi Umno Kedah. Mereka pula yang lebih pandai dari semua professional yang ada di dunia ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, Dato' Ir. Phahrolrazi Zawawi tiba-tiba mengancam akan membuat pendedahan mengejutkan iaiyu bagaimana duit peruntukan Pusat untuk penyelenggaran jalan digunakan di zaman BN.
"Apa yang dibuat kerajaan negeri sekarang dalam pengurusan kewangan adalah sama seperti yang dibuat oleh kerajaan lalu, kita tidak pernah mengeluarkan arahan baru kepada pegawai melainkan mengekalkan prosedur sedia ada.
"Semua duit yang diterima dimasukkan dalam akaun yang disatukan dan semua perbelanjaan dibuat mengikut Bajet yang telah diluluskan.
"Di masa BN dulu pun sama, duit (peruntukan) jalan Pusat tidak dibelanjakan semuanya... tunggu saya akan dedahkan perbelanjaan di zaman BN dalam Sidang DUN nanti," ujarnya.
Kenyataan Phahrolrazi membuatkan para pemimpin pembangkang tergaman. Apabila didedahkan nanti, maka terserlahlah juga 'penyelewengan' di zaman mereka dahulu. Maknanya pemimpin BN sekarang cakap tidak serupa bikin. Atau tempelakan yang kedua bagi BN ialah, mereka sewaktu jadi kerajaan dahulu tidak tahu apa-apa mengenai pentadbiran negeri. Mereka hanya sibuk ambil tahu mengenai pentadbiran selepas jadi pembangkang.
Jika Karam Singh Walia di pihak PR, pepatahnya akan berbunyi, ibarat meludah ke atas pokok, taik burung jatuh ke dalam mulut.
Isu penyelenggaraan jalan ini pernah berbangkit dalam Sidang DUN lalu. Mereka bertanya ke mana perginya baki peruntukan Pusat yang tidak dibelanjakan untuk baiki jalan? Menteri Besar menjawab, ia dimasukkan dalam Tabung Amanah.
Phahrolrazi menjelaskan bahawa setiap lebihan dari peruntukan asal perlu dimasukkan dalam kira-kira kewangan yang disebut akaun amanah penyelenggaraan jalan (istilah tepat ialah akaun amanah bukan Tabung Amanah). Ia menjadi prosedur kewangan sejak 2003 lagi, sewaktu kerajaan diterajui BN.
Berhubung isu rungutan orang ramai mengenai sebahagian jalan negeri yang berlopak disebabkan musim hujan, Phahrolrazi mengakui berlaku masalah dalam pemilihan kontraktor membaiki jalan. Sebelum ini, katanya, penyelenggaraan jalan dibuat oleh Bina Kuari dan Seri Temin namun terdapat cadangan baru supaya ia diurus oleh GLC dan kontraktor lain dalam tempoh yang agak lama bagi memantapkan perancangan jangka panjang.
Sementara perkara tersebut belum dimuktamadkan, beliau telah meminta Pengarah JKR Negeri supaya mengarahkan JKR Daerah beri secara langsung projek penyelenggaraan jalan kepada mana-mana kontraktor.
JKR daerah boleh berbuat demikian bagi projek yang bernilai kurang RM500 ribu. Tidak ada masalah kerana bajet tersebut memang sedia ada. Tidak timbul langsung dakwaan bahawa kerajaan tidak berduit.
Rungutan mengenai ketidaksempurnaan jalan terdengar di mana-mana sekarang di negeri Kedah. Biasalah, kerana sekarang musim hujan. Bukan sahaja jalan negeri, jalan Persekutuan pun berlopak. Jalan MADA (Pusat) lebih-lebih lagi, bukan setakat berlubang tapi berkubang di sana sini. JKR tidak dapat membaiki jalan di tengah-tengah musim hujan. Sabarlah sekejap, sehingga musim hujan berakhir.
Selepas itu nanti jentera membaiki jalan akan sibuk bekerja di atas jalan raya. Apabila jalan di seluruh Kedah jadi sempurna nanti maka termangu-mangulah pula BN mencari isu baru untuk dijadikan modal politik. Begitulah BN yang sentiasa tercungap-cungap mengutip isu-isu picisan bagi menyambung hayat politik.
No comments:
Post a Comment