12 Februari 2012
DULU-DULU apabila sebut rasuah orang selalu ingat Indonesia, sebab di negara umat Islam paling ramai itu rasuah dikatakan dilakukan terang-terangnya. Konon, bermula dari lapangan terbang, pemandu teksi ke hotel, tempat makan, pusat beli-belah, hatta hendak berurut pun kena beri rasuah.
Konon apa yang mustahil dan tidak mungkin berlaku di tempat lain, boleh menjadi kenyataan sekiranya ada upah @ rasuah. Pendek kata semuanya ‘bisa diatur’ dan ‘tanggung beres, Pak!’ di Jakarta, asal sahaja sanggup memberi rasuah.
Orang tidak takut memberi dan menerima rasuah – walaupun secara terang-terang di hadapan mata umum – sebab amalan tidak baik itu sudah menjadi kebiasaan. Apabila sudah terlalu biasa, ia menjadi budaya.
Bagaimanapun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini usaha memerangi rasuah dilakukan secara besar-besaran di negara jiran itu. Media, terutama TV, memberi liputan meluas setiap hari terhadap kes-kes rasuah. Gambar perasuah dipampangkan dalam akhbar dan TV.
Tidak diketahui sejauh mana kesan dan kejayaan memerangi rasuah di negara Garuda itu. Tetapi pemerintah nampaknya bersungguh-sungguh melawan ‘korupsi’ sehingga ikan jerung, paus, bapak dugung, buaya tembaga, semua masuk jaring.
KINI di tempat kita pun rasuah semakin berleluasa. Mungkin belum menjadi budaya, tetapi sudah dianggap perkara biasa. Hendak lepas dari saman trafik boleh beri rasuah. Hendak cepat proses satu-satu permohonan, beri rasuah. Hendak dapat kontrak pasir, beri rasuah juga.
Hendak kaya cepat boleh melalui rasuah bola sepak. Rasuah bola sepak yang dulu terjadi di luar negara kini menular di tempat kita. Beberapa orang pegawai dan pemain bola sepak kita telah disiasat berhubung rasuah bola.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerja keras pagi petang siang malam, dan setakat ini bukan sahaja lintah atau ikan sepat yang berjaya dijaring tetapi juga ikan-ikan besar termasuk haruan makan anak, todak, ibu pari dan ‘jaws’.
Bukan setakat anak tikus atau katak puru yang masuk perangkap SPRM tetapi juga serigala, harimau kumbang, singa, badak sumbu, malah gajah menta pun tidak dilepaskan. Pendek kata siapa sahaja yang makan rasuah memang tidak senang duduk.
Begitu banyak yang kena tangkap pun rasuah masih menyemarak hinggakan orang yang hendak naik haji pun terlibat dalam rasuah ‘haji ekspres’ seperti yang didedahkan akhbar baru-baru ini. Pegawai Tabung Haji dikatakan terlibat dalam amalan tidak baik ini. Pendek kata hendak beribadat menunaikan rukun Islam kelima pun kena rasuah!
RABU lalu SPRM memanggil Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk diambil keterangan berhubung isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).
Beliau yang juga Ketua Wanita Umno mengucapkan terima kasih kepada agensi bebas itu, sebab telah tiba giliran untuk memberi keterangan bagi membersihkan namanya yang sejak beberapa bulan ini dikatakan menjadi mangsa tuduhan liar.
Tegas beliau, seperti yang dipetik media: “Alhamdulillah, hari ini giliran saya untuk disiasat, dan saya datang dengan rela hati. Saya beri kerjasama penuh, tidak ada apa yang hendak saya sembunyikan.”
Parti Gerakan, komponen BN, meminta Sharizat melepaskan jawatan Kabinet. Beberapa orang pemimpin Umno sendiri pun mahu menteri itu berundur. Tetapi, Sharizat berkata suara-suara seperti itu ada agenda politik.
Tumpuan umum sekarang ialah hasil siasatan SPRM. Lagi baik diselesaikan secepat mungkin, supaya keadaan sebenar diketahui. Macam Shahrizat kata, dia ikhlas dan mahu namanya dibersihkan segera. Jadi orang yang meminta dia berhenti kenalah bersabar hingga selesai siasatan SPRM.
AKHIR kalam, dua hari lagi – 14 Februari – adalah ‘Valentine Day’ @ Hari Kekasih. Timbul kontroversi sebab ada yang menyebut ini sebagai amalan orang Kristian, orang Melayu (Islam) tidak boleh ikut.
Memang makin ramai remaja kita yang terikut-ikut dan sambut Hari Kekasih dengan makan-makan, bertukar hadiah, dan bagi bunga ros. Malah, ada yang cium-cium macam orang putih.
Sukalah saya menarik perhatian bahawa bukan Valentine sahaja, banyak benda orang Melayu terikut-ikut dengan orang putih. Antaranya ialah nyalakan lilin atas kek apabila sambut hari lahir, atau hari ulang tahun perkahwinan. Ini dilakukan termasuk oleh pemimpin kita. Apa komen bijak pandai kita?
No comments:
Post a Comment