Tuesday, November 8, 2011

50,000 kunjungi ‘Karnival Jom Pi Muzium Padi’

Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR

ALOR SETAR, 31 Oktober – Seramai 50,000 mengunjungi ‘Karnival Jom Pi Muzium Padi’ yang dianjurkan oleh Muzium Negeri Kedah dengan kerjasama Tunas Indah Niaga Enterprise yang diadakan di Pekarangan Muzium Padi, Gunung Keriang, di sini dari 20 hingga 29 Oktober 2011.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan, YB. Dr. Hamdan Mohamed Khalib, seramai 20,000 pengunjung melawat Muzium Padi sepanjang 10 hari karnival itu diadakan.

“Jumlah kutipan tiket yang berjaya dikumpul dengan kemasukan pengunjung ke Muzium Padi sepanjang karnival itu diadakan ialah sebanyak RM56,000,” ujarnya.

Beliau memberitahu, tujuan utama karnival itu diadakan adalah untuk mempromosikan Muzium Padi kepada orang ramai.

“Ia secara tidak langsung mampu menambah nilai tambah pada kegiatan serta aktiviti pemuziuman dan pada tahun ini, Muzium Negeri Kedah banyak bergerak ke hadapan dalam mengadakan serta menganjurkan pelbagai aktiviti,” katanya.

Dr. Hamdan menjelaskan, dengan adanya karnival itu, ia juga mampu memberikan sumber pendapatan kepada penduduk tempatan.

“Pelbagai acara menarik turut diadakan sepanjang karnival itu, antaranya ialah Larian Bendang, Bola Sepak Bendang, pertandingan memasak, pertandingan gubahan dan pertandingan tangkap itik,” ujarnya.

Di samping itu, tambahnya, acara lain juga turut diadakan seperti persembahan pentas yang dijayakan oleh artis tanah air seperti Pak Long dengan lagunya ‘Selagi Ada Rindu’ serta kumpulan nasyid tanah air iaitu kumpulan Rabbani.

Dr. Hamdan berkata, pameran dan jualan iaitu produk berasaskan industri kecil dan sederhana (IKS) serta pakaian turut diadakan sepanjang karnival itu berlangsung.

“Forum Perdana juga turut diadakan yang melibatkan ahli panel yang terdiri daripada Ustaz Hashim Osman (Moderator), Ustaz Mat Isa Abdul Rahman, Ustaz Ahmad Hisham Dato’ Badaruddin dan Ustaz Roslan Che Ros,” jelasnya.

Tambahnya, cabutan bertuah berupa seekor lembu/seekor kambing turut disediakan kepada pengunjung yang bertuah pada karnival itu.

No comments:

Post a Comment