Wednesday, October 12, 2011

Wanita lebih ramai hadapi tekanan mental


ALOR SETAR - Golongan wanita didapati lebih banyak menghadapi tekanan mental berbanding lelaki di negara ini.

Pakar psikiatri dan psikologi, Kedah Medical Centre (KMC), Dr Wan Mohd Rushidi Wan Mahmud berkata, kebanyakan yang mengalami tekanan mental adalah daripada kalangan mereka yang bercerai, tidak berkahwin atau hilang pasangan berbanding wanita yang berkahwin.

“Wanita yang mengalami tekanan mental di Malaysia berada pada kadar 12.1 peratus berbanding lelaki sebanyak 10.4 peratus.

“Golongan wanita di negara ini berada di tangga 16 dalam ranking dunia mengalami tahap tekanan perasaan iaitu 44 peratus berbanding India di tempat pertama dengan 87 peratus berdasarkan satu kaji selidik yang dilakukan,” katanya pada forum Mental Sihat, Badan Sihat di KMC semalam.

Turut hadir Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Dr Ahmad Rasidi M Saring serta Pengarah Pusat Pengajian dan Perkhidmatan Kaunseling & Psikologi, Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Dr Abu Bakar Abdullah.

Menurutnya, kajian juga mendapati masalah itu turut membabitkan warga emas berumur antara 70 hingga 74 tahun sebanyak 19.5 peratus dan 14.4 peratus golongan muda.

“Sebanyak 14 peratus golongan dewasa di Malaysia mempunyai gangguan tidur termasuk warga emas dalam lingkungan 70 hingga 74 tahun sekitar 20 peratus.

“Sebanyak 6.4 peratus pernah terlintas untuk membunuh diri manakala tujuh kes bunuh diri berlaku setiap hari atau 2,500 orang setahun,” katanya.

Dr Wan Mohd Rushidi berkata, dalam satu projek rintis Program Minda Sihat Menangani Stres Dalam Kalangan Murid Sekolah 2011 melibatkan enam sekolah terpilih di seluruh negara, hampir kesemua murid yang disaring (responden) seramai 6,540 orang didapati mengalami tekanan.

Mengikut statistik dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setiap 40 saat seorang individu membunuh diri disebabkan mengalami tekanan dan hampir 50 peratus daripada semua penyakit mental bermula sebelum penghidap berumur 14 tahun.

“Terdapat 33 peratus daripada negara di seluruh dunia tidak mempunyai bajet untuk menangani masalah mental manakala yang lain hanya memperuntukkan dua hingga tiga peratus daripada perbelanjaan kesihatan bagi merawat masalah ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment