KUANTAN – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Pahang semalam menghantar memorandum membantah konsert Elton John yang dijadualkan berlangsung pada 22 November di Genting Highlands.
Naib Pengerusi 1 MPP, Sharif Ahmad bersama 12 mahasiswa menghantar bantahan itu kepada Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Hamdan Hussin dan wakil Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) di pejabat jabatan agama itu.
Beliau berkata, konsert itu perlu ditolak masyarakat kerana membawa kesan negatif kepada Islam dan menularkan perhubungan sejenis.
Mahasiswa terbabit turut mempersoalkan pemilihan artis yang boleh membawa kepada masalah sosial.
“Kenapa harus memilih Elton John sedangkan masih ramai artis antarabangsa lain yang mempunyai imej bersih,” katanya. Menurutnya, kisah Elton John bertentangan nilai ketimuran dan belum ada sejarah perkahwinan sejenis sehingga ‘diperkenalkan’ artis yang bakal menghiburkan rakyat Malaysia di bumi Pahang.
Selaras dengan visi UIAM yang melahirkan khalifah iaitu untuk membangunkan agama Islam katanya, warga akademik itu kesal kerana masih ada yang mengagung-agungkan Eltoh John kerana dia boleh mendorong kekeliruan gender kepada generasi kini.
Dalam konteks agama, Sharif menegaskan, semua umat tidak boleh membenarkan perkara fasik berlaku dan perlu mengelak daripada perkara itu menular.
Beliau mengakui konsert itu mungkin diteruskan tetapi mahu mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertainya.
“Sebagai umat Islam, kita tidak boleh berdiam diri sebaliknya menghalang perkara itu berlaku namun jika gagal boleh juga mencegahnya supaya tidak ada kali kedua pada masa akan datang,” katanya.
MPP UIAM turut menyeru masyarakat supaya sebahagian daripada penyelesai masalah dan bukan termasuk dalam golongan yang mencipta masalah.
Katanya, masyarakat perlu berfikir jauh dan hadapi masalah dan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
“Kita berharap golongan agama di sini dapat menggunakan fatwa yang ada bagi menghalang konsert seperti ini berlaku di negara kita,” katanya.
Bagaimanapun MPP berpuas hati dengan maklum balas daripada Pejabat Menteri Besar dan Jaip.
Sebelum ini beberapa pertubuhan kerajaan (NGO) sudah menyatakan pendirian membantah mengenai konsert itu.
Elton John menggemparkan dunia kerana berkahwin dengan dan pasangan hidup, David Furnish pada Disember 2005 selepas kerajaan negara mereka membenarkan perkahwinan sejenis.
No comments:
Post a Comment