Apa Kesudahan Kedah Musim Ini?
Oleh: Saiful Azrul Che Lah (saiful@hijaukuning.com)
Gambar Kredit Kepada Ahmad Husni Ahmad Basri |
Sejarah Bolasepak Kedah mempunyai pelbagai cerita menarik untuk diceritakan. Namun episod semasa bolasepak Kedah begitu menyedihkan. Lambaian Liga Perdana 2013 melambai lambai menantikan kehadiran pasukan Kedah. Terjerumus di kedudukan kedua di dasar liga menceritakan betapa parahnya situasi yang dihadapi.
Sejurus tewas perlawanan dengan Johor FC malam kelmarin, Jurulatih Kedah Wan Jamak Wan Hassan melahirkan komen yang cukup pedas terhadap anak buahnya menambahkan lagi kebingungan semua pihak. Di mana silapnya?
Prestasi hambar pasukan Kedah bukannya perkara baru. Dari awal mula liga, Kedah sudah bermula dengan perlahan. Gagal mempamerkan rentak menarik di halaman sendiri dan kekalahan demi kekalahan menjadikan suasana bola sepak Kedah musim ini begitu muram kecuali kejayaan melangkah ke separuh akhir Piala FA 2012.
Pihak persatuan seharusnya sudah ‘membaca’ apa yang berlaku dan disusuli dengan tindakan. Apakah surat tunjuk sebab atau amaran keras telah diberikan kepada pengurusan, barisan kejurulatihan dan juga pemain? Jika sudah diberikan dan prestasi terus menjunam, apakah tindakan selanjutnya?
Atau pihak Persatuan terus berdiam diri dan hanya mengeluh dengan prestasi semasa tanpa ada tindakan kukuh untuk menanganinya? Apakah desakan desakan peminat diambil serius atau hanya sekadar masuk telinga kanan keluar telinga kiri? Itu antara persoalan-persoalan yang bermain di minda peminat apatah lagi dalam keadaan suasana bolasepak Kedah dilihat lebih digerakkan oleh semangat peminat yang amat berkobar-kobar demi pasukan tercinta.
Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) ternyata gagal dalam memberikan input serta informasi yang diperlukan peminat menjadikan keadaan bertambah rumit. Yang jelas informasi pasukan Kedah lebih banyak disalurkan oleh Kelab-Kelab Peminat yang ada berbanding KFA. Kegagalan jentera KFA melaksanakan tugas dengan efisien menjadikan situasi bolasepak Kedah dalam keadaan tertekan. Itu baru satu aspek.
Sikap KFA yang dilihat lebih playsafe dalam banyak hal menjadikan keadaan bertambah rumit. Apakah dengan hanya jaminan gaji on time sudah cukup ditakrifkan sebagai sudah menjaga semua aspek kebajikan pemain?
Tindakan proaktif KFA adalah amat perlu bagi mengawal keadaan menjadi lebih parah. Sudah tentu pemain, barisan kejurulatihan dan pengurusan juga mempunyai kelemahan tertentu tetapi apakah peranan persatuan? Ketiadaan mastermind seperti sosok Arwah Dato’ Paduka Haji Ahmad Basri Akil adalah antara punca situasi ini semakin meruncing. Sebenarnya ada insan insan yang layak tetapi ternyata politik dalaman KFA menjadikan mereka hilang minat untuk menyumbang.
Peminat sudah letih melihat betapa lembabnya KFA bertindak dan betapa tumpulnya idea KFA. KFA seharusnya menekan butang panik dan bertindak segera dari lamunan. Lupakan sejarah indah yang lepas, hadapilah realiti semasa dengan pendekatan-pendekatan yang sesuai dengan kehendak kontemporari. Jangan dibiarkan kapal yang berlayar hanyut dari destinasi.
KFA perlu segera bertindak. Masa masih ada, peluang masih ada, ruang pun masih ada. Bertindaklah segera. Renungilah amanah yang terpikul pada jawatan yang disandang. Bertindaklah dan bertindaklah. Peminat walaupun di mulut terkeluar kata-kata pedas, terasa sakit di hati tetapi hakikatnya peminat tetap memberi sokongan padu dalam pelbagai bentuk.
Jika tidak mampu, apa kata kalau dilepaskan jawatan itu?
(Artikel ini ditulis bukan bermakna kritikan hanya dituju kepada KFA sahaja tetapi semua pihak termasuk pemain, peminat, kejurulatihan, pengurusan juga turut menyumbang kepada apa yang berlaku kini, namun sebagai satu entiti yang mempunyai kuasa dan dan boleh mengubah keadaan, persatuan harus berani mengubah paradigma dan pantas bertindak)
http://www.hijaukuning.com/new/?p=2256
http://www.hijaukuning.com/new/?p=2256
betul tu, kalau tak reti tadbir bola, letak la jawatan. awat gila sangat kah jawatan tu?
ReplyDelete