Monday, November 21, 2011

Punca benda nie adalah apabila tuan empunya binatang bela dengan cara lepas tak ambik pedulik....

Imam sangkal dakwaan nenek
Oleh : SITI SALMAH MAKA
Tarikh : November 21, 2011
Imam sangkal dakwaan nenek

BEDONG – Imam bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Tahir, Kampung Sungai Gelam, Bujang menyangkal dakwaan seorang seorang warga emas, Gayah Hashim, 74, dari kampung sama berhubung kecurian empat kambing peliharaannya.

Imam, Abdul Aziz Abdullah berkata, empat kambing peliharaan yang diserahkan semula kepada Gayah sebenarnya sering mencemarkan persekitaran masjid dengan najis bertaburan selain mencacatkan pertumbuhan tanaman hiasan yang terdapat di sekitar rumah ibadat tersebut.

Menurutnya, kenyataan warga emas berkenaan yang mendakwa imam bersikap keterlaluan adalah tidak benar sebaliknya ia adalah kesalahan sendiri kerana tidak memelihara kambing dengan cara sepatutnya.

“Perkara ini berlarutan sejak sekian lama di mana dia yang merupakan pemilik kambing membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran siang malam tanpa sebarang pengawasan.

“Pihak jawatankuasa masjid dan saya sendiri sudah berkali-kali menasihatinya supaya memelihara dengan sebaik-baiknya haiwan ternakan itu supaya tidak mengganggu ketenteraman awam termasuk dalam kawasan masjid.

“Kami juga memberi amaran supaya meletakkan haiwan di kawasan lebih selamat dan sekiranya didapati masih berkeliaran, kami akan menjual kambing itu. Namun, amaran kami tidak diendahkannya dan kambing juga dilihat masih berkeliaran di sana sini,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian siaran 20 November lalu melaporkan seorang warga emas membuat laporan polis apabila imam kampung bertindak menjual empat ekor kambing tanpa pengetahuan dan membawa RM400 sebagai hasil jualan.

Bagaimanapun, imam berkenaan memulangkan kambing keesokan harinya dan meminta maaf serta mengakui kesilapannya dengan harapan kejadian itu memberi pengajaran kepada pemilik haiwan ternakan itu.

Abdul Aziz berkata, kambing itu bukan sahaja tidur dan makan dalam pagar masjid malah meninggalkan najis serta kotoran di merata tempat termasuk di kaki lima masjid.

Tinjauan Sinar Harian ke masjid itu semalam mendapati masih terdapat najis kambing dan batang pokok yang sudah hilang pucuknya akibat dimakan.

“Tok Siak pula terpaksa mencuci kotoran najis termasuk air kencing kambing setiap hari sebelum kariah berjemaah setiap waktu terutama awal pagi dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya kambing dikawal dengan baik,” katanya.

Menurutnya, setiap anak kariah boleh menutup semula pintu pagar setiap kali berkunjung ke masjid namun, rumah ibadat itu turut dikunjungi pelbagai golongan termasuk pengunjung luar.

“Kalau anak kariah memang dah faham sangat setiap kali keluar kena tutup pagar semula tetapi kalau orang luar singgah selalunya mereka tidak tutup pagar balik,” katanya.

Menurutnya, penduduk kampung juga ada yang mengusahakan ternakan namun kesemua mereka mempunyai kandang dan haiwan ternakan juga ditambat secara sistematik.

“Kami sebagai jawatankuasa kampung dan penduduk di sini berharap perkara sebegini tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment