Sekali cuti sekolah, sekali nampak kampung berubah….
Kali ni saya balik kampung ke Kedah dengan anak-anak sempena cuti sekolah dengan menaiki kenderaan awam. Naik keretapi Ekspress Langkawi. Walaupun saya biasa berulang-alik dari KL ke kampung dengan keretapi, tetapi biasanya saya hanya bersendirian. Kalau balik ke kampung dengan keluarga, kami akan menaiki kereta sendiri. Pengalaman pertama kali ini banyak mengajar saya tentang realiti kehidupan di kampung yang saya terlepas pandang sebelum ini.
Sebelum sampai ke stesen yang dituju, pegawai KTM bertugas datang beritahu yang tempat kami akan turun akan sampai dalam masa 20 minit. Katanya lagi, “platfom stesen tu pendek sikit. Cik kena jaga-jaga bawa anak-anak turut sat lagi. La ni pun gelap lagi. Baru pukul 6 pagi.”
“La.. macam mana tu? Saya bawa anak kecil ni. Kalau dah cerah tak pa la”, jawab saya. “Kalau turun di Alor Setaq, dah cerah la”, jawabnya. Sayapun terus meminta untuk turun di Alor Setar kerana memikirkan keselamatan anak-anak saya. Walaupun saya meminta untuk membeli tiket tambahan, tapi pegawai tersebut berkata tidak perlu kalau tiada penumpang yang naik dan duduk di kerusi kami di stesen yang sepatutnya kami turun.
Tiba masanya, keretapipun sampai ke stesen yang sepatutnya saya turun. Isteri saya bertanya berbagai soalan kenapa kami tidak turun. Soalan tersebut lenyap dengan deruan injin keretapi yang hendak berhenti. Saya melihat ke luar, stesen tersebut adalah stesen sementara yang terbaru. Stesen sementara kedua setelah stesen asal dan stesen sementara sebelumnya lenyap ditelan pembangunan. Tapi saya agak pelik kerana walaupun penumpang agak banyak turun disitu, saya dapati hanya sebiji sahaja teksi yang menunggu. Mungkin ada banyak kereta sapu, saya mengagak.
Di kampung saya bertanyakan hal tersebut kepada kakak saya. “Bas masuk pekan ni pun dah tak dak. Hang nak pelik apa,” katanya. “Dulu boleh jugak budak-budak sini berulang-alik pi bekerja di sana atau Sungai Petani. Bas dah tak dak, tak payah la. Sebab tu anak dara aku dok di rumah saja.”
Perkhidmatan bas di kawasan luar bandar memang nadi kepada kehidupan masyarakat di kampung. Semasa perkhidmatan bas mini Kuala Lumpur hendak ditamatkan oleh Konsortium Intrakota, ada beberapa suara mengingatkan kerajaan bahawa perkhidmatan bas bukanlah boleh memberi keuntungan kepada perniagaan. Tetapi perkhidmatan bas masih perlu diadakan kerana ianya adalah khidmat sosial kerajaan kepada masyarakat. Kalau ada orang berfikir mereka akan beroleh keuntungan dengan membolot perniagaan bas, mereka silap!
Sekarang itulah kenyataannya. Di Kuala Lumpur, saya memang tidak percayakan perkhidmatan bas awam jika masa saya suntuk untuk ke satu-satu acara. Tetapi sekurang-kurangnya perkhidmatan tersebut masih ada. Di kampung, ianya langsung pupus!
Satu per satu konsortium bas yang dulunya megah berjanji yang mereka akan meningkatkan perkhidmatan bas yang lembab pada masa itu, sekarang terpaksa menghadapi tindakan protes atau mogok oleh pekerja mereka disebabakan lambat atau tidak membayar gaji.
Soalan saya, apa yang kerajaan buat? Setakat adakan suruhanjaya baru dan bagi jawatan itu dan ini kepada bekas menteri yang kalah dalam pilihanraya dan sebagainya, anak saudara saya di kampung tetap terpaksa menjadi penganggur kerana perkhidmatan bas dari kampungnya ke bandar Sungai Petani dah ditamatkan.
Pernah satu ketika saya menghadiri satu perjumpaan di Putrajaya; seorang cendiakawan bercerita dengan bersemangat tentang cadangannya kepada kerajaan mengenai isu ini. Saya bertanya akan asalnya semasa bersapa khabar. Jawapannya, Kampung Baru Kuala Lumpur! Saya hanya mampu diam selepas itu.....
Sebelum ini, ada kawan saya dari Langkawi memberi tahu Pengerusi SPAD pernah turun ke pulau tersebut dan memberi amaran kepada kereta-kereta sapu yang beroperasi di pulau itu. Semasa itu, saya berfikiran beliau menjalankan tugasnya dengan baik. Tetapi sekarang ini saya berfikir semula, kenapa keadaan tersebut berlaku. Hukum ekonomi; bila ada permintaan, sudah tentu akan ada tawaran! Jika SPAD tidak pandai membuat tawaran, peluang tersebut sudah tentu akan disalurkan kepada kereta-kereta sapu.
Nampak gayanya dengan trend kerajaan sekarang yang berada di Putrajaya bekerja, mungkin anak saudara akan terus menganggur sehingga beliau menjawat jawatan suri rumah sepenuh masa kemudiannya.
(Terima kasih kepada tuan-tuan punya gambar yang saya jumpa dalam net dan gunakan di sini....)
Naruto
No comments:
Post a Comment