Monday, June 11, 2012

Dengan dapatnya GERAN TANAH tersebut..itu bermakna tanah rizab melayu dapat diselamatkan semula

Dividen Ladang Sejahtera, bukti rakyat sentiasa dibantu

Langkawi - Pemberian surat hakmilik tanah dan dividen Ladang Sejahtera adalah komitmen Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat Kedah.

“Dividen atau saguhati Ladang Sejahtera ini bukanlah sebagaimana dividen pelaburan tuan-tuan dalam saham, dividen Ladang Sejahtera ini adalah hasil keuntungan pengusahaan Ladang Sejahtera oleh Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) dan anak syarikatnya Kedah Agro,” kata YAB Dato' Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak ketika berucap di majlis penyerahan surat hakmilik tanah dan dividen Ladang Sejahtera Peringkat Daerah Langkawi di Pekan Air Hangat.

Di majlis tersebut seramai 133 penerima dividen Ladang Sejahtera dan seramai 105 penerima surat hak milik tanah menerimanya dari YAB Menteri Besar Kedah.

Menurut Ustaz Azizan, Langkawi merupakan daerah ke enam selepas Baling, Kulim, Padang Terap, Pendang dan Bandar Baharu di mana penyerahan dividen Ladang Sejahtera diadakan.

“Ladang Sejahtera ini adalah pelaburan kerajaan dan apabila ada keuntungan maka kerajaan pulangkan kembali kepada rakyat yang memerlukan.

“Jika dimasa depan ladang ini ada untung lagi, kita akan bagi banyak lagi,” ujar beliau.

Majlis penyerahan tersebut diadakan sempena program Mesra Rakyat peringkat Daerah Langkawi anjuran Pejabat Daerah Langkawi dan Pejabat Menteri Besar Kedah.


“Penerima dividen Ladang Sejahtera dipilih dari kalangan rakyat yang berdaftar dengan e-Sinar. Kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada Pejabat Daerah dan MKK untuk memilih,”katanya.

Ustaz Azizan turut mengingatkan penerima surat hakmilik tanah supaya terus menjelaskan cukai tanah.

“Selepas dapat geran tanah ini, pemilik tanah perlulah menjelaskan cukai tanah tiap-tiap tahun, bukan hanya bayar premium tanah sahaja,” ujarnya.

Menurutnya ada juga yang mendapat Lesen Menduduki Sementara (LMS) hanya membayar sekali sahaja dan selepas itu tidak lagi membayar LMS tersebut menyebabkan rekod di Pejabat Tanah menunjukkan tanah itu tidak diusahakan.

Ujarnya lagi,”Masalah timbul apabila pengusaha lama tidak membayar dan ada permohonan baru

Menteri Besar juga mengesa Pejabat Tanah Daerah seluruh negeri Kedah supaya mempercepatkan proses mengeluarkan hak milik tanah kepada pemohon. Menurut Ustaz Azizan, beliau sering bertemu dengan penerima surat hakmilik tanah dari generasi kedua dan ketiga kerana pemohon sudah meninggal dunia. Ini adalah disebabkan pengusaha tanah tersebut sudah terlalu lama memohon dan menanti sehingga ke generasi ke tiga barulah diluluskan permohonan tanah tersebut.

“Proses permohonan dan penyerahan geran tanah ini tidak perlu di tangguhkan begitu lama atau ditangguhkan untuk diadakan majlis besar-besaran.

“Semua permohonan perlu disegerakan dan diserahkan apabila diluluskan oleh Jawatankuasa Tanah Negeri,” sambungnya lagi.

Kenyataannya terbukti apabila beliau bertanya khabar seorang penerima surat hak milik tanah yang menerima bagi pihak datuknya yang keuzuran. Manakala seorang lagi penerima menyatakan beliau menerima bagi pihak bapanya dan tidak tahu sudah berapa lama bapanya memohon.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Exco Kerajaan Negeri Kedah YB Dato’ Ir Phahrolrazi Zawawi, YB Dato’ S.Manikumar, YB Abd Ghani Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri YB Daro’ Seraja Setia Dato’ Paduka Haji Rasli Basir, Pegawai Daerah Langkawi Harun Jasin, Ketua Pegawai Esekutif PMBKed Dato’ Shahbudin Shafie, ketua-ketua jabatan serta Penghulu dan Ketua Kampung Daerah Langkawi.

Majlis diakhiri dengan jamuan rakyat yang di sediakan secara gotong-royong oleh Pusat Khidmat DUN Angkat Langkawi.

No comments:

Post a Comment